Kembali

Insiden FlyDubai Mendedahkan Hubungan Tidak Rasmi antara Saudi dengan Israel

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Oct 15, 2026

Insiden FlyDubai Mendedahkan Hubungan Tidak Rasmi antara Saudi dengan Israel

Pada 9  September yang lalu, UAE telah mengeluarkan hasil siasatan berkaitan insiden pesawat komersial dari UAE ke Ben Gurion, Israel. Insiden itu dikatakan melibatkan rampasan kawalan penerbangan dan penikaman terhadap juruterbang utama. Dapatan siasatan menunjukkan bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam insiden ini ialah pembantu juruterbang yang berasal dari Oman, bernama Humam al-Hammami.

Humam al-Hammami dikatakan turut terdedah kepada fahaman Ikhwan Muslim ketika belajar di Australia pada tahun 2017 dan sangat terinspirasi untuk mengulangi peristiwa 9/11. Sebelum insiden pesawat FlyDubai, laporan UAE menyatakan bahawa beliau telah menggunakan dua penerbangan terdahulu ke Tel Aviv untuk membiasakan diri dengan laluan dan lapangan terbang tersebut. Beliau juga didakwa membuat persediaan fizikal melalui latihan tinju.

Kronologi

Apakah kronologi insiden ini? Terdapat terlalu banyak perincian yang berbeza-beza daripada pelbagai sumber. Justeru, berikut ialah laporan Al Jazeera:

Pada jam 7:05 pagi (03:05 GMT) pada 30 September, penerbangan FZ1073 berlepas dari Dubai menuju ke Tel Aviv. Pesawat itu mendaki sehingga ketinggian 34,000 kaki (lebih 10,300 meter), menurut data Flightradar24. Lebih dua jam kemudian, pesawat itu tiba-tiba mula menjunam dengan curam.

Data penjejakan penerbangan menunjukkan bahawa pesawat itu menjunam lebih 17,000 kaki dalam tempoh kira-kira dua minit, sebelum kembali mendaki dan kemudian menurun sekali lagi.

Pergaduhan tercetus di kokpit antara kedua-dua juruterbang selepas pembantu juruterbang menikam kapten pesawat, Smit Machchhar, warga India.

Machchhar kemudiannya menceritakan bahawa beliau mendapati dirinya berada di lantai kokpit dalam keadaan cedera parah ketika pesawat itu sedang menjunam.

Penumpang dan anak kapal dilaporkan memasuki kokpit dan berjaya menewaskan pembantu juruterbang tersebut. Pesawat itu akhirnya kembali stabil pada ketinggian kira-kira 15,000 kaki. Transponder pesawat kemudiannya ditukar kepada kod 7500, yang menandakan berlakunya gangguan atau rampasan pesawat secara tidak sah.

Dua juruterbang simpanan yang turut berada di dalam pesawat mengambil alih kawalan pesawat tersebut dan mendaratkannya di Tabuk, di barat laut Arab Saudi. Pesawat itu mendarat dengan selamat pada jam 9:45 pagi waktu tempatan (06:45 GMT).

Pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan bahawa kedua-dua juruterbang telah dibawa ke hospital dan kemudiannya dipindahkan ke Abu Dhabi selepas disahkan layak untuk dipindahkan dari segi perubatan.

Berdasarkan laporan dan video yang dikongsikan berkaitan insiden ini, seolah-olah pelbagai keajaiban telah berlaku. Perkara ini turut dikongsikan oleh ramai orang di seluruh dunia melalui media sosial. Antaranya termasuklah ketiadaan kerosakan dalaman pada pesawat tersebut walaupun telah menjunam lebih 17,000 kaki dalam tempoh dua minit, ketiadaan topeng oksigen yang jatuh dari siling untuk penumpang, serta video tular yang menunjukkan air di dalam cawan tidak tertumpah.

Tiga Analisis Utama

Amat sukar bagi mana-mana manusia yang berfikiran waras untuk mempercayai bahawa peristiwa ini berlaku berdasarkan perincian yang dikongsikan. Namun begitu, terdapat juga beberapa pengajaran penting yang perlu disebutkan bagi menjelaskan kepada pembaca hakikat sebenar yang sedang berlaku.

1. Benjamin Netanyahu, jurucakap utama bagi mengekalkan naratif Israel

Antara pemimpin utama yang bercakap tentang isu ini ialah Benjamin Netanyahu. Pada asasnya, perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana pesawat terbabit membawa sekitar 174 penumpang warga Israel. Namun, dalam isu ini, negara lain yang turut terlibat, seperti UAE—sebuah negara yang menyediakan lapangan terbang untuk pelepasan pesawat dan merupakan negara asal syarikat penerbangan tersebut—berdiam diri. Begitu juga Arab Saudi, sebuah negara yang menyelamatkan pesawat FlyDubai di Lapangan Terbang Tabuk.

Hal ini memberikan ruang kepada Benjamin Netanyahu untuk mengeksploitasi isu ini bagi memurnikan namanya sendiri dan nama orang Yahudi di mata seluruh dunia. Sebelum apa-apa siasatan dilakukan, Netanyahu telah menyebut, “We know that he underwent Islamist radical indoctrination” (Kami mengetahui bahawa dia telah melalui proses indoktrinasi Islam radikal). Dalam kenyataan yang lain, beliau menyebut, “We know that the attacker pilot underwent Islamist radical indoctrination” (Kami mengetahui bahawa pembantu juruterbang yang menyerang itu telah melalui proses indoktrinasi Islam radikal).

Secara jelas, beliau meletakkan kesalahan jenayah dalam insiden tersebut pada fahaman Islam dan orang Islam sendiri pada saat awal selepas berlakunya insiden ini.

2. Drama ini menjadi bahan jenaka di seluruh dunia

Barangkali red flag paling besar ialah terlalu banyak perincian yang tidak masuk akal seperti yang disebutkan sebelum ini. Antaranya juga adalah dakwaan bahawa seorang tukang paip mampu mengawal kapal terbang walaupun langsung tidak mempunyai pengalaman dan hanya mengetahui caranya melalui rancangan televisyen. Lebih besar daripada itu, orang yang paling banyak bersuara dalam isu ini ialah Benjamin Netanyahu sendiri, yang telah didapati bersalah di Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana melakukan genosid.

Beliau cuba menampilkan dirinya sebagai orang yang mementingkan keselamatan rakyatnya. Hakikatnya, beliau ialah orang yang paling tidak mementingkan nyawa manusia, sama ada nyawa orang Yahudi sendiri, apatah lagi orang Palestin.

Buktinya, laporan menunjukkan bahawa beliau sendiri telah membunuh rakyatnya dalam jumlah yang sangat ramai sepanjang tiga tahun ini. Contohnya, apa yang berlaku pada pagi 7 Oktober. Rejim penjajah telah melancarkan Operasi Hannibal (Hannibal Operation), iaitu ketika tentera IDF melepaskan tembakan secara rawak ke arah sasaran. Serangan ini menyebabkan sebilangan besar warga Israel sendiri terbunuh, puluhan kereta terbakar dan beberapa buah rumah musnah akibat serangan helikopter serta kereta kebal IDF sendiri.

3. Hubungan Israel dan Arab Saudi semakin terdedah

Akhir sekali, perkara ini tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak. Pesawat FlyDubai tersebut terbang dari UAE menuju ke Ben Gurion dengan melalui ruang udara Arab Saudi. Bukan itu sahaja, apabila pesawat tersebut perlu mendarat untuk menukar kepada pesawat yang lebih selamat, ia mendarat di Lapangan Terbang Tabuk di Arab Saudi. Sedangkan, lokasi berlakunya insiden rampasan kawalan ini berdekatan dengan Jordan, yang telah mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sejak 1994.

Hakikatnya, Arab Saudi telah membenarkan pesawat dari negara penjajah ini menggunakan ruang udaranya sejak 2022. Walaupun genosid di Gaza telah berlaku selama tiga tahun yang lalu sehingga ke hari ini, ruang udara tersebut tidak pernah ditutup kepada negara penjajah ini.

Tidak cukup dengan itu, sebuah syarikat logistik Israel bernama Trucknet Enterprise telah mempunyai perjanjian dengan Arab Saudi yang membolehkan penggunaan laluan darat Arab Saudi untuk sampai ke Tel Aviv. Hal ini berlaku selepas sekatan di Laut Merah oleh tentera Houthi Yaman.

Dari perspektif seorang Muslim, Arab Saudi meneruskan hubungannya dengan rejim Zionis dengan membuka laluan udara dan darat. Sedangkan, umat Islam di Gaza dikepung, disembelih dan dibakar oleh rejim ini. Malah, hubungan Arab Saudi dengan rejim Zionis inilah yang membantu genosid dan kebuluran yang sedang berlaku melalui bantuan logistik seperti yang disebutkan.

Ada yang menyebut bahawa Arab Saudi turut terlibat dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada Gaza. Namun, hal ini tidak relevan dan tidak dapat menghapuskan dosanya terhadap penduduk Gaza. Hal ini sama dengan hubungan Amerika Syarikat, Israel dan Palestin.

Menurut USAFacts, Amerika Syarikat memberikan bantuan sebanyak 566 juta dolar Amerika kepada Palestin (Tebing Barat dan Gaza) pada tahun lalu. Pada masa yang sama, Amerika Syarikat turut memberikan puluhan bilion dolar Amerika sebagai bantuan ketenteraan dan persenjataan kepada rejim Zionis untuk membunuh umat Islam di Gaza. Maka, bantuan Amerika Syarikat itu hakikatnya tidak memberikan makna yang signifikan dalam membantu rakyat Palestin.

Justeru, amat menyedihkan apabila Arab Saudi menyelamatkan pesawat FlyDubai yang membawa 174 penumpang warga Israel. Mereka ini berkemungkinan bekas tentera IDF, pendatang haram Yahudi dan penceroboh tanah suci umat Islam. Berikut ialah kenyataan daripada Syeikh Salamah Abdul Qawi (bekas penasihat kepada Menteri Agama Mesir):

“Arab Saudi yang agung telah bertindak dengan penuh kepahlawanan untuk menyelamatkan pesawat Zionis dan menyelamatkan semua penumpang Zionis kerana nyawa mereka dianggap suci.

Tetapi, bagaimana pula dengan nyawa kanak-kanak dan penduduk Gaza? Bilakah Arab Saudi akan menerima mereka dan menyelamatkan mereka?”

Perbuatan Arab Saudi dan UAE adalah haram di sisi Islam

Sebagai umat Islam, segala perbuatan rejim penjajah ini mesti diberikan perhatian. Rejim ini ialah musuh kemanusiaan dan agama Islam secara khusus. Isu FlyDubai merupakan propaganda Benjamin Netanyahu untuk mendapatkan sokongan rakyatnya menjelang pilihan raya pada akhir bulan ini. Seterusnya, isu ini bertujuan mendapatkan sokongan penduduk dunia setelah tiga tahun beliau dibenci kerana jenayah genosid yang berlaku.

Bagi Arab Saudi dan UAE, hubungan perniagaan dengan rejim penjajah, termasuk dalam urusan logistik, tetap haram dan berdosa. Perkara ini diambil daripada Mausu'ah al-Kuwaitiah:

وَلَكِنْ لاَ يَجُوزُ إِمْدَادُ الْمُحَارِبِينَ بِمَا يُقَوِّيهِمْ مِنَ السِّلاَحِ وَالآْلاَتِ وَالْمَوَادِّ الَّتِي يُصْنَعُ مِنْهَا السِّلاَحُ

“Tetapi, tidak dibenarkan memberikan bantuan kepada golongan yang memerangi Islam dengan membekalkan senjata, peralatan dan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat senjata, yang dapat memperkuatkan mereka.” (Jilid 7, hlm. 113)

Termasuk dalam perkara yang memperkuatkan rejim Zionis ialah hubungan logistik yang membenarkan penggunaan ruang udara dan laluan darat bagi kegunaan ekonomi, sosial dan politik. Sepatutnya negara Islam menutup sepenuhnya ruang udara, darat dan laut kepada entiti yang bertanggungjawab melakukan Jenayah genosid ke atas umat Islam dan mencemarkan kesucian Masjid al-Aqsa serta Baitul Maqdis.

Berkata al-Hasan al-Basri:

لاَ يَحِل لِمُسْلِمٍ أَنْ يَحْمِل إِلَى عَدُوِّ الْمُسْلِمِينَ سِلاَحًا يُقَوِّيهِمْ بِهِ عَلَى الْمُسْلِمِينَ، وَلاَ كُرَاعًا، وَلاَ مَا يُسْتَعَانُ بِهِ عَلَى السِّلاَحِ وَالْكُرَاعِ

“Tidak halal bagi seorang Muslim membawa kepada musuh kaum Muslimin senjata yang menguatkan mereka untuk memerangi kaum Muslimin, dan tidak juga kurra’, serta apa-apa yang boleh digunakan untuk membantu penyediaan senjata dan kurra’.” (Kitab Al-Kharaj oleh Abu Yusuf)

Kurra’ bermaksud apa-apa yang boleh digunakan sebagai alat untuk membawa senjata perang, seperti kuda, keldai dan sebagainya. (Syarah al-Siyar al-Kabir oleh al-Sarakhasi).

Dalil paling jelas dan tepat dalam hal ini adalah berpandukan firman Allah SWT:


إِنَّمَا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَـٰتَلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمْ وَظَـٰهَرُوا۟ عَلَىٰٓ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

"Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah ayat 9)

Penelitian ayat berdasarkan ulama tafsir daripada ayat di atas “Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang…” bermaksud Allah melarang umat Islam membantu orang yang memerangi agama Islam, mengeluarkan umat Islam daripada tanahnya dan membantu sekutu mereka yang melakukan hal tersebut.

Bagi umat Islam, tindakan Arab Saudi ini perlu difahami sebagai satu kesalahan. Jika perbuatan yang sama dilakukan di Malaysia, hukumnya adalah haram dan tidak boleh didiamkan.