Kembali

IDF Lancar Operasi Darat, PBB Akui Gencatan Senjata Gagal

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Nov 20, 2026

IDF Lancar Operasi Darat, PBB Akui Gencatan Senjata Gagal

Baru-baru ini, selepas setahun berlakunya gencatan senjata, tentera IDF telah melancarkan operasi darat buat pertama kali di wilayah tengah Gaza, iaitu di sekitar kem pelarian Al-Bureij dan Nuseirat. Operasi tersebut dilaporkan bertujuan untuk meruntuhkan kekuatan pihak pejuang di wilayah kuning. Kekuatan yang dimaksudkan ialah terowong ketenteraan yang sedang dibina dan dibaiki.

Terdapat laporan yang turut menyatakan bahawa sebelum anggota tentera IDF mula menceroboh masuk dengan kenderaan berperisai seperti kereta kebal Merkava, lokasi pencerobohan tersebut telah dimasuki oleh kumpulan penjenayah bersenjata pada malam sebelumnya. Seperti yang dimaklumi, kumpulan penjenayah bersenjata seperti kumpulan Asyraf al-Mansi ini merupakan barisan hadapan bagi tentera IDF untuk mengurangkan kehilangan nyawa, kecederaan anggota dan kerosakan aset ketenteraan akibat serangan para pejuang.

Walau bagaimanapun, operasi ini dilaporkan telah terhenti. Namun, hanya disebabkan operasi yang berlangsung selama beberapa jam ini, seramai 6,000 penduduk telah berpindah keluar dari kediaman asal mereka. Tentera IDF juga telah melancarkan serangan menggunakan kereta kebal, artileri dan pesawat tentera udara terhadap penduduk awam. Semua ini merupakan tambahan kepada serangan udara yang berlaku hampir setiap hari ke atas Gaza.

Ada penganalisis berpendapat bahawa operasi ini bertujuan untuk menguji kekuatan ketenteraan Hamas. Sepanjang setahun ini, pihak Hamas tidak membalas serangan walaupun dengan sebutir peluru terhadap tentera IDF dan asetnya, meskipun anggota Hamas terus dibunuh melalui serangan udara. Dengan kata lain, gencatan senjata yang berlaku selama ini hanya dipatuhi oleh pihak Hamas, tetapi bukan oleh pihak IDF. Walaupun begitu, sayap ketenteraan Hamas, al-Qassam, sepanjang tempoh tersebut terus beroperasi dan bertempur dengan kumpulan penjenayah bersenjata yang ditaja serta dilatih oleh tentera IDF.

Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyebut bahawa perdana menteri rejim penjajah ini sedang berusaha untuk mencetuskan perang di peringkat pentadbiran. Walaupun serangan terus berlaku ke atas Gaza, pentadbiran rejim penjajah dan Amerika Syarikat masih menganggap status semasa sebagai gencatan senjata, bukannya perang secara aktif. Jika perang tercetus secara rasmi, perdana menteri sekarang, Benjamin Netanyahu, boleh mengekalkan kuasanya tanpa terkesan dengan pakatan pembangkang yang dilihat semakin hampir menuju ke tampuk kekuasaan kerajaan dengan bantuan parti-parti Arab yang menang.

Sebahagian penganalisis pula melihat usaha ini sebagai langkah untuk menarik semula Amerika Syarikat supaya memberikan sokongan kepada rejim penjajah dalam perang di Palestin. Hal ini memandangkan perang Amerika Syarikat dan Iran sudah mula ditentang oleh majoriti rakyat awam sehingga menyebabkan kekalahan dalam pemilihan pertengahan yang lalu. Menurut tinjauan Ipsos (badan penyelidikan bebas), hanya 31% rakyat Amerika menyokong perang tersebut. Sebanyak 71% pula menyokong tindakan Kongres untuk menghentikannya. Manakala, kos perbelanjaan akibat perang terhadap Iran juga telah menelan sekitar 48.3 bilion dolar Amerika Syarikat.

Perang demi rejim penjajah di Palestin agak berbeza. Walaupun bilangan ahli politik yang mengalami kekalahan akibat sokongan mereka terhadap Israel dan penerimaan wang lobi Israel semakin meningkat, masih ramai ahli politik, sama ada daripada parti kerajaan mahupun pembangkang, yang dikawal oleh lobi Israel. Sebagai contoh, dalam Parti Demokrat, seramai 53 orang ahli politik telah menang dengan bergaya atas dasar menolak wang lobi Israel serta menyokong bantuan dan kerjasama Amerika Syarikat dengan Israel. Namun, dalam parti yang sama, masih terdapat 247 ahli politik yang telah menang dengan wang lobi Israel. Ini bermakna rejim penjajah masih mampu mengawal dan mempengaruhi ahli-ahli politik di Amerika Syarikat demi kepentingannya.

Board of Peace Lebih Melindungi Israel

Selain perbahasan berkenaan operasi darat ini dan kemungkinan berlakunya perang yang lebih besar, terdapat beberapa perkara lain yang juga sangat penting. Baru-baru ini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri mengakui bahawa Board of Peace (BoP), yang sepatutnya menaungi proses gencatan senjata, tidak mampu menjalankan fungsi yang sepatutnya.

Dengan kata lain, BoP ciptaan Amerika Syarikat ini gagal membawa perdamaian. Malah, untuk menahan rejim penjajah daripada terus menyerang penduduk awam di Gaza selama sehari pun gagal. Tiada hari yang berlalu di Gaza tanpa adanya mangsa yang terkorban atau tercedera. Apakah pula jaminan bahawa BoP ini mampu menahan operasi darat IDF seperti yang berlaku dua hari lalu?

Manakan tidak, negara haram Israel sendiri merupakan anggota rasmi BoP. Bukan itu sahaja, lapan negara anggota lain yang semuanya merupakan negara Islam, iaitu Bahrain, Kazakhstan, Kuwait, Maghribi, Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Uzbekistan, telah membayar sebanyak satu bilion dolar Amerika Syarikat, sedangkan negara penjajah ini tidak membayar satu sen pun.

Manakala, Palestin bukan sahaja tidak menjadi negara anggota, malah wakilnya juga tidak diberikan kedudukan yang tinggi dalam struktur organisasi BoP. Kedudukan yang diberikan kepada mereka lebih kepada pelaksana bawahan. Itupun, mereka tidak dibenarkan memasuki Gaza sehingga ke saat ini.

Antara kegagalan terbesar BoP yang dianggotai lapan negara Islam ini juga ialah usaha membangunkan semula Gaza. Sejak gencatan senjata diumumkan, satu beg simen atau apa-apa bahan binaan pun tidak dapat dibawa masuk. Kebanyakan bantuan kemanusiaan yang masuk bersifat sementara dan tidak mampu membantu membina semula kualiti hidup rakyat Gaza. Sebagai contoh, dalam hal berkaitan pemakanan, kebanyakan bantuan yang masuk terdiri daripada gula, coklat, kopi dan sebagainya, bukannya makanan yang berkhasiat.

Dengan kata yang lebih mudah, memang benar BoP ini membantu rakyat Palestin, tetapi mereka dibiarkan hidup dalam keadaan yang amat rendah kualitinya dan tidak bermaruah. Bahkan, haiwan peliharaan pun mendapat jagaan yang lebih baik dan memiliki kebebasan penuh. Hal ini tidak lain dan tidak bukan seakan-akan satu penghinaan kepada umat Islam yang berjumlah dua juta manusia. Amat malang, antara penaja terbesar BoP ialah negara-negara Islam yang kaya raya sendiri. Mereka mampu menghadiahkan Donald Trump sebuah pesawat terbang yang berharga berjuta-juta dolar Amerika Syarikat, tetapi untuk membina hospital, sekolah dan masjid di Gaza, mereka tidak mampu.

Penutup

Apabila melihat keadaan orang Palestin yang terus diserang dari segenap sudut tanpa henti, sepatutnya umat Islam terus memberikan sokongan dan bantuan. Tidak timbul persoalan untuk mengaku kalah atau berasa putus asa dalam meneruskan bantuan hanya disebabkan sudah terlalu lama menyalurkannya kepada mereka.

Orang Palestin di sana diuji dengan kehilangan nyawa, harta benda, kesempitan hidup dan kelaparan. Kita di sini pula hanya diuji dengan wang yang perlu disumbangkan kepada mereka. Teruskan membantu dengan segala kekuatan yang ada dan berdoalah kepada Allah SWT supaya terus memberikan kekuatan kepada kita dan mereka agar kekal ikhlas serta istiqamah dalam jalan perjuangan ini.