Kembali

Hipokrasi Kuasa Barat: Mengecam Tanpa Tindakan, Membisu Tanpa Sekatan

Nadia Amira Shamsul

Oct 25, 2026

Hipokrasi Kuasa Barat: Mengecam Tanpa Tindakan, Membisu Tanpa Sekatan

 

Pada 17 Oktober 2026 yang lalu di sebuah perkampungan Palestin iaitu di Taybeh, Tebing Barat yang dijajah sekumpulan konvoi diplomatik yang disertai Konsul Jeneral Belgium, wakil dari Perancis dan paderi-paderi besar Katolik, telah diserang hendap oleh pendatang haram Israel dengan batang besi sebagai senjata sambil memakai topeng bagi merahsiakan identiti mereka.

 


Serangan ke atas delegasi asing ini telah serta-merta menarik perhatian dan mendapat kecaman hebat dunia termasuklah gesaan oleh pihak perisikan Israel sendiri yang akan menjalankan siasatan segera terhadap kejadian tersebut. Kejadian ini sedikit sebanyak mendedahkan realiti hitam dalam dunia geopolitik moden yang berat sebelah dan menyuarakan kecaman hanya untuk pihak yang tertentu.

 

Bagi rakyat Palestin di Tebing Barat yang hidup dibawah penjajahan negara haram Israel, serangan dan keganasan yang dihadapi oleh delegasi Eropah ini bukanlah satu perkara yang baru tetapi itulah ‘asam garam’ kehidupan yang harus ditempuhi mereka demi kelangsungan hidup.

 

Sejak tercetusnya genosid 7 Oktober 2023, serangan keganasan oleh pendatang haram Yahudi khususnya di Tebing Barat yang dipelopori oleh gerakan Hilltop Youth telah mencatatkan peningkatan yang sangat membimbangkan. Malah peranan dan kewujudan mereka juga dilihat sebagai antara langkah sistematik untuk menghalau lebih ramai penduduk Palestin daripada kediaman dan tanah mereka.

 

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), lebih daripada 1,330 serangan pendatang haram telah direkodkan sejak Januari 2026 dan setakat ini, seramai 1,988 rakyat awam Palestin telah diusir keluar dari kediaman mereka.

 

Keganasan ini merangkumi serangan fizikal yang mampu mendatangkan kecederaan. Di kawasan Masafer Yatta, selatan Al-Khalil, empat orang wanita dan seorang kanak-kanak cedera akibat serangan pendatang haram Zionis. Di Deir Ammar, Ramallah pula, Pasukan Penjajah Israel (IOF) melepaskan tembakan ke arah petani untuk memaksa mereka meninggalkan ladang. Malah, kenderaan aktivis antarabangsa seperti Jonathan Budlak turut dirosakkan, selain kejadian melontar batu ke atas kenderaan milik petani tempatan.

 

Inilah keganasan harian yang dihadapi oleh penduduk Palestin. Namun, tidak ada penentangan secara meluas oleh masyarakat antarabangsa. Tiada operasi keselamatan tergempar, tiada tindakan pembekuan aset secara menyeluruh seolah-olah dunia sudah lali dengan penindasan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Tebing Barat. Sikap pasif ini secara tidak langsung mewujudkan situasi systemic impunity (kebebasan daripada hukuman yang berstruktur) yang membolehkan jenayah terus berlaku dengan restu secara tidak langsung daripada kerajaan Israel.

 

Sebagai contoh, pada tahun ini sahaja, penceroboh haram bertopeng giat menyerang petani Palestin dan membakar ladang pohon zaitun di bawah perlindungan dan pemerhatian IOF. OCHA merekodkan sebanyak 200 serangan ke atas ladang dengan lebih daripada 2,500 pohon zaitun ditarik akarnya, dibakar, atau dikerat. Keganasan ini turut meragut nyawa, seperti insiden pembunuhan Ali Hassan Yasser al-Bazzari yang diserang ketika sedang memetik buah zaitun di Nablus.

 

Dengan kata lain, apabila sesebuah negara secara berstruktur melindungi penjenayah sambil menafikan hak perlindungan asas penduduk yang dijajah seperti yang ditekankan dalam Konvensyen Geneva Keempat, maka keganasan berlaku bukan lagi sekadar perlakuan jenayah setempat. Ia menjadi satu dasar rasmi negara yang dilaksanakan melalui pihak ketiga.

 

Sentimen ini juga yang sedang dibakar hangat oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich tatkala Pilihan Raya Israel semakin menghampiri tarikhnya. Begitu juga fatwa keagamaan yang dikeluarkan oleh Dov Lior, seorang rabbi terkemuka bagi parti pimpinan Menteri Keselamatan Kebangsaan Israel, Itamar Ben-Gvir. Rabbi tersebut, yang menjadi rujukan utama kumpulan radikal Hilltop Youth, mengisytiharkan bahawa penganut Yahudi dibenarkan mengambil hasil tanaman zaitun di Tebing Barat. Menurutnya, tindakan merampas hasil bumi ini bukan sahaja satu kewajipan keagamaan, malah bertujuan menuntut Palestin yang didakwanya milik mutlak kaum Yahudi.

 

Keengganan dunia bertindak membuatkan mereka berasa kebal daripada undang-undang antarabangsa. Serangan ke atas konvoi diplomatik baru-baru ini ialah akibat nyata daripada sikap berdiam diri masyarakat dunia. Apabila penceroboh dibiarkan menindas penduduk tempatan tanpa sebarang hukuman selama bertahun-tahun, akhirnya mereka makin berani menyerang sesiapapun, termasuk masyarakat antarabangsa.

 

Terdapat tiga asas penting dalam undang-undang antarabangsa yang dilanggar secara berterusan di Tebing Barat:

 

  1. Mencabar dan Menghormati Kedaulatan Wilayah: Mengancam integriti wilayah dan kedaulatan negara (Piagam PBB Perkara 2(4)).

  2. Perlindungan Orang Awam yang Dijajah: Kewajipan melindungi hak serta keselamatan penduduk awam di bawah wilayah pendudukan (Konvensyen Geneva Keempat Perkara 27 dan 49).

  3. Keselamatan Diplomat Antarabangsa: Menjamin kekebalan dan keselamatan wakil-wakil diplomatik asing (Konvensyen Vienna Perkara 29).

 

Justeru itu, sekiranya kuasa besar hanya akan bersuara apabila delegasi mereka sendiri menjadi mangsa, ini bermakna bahawa sistem undang-undang antarabangsa tidak lagi berfungsi untuk melindungi mereka yang memerlukan perlindungan. Apa yang terjadi menuntut perubahan sebenar dan bukan sekadar kata-kata kosong tanpa tindakan yang tuntas.

 

Penganalisis politik Palestin, Ahmed Najar, bersama bekas wakil Kesatuan Eropah, Sven Kuhn von Burgsdorff, menyifatkan bantahan serta kecaman Barat terhadap keganasan pendatang haram Israel sebagai tindakan yang sia-sia dan memalukan.

 

Bagi mereka, kenyataan keras daripada kuasa Barat langsung tidak bermakna selagi tiada tindakan tatatertib atau sekatan tegas yang dikenakan kepada mereka yang terlibat. Malah, pihak Barat dilihat bersikap hipokrit kerana terus menyalurkan bantuan senjata, dana dan perlindungan diplomatik kepada Israel, sekali gus menjadi pemangkin kepada pencerobohan yang berterusan.

 

Insiden serangan delegasi antarabangsa ini adalah satu pengajaran kepada dunia bahawa keganasan pendatang haram yang semakin memuncak di Tebing Barat bukan lagi satu insiden yang terpencil namun perkara yang sewajarnya diberikan perhatian. Dunia bertanggungjawab memastikan undang-undang antarabangsa dihormati bukan hanya untuk kesejahteraan delegasi antarabangsa yang datang berkunjung tetapi juga untuk jutaan rakyat Palestin yang berdepan dengan ancaman keganasan pendatang haram Zionis pada setiap hari.

Penyelidik dan Advokasi Aqsa Syarif
Nadia Shamsul