Kembali

Inilah Rahsia Keteguhan (Sumud) Penduduk Gaza dalam Era Genosid

Megat Aiman Hakim

Mar 13, 2026

Orang Gaza hidup di bawah bayangan al-Quran. Dua bulan sebelum berlakunya Taufan al-Aqsa, seramai 13,000 hafiz al-Quran telah menamatkan hafazan al-Quran dalam sebuah majlis Syahadah al-Quran.

Dr. Farhan Abdelazeez, salah seorang jemputan dalam siri tazkirah Yaqeen Institute bersama Dr. Omar Sulaiman, berkongsi pengalaman manis bersama al-Quran ketika bertugas sebagai pegawai kesihatan di Gaza.

Beliau menceritakan bagaimana para pesakit di hospital membaca al-Quran di atas katil, di laluan-laluan hospital ada orang yang menunaikan solat, di dalam khemah-khemah kedengaran bacaan al-Quran, dan sebelum tidur dipasangkan bacaan Syaikh Ali Ajmi untuk menenangkan jiwa dengan alunan ayat al-Quran.

Beliau juga berkongsi, sambil menangis, antara pengalaman manis bersama al-Quran yang beliau rasakan ialah ketika membaca al-Quran dalam solat tarawih di hospital.

Ketika itu berlaku letupan berhampirannya sehingga menyebabkan bunyi dentuman yang amat kuat. Ayat al-Quran yang dibaca dalam solatnya seakan-akan memberikan ketenangan yang mendalam kepada jiwanya dan beliau merasakan Allah sedang bersamanya.

Di sini, mungkin ada yang tertanya apakah hikmah Allah membiarkan apa yang berlaku di Gaza. Di manakah bantuan Allah?

Namun, Dr. Farhan Abdelazeez menyaksikan sendiri bahawa orang Gaza tidak mempersoalkan hal tersebut. Bahkan beliau menyaksikan sendiri ketaatan penduduk di sana dalam mengamalkan agama Islam dengan penuh kesungguhan walaupun dalam keadaan yang amat susah.

Masyarakat yang Hidup Berpaksikan Hidayah al-Quran

Seorang pakar hadis di Jordan, Syeikh Hammam Said, menyebutkan pada awal berlakunya Taufan al-Aqsa:

“Sungguh saudara-saudara kamu di Gaza, sebelum mereka memasuki medan perang, mereka telah memasuki medan memperbaiki diri mereka, medan membersihkan minda mereka, fasa membetulkan iman mereka. Mereka sentiasa bersama al-Quran dan melaziminya.”

Benarlah apa yang disebutkan oleh syaikh tersebut. Setelah berlakunya gencatan senjata, para penduduk Gaza mengadakan haflah atau sambutan bagi meraikan ribuan penghafaz al-Quran yang menamatkan hafazan 30 juzuk sepanjang berlakunya genosid.

Apabila memasuki Ramadan, para penduduk beramai-ramai memenuhi masjid yang telah musnah untuk menunaikan solat berjemaah seperti kita di sini. Bezanya, masjid di sana telah musnah dan kemungkinan mereka menunaikan solat dalam keadaan lapar dan dahaga.

Para Pejuang yang Bertempur Bersenjatakan Kekuatan al-Quran

Para pejuang juga, sama ada yang telah syahid atau yang masih hidup, merupakan guru-guru al-Quran.

Antaranya Syaikh Zaki Hamad, pakar fekah dan qiraat yang berjuang di Bait Hanun; Syaikh Taysir Abu Taimah yang syahid dalam keadaan sujud; dan Syaikh Nuaim Abu A’syah yang bertempur menentang 10 tentera IDF seorang diri di Khan Younis, serta ramai lagi.

Pada waktu siangnya mereka mengajarkan al-Quran dan bekerja seperti orang lain. Pada waktu malam pula mereka menjalani latihan ketenteraan dan melakukan rondaan di sempadan Gaza.

Dikongsikan oleh abang kepada Syaikh Zaki Hamad, beliau telah mengambil ijazah sanad daripada ramai guru al-Quran di seluruh Gaza.

Beliau merupakan imam yang bertugas di sebuah masjid di Bait Hanun pada bulan Ramadan. Masjid ini dikhususkan untuk bacaan satu juzuk setiap malam bagi menamatkan seluruh al-Quran sepanjang Ramadan.

Beliau juga bertugas pada waktu malam melakukan rondaan di sempadan serta menjalani latihan. Pada suatu pagi selepas Subuh, beliau sedang mengulangi hafazannya bersama syaikhnya dalam keadaan matanya tertutup, tetapi mulutnya masih lancar membaca al-Quran.

Banyak lagi perkongsian perjuangan huffaz al-Quran di Gaza. Tidak pelik, walaupun lebih dua tahun mereka dibedil dengan 250,000 tan bahan letupan dan pelbagai lagi senjata kejam musuh, bangsa Gaza ini masih memilih untuk berjuang walaupun ramai yang menggesa mereka untuk mengalah, termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri.

3 Prinsip Sunnah Perjuangan Membela Agama

Namun di sini terdapat tiga prinsip utama dalam al-Quran berkaitan perjuangan ummah dalam usaha mengalahkan kebatilan.

1) Kebenaran Pasti Akan Menang

Islam ialah satu-satunya agama yang diperangi sejak kewujudannya oleh musuh sepanjang zaman.

Musuh di sini termasuk orang yang pernah hidup bersama Nabi sendiri seperti Abu Lahab di Mekah, golongan munafik yang mengaku Islam di Madinah, dan kerajaan besar terdahulu seperti Parsi, Rom dan Mongol, sehinggalah kerajaan-kerajaan moden seperti Amerika Syarikat, dunia Barat dan sebahagian negara Arab.

Selama lebih 1500 tahun agama ini diperangi melalui ketenteraan, ekonomi, sosial dan doktrin pemikiran yang sesat. Namun Islam tidak pernah pudar dan tidak akan hilang dari bumi selagi belum berlaku kiamat kerana Allah SWT sendiri yang menjamin keselamatan agama ini.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍۢ كَفُورٍ

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang khianat lagi tidak bersyukur.”

(Surah al-Hajj: 38)

Kalaulah semua mushaf al-Quran terbakar atau diubah suai sesuka hati seperti Taurat dan Injil, tidak sampai 24 jam al-Quran ini boleh ditulis kembali sepenuhnya. Inilah sunnah qadariah (aturan qadar) yang telah ditetapkan Allah bahawa Dia akan menjaga agama ini walau apa pun berlaku.

Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ

Maksudnya:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran (al-Zikr), dan sesungguhnya Kamilah yang memelihara serta menjaganya.”

(Surah al-Hijr: 9)

2) Kebatilan Pasti Akan Kalah

Boleh dikatakan hampir semua kerajaan yang disebutkan dalam al-Quran seperti Firaun, ‘Ad, Thamud dan Rom merupakan kerajaan besar yang tidak dapat dibandingkan kekuatannya dengan kerajaan moden hari ini dan mampu bertahan selama ratusan tahun. Namun semuanya kini hanya tinggal sejarah.

Apa sangat yang hendak dibandingkan dengan entiti Zionis yang baru berusia 78 tahun dalam keluasan geografi yang amat kecil.

Maka jangan sesekali berasa bahawa Zionis dan Amerika ini boleh bertahan lama. Sehubungan itu, yakinlah bahawa kuasa kebatilan pasti akan kalah. Inilah prinsip yang disebut dalam al-Quran.

Firman Allah SWT:

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِرُسُلِهِمْ لَنُخْرِجَنَّكُم مِّنْ أَرْضِنَآ أَوْ لَتَعُودُنَّ فِى مِلَّتِنَا ۖ فَأَوْحَىٰٓ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمْ لَنُهْلِكَنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
وَلَنُسْكِنَنَّكُمُ ٱلْأَرْضَ مِنۢ بَعْدِهِمْ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَافَ مَقَامِى وَخَافَ وَعِيدِ

Maksudnya:

“Sesungguhnya Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.

Dan sesungguhnya Kami akan menempatkan kamu di negeri itu sesudah mereka binasa. Yang demikian itu adalah bagi orang yang takut akan kedudukan-Ku dan takut akan ancaman-Ku.”

(Surah Ibrahim: 13–14)

3) Kemenangan Tidak Percuma

Para nabi yang telah dijanjikan syurga oleh Allah pun diuji dengan ujian yang sangat berat, dikhianati dan diperangi dengan senjata demi membela agama Islam. Maka umat Islam pasti akan melalui jalan yang sama.

Firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ ٱلْبَأْسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصْرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصْرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ

Maksudnya:

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu ujian seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?

Mereka ditimpa kesusahan dan penderitaan serta digoncangkan sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata: ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”

(Surah al-Baqarah: 214)

Dunia ialah dar al-ibtila’, tempat ujian, bukan tempat menerima balasan.

Umat Islam pada hakikatnya boleh memilih sama ada untuk membela agama atau meninggalkan perjuangan ini.

Namun ketahuilah, dengan meninggalkan perjuangan Islam, hukuman itu akan terkena di dunia lagi sebelum di akhirat.

Antaranya kehidupan menjadi semakin kosong, budaya maksiat dan songsang mula menguasai, masalah sosial tidak terkawal, dan masyarakat menjadi huru-hara tanpa pedoman.

Firman Allah SWT:

أَفَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍۢ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِۦ وَقَلْبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةًۭ ۖ فَمَن يَهْدِيهِ مِنۢ بَعْدِ ٱللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maksudnya:

“Maka pernahkah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah menyesatkannya berdasarkan ilmu-Nya, serta memeterai pendengarannya dan hatinya, dan meletakkan penutup pada penglihatannya?

Maka siapakah yang dapat memberi petunjuk kepadanya setelah Allah (membiarkannya sesat)? Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?”

(Surah al-Jathiyah: 23)

Penutup

Satu perkara besar yang perlu dirisaukan ialah sama ada Allah telah reda dengan usaha yang kita lakukan untuk membela agama Islam dan perjuangannya di seluruh bumi, khususnya di Palestin.

Para sahabat dahulu sehingga para pejuang di Gaza telah mengorbankan harta dan nyawa mereka demi perjuangan.

Mereka boleh sahaja mengalah dengan pelbagai alasan, tetapi semua itu terlalu murah untuk dibandingkan dengan syurga Allah SWT.

Marilah kita mengamalkan doa yang sering diamalkan oleh para pejuang Gaza ini, mudah-mudahan Allah menerimanya.

اللَّهُمَّ اسْتَعْمِلْنَا وَلَا تَسْتَبْدِلْنَا
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
وَاجْعَلْنَا مِنْ جُنْدِ دِينِكَ
وَاجْعَلْنَا مِمَّنْ يَنْصُرُ دِينَكَ وَيُعْلِي كَلِمَتَكَ
وَلَا تَجْعَلْنَا مِمَّنْ يَخْذُلُ دِينَكَ أَوْ يَتَخَلَّفُ عَنْ نُصْرَتِهِ

“Ya Allah, gunakanlah kami (untuk berkhidmat kepada agama-Mu) dan jangan Engkau gantikan kami dengan orang lain.

Ya Allah, jadikanlah kami daripada hamba-hamba-Mu yang soleh.

Jadikanlah kami daripada tentera yang membela agama-Mu.

Jadikanlah kami daripada orang yang menolong agama-Mu dan meninggikan kalimah-Mu.

Dan janganlah Engkau jadikan kami daripada orang yang mengecewakan agama-Mu atau yang meninggalkan pertolongannya.”

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif