Kembali
Genosid dan Kebuluran di Gaza Bukan Kegagalan Hamas Tapi Dunia
Khalid Jimat
Aug 21, 2025

Kebelakangan ini mula timbul suara-suara yang menyalahkan Hamas atas kematian, kebuluran dan kemusnahan yang menimpa penduduk Gaza.
Mereka menyalahkan Hamas kerana melancarkan Operasi Taufan al-Aqsa yang mencetuskan serangan balas luar biasa daripada rejim Zionis. Tindakan tersebut diibaratkan seperti ‘seekor tikus yang cuba menyerang seekor singa yang sedang tidur’.
Mereka menyalahkan Hamas kerana tidak berfikir masak-masak kesan yang akan menimpa Gaza sekiranya serangan dilancarkan terhadap rejim Zionis. Pada hemat mereka, Hamas tidak sepatutnya mencabar rejim itu sebelum membuat persediaan yang secukupnya.
Ada juga pihak yang menuduh serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 sebagai sebahagian daripada agenda Iran untuk mencetuskan ketidakstabilan yang berterusan di timur tengah. Justeru, Hamas didakwa menjadi perkakas kepada agenda sektarian Ayatollah di Iran.
Suara-suara ini mula muncul selepas 22 negara Arab menyatakan sokongan terhadap Deklarasi New York yang diumumkan pada 29 Julai 2025. Deklarasi tersebut antara lain menyelar Operasi Taufan al-Aqsa sebagai serangan pengganas dan menggesa Hamas supaya meletakkan senjata sebagai formula bagi menamatkan genosid di Gaza.
Blaming The Victims
Saya ingin mengingatkan mereka yang telah mula berubah angin dan menyalahkan Hamas bahawa inilah sebenarnya yang dimahukan oleh rejim Zionis. Ini taktik klasik yang telah lama mereka gunakan untuk menyelamatkan diri daripada tekanan antarabangsa - ‘blaming the victims’ (menyalahkan mangsa).
Mereka yang mengikuti rapat perkembangan di Palestin pasti sedar bahawa penderitaan rakyat Palestin tidak bermula pada 7 Oktober 2023. Rakyat Palestin telah menderita hidup di bawah penjajahan rejim Zionis jauh sebelum itu; sejak tahun 1948 lagi.
Hamas telah membentangkan dengan panjang lebar rasional di sebalik operasi mereka melalui satu dokumen bertajuk “Our Narrative: Operation al-Aqsa Flood” (Naratif Kami: Operasi Taufan al-Aqsa) yang diterbitkan pada 21 Januari 2024.
Dokumen tersebut antara lain menyebutkan: “Selepas 75 tahun penjajahan dan penderitaan tanpa henti, selepas kegagalan semua inisiatif untuk mengembalikan rakyat kami (yang menjadi pelarian), dan selepas kegagalan besar proses damai, apakah yang dunia harap rakyat Palestin akan lakukan? Apakah kami perlu terus menunggu dan mengharapkan keputusan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)? Atau kami mengambil inisiatif membela rakyat, tanah air, hak dan kesucian Palestin sesuai dengan undang-undang, norma dan konvensyen antarabangsa.”
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sendiri mengakui serangan Hamas tidak berlaku dalam vakum. Professor John Mearsheimer dan Professor Norman Finkelstein menyifatkan serangan Hamas sebagai cubaan penduduk Gaza untuk membebaskan diri mereka daripada penjajahan dan ‘penjara terbesar’ di dunia.
Sebahagian cendekiawan seperti Professor Judith Butler pergi lebih jauh dengan menyifatkan Operasi Taufan al-Aqsa sebagai penentangan bersenjata yang sah di sisi undang-undang antarabangsa sesuai dengan Resolusi 37/43 Perhimpunan Agung PBB (1982) yang mengiktiraf hak rakyat yang berada di bawah penjajahan asing untuk melancarkan penentangan bersenjata.
Sebab itu PBB tidak menyenaraikan Hamas sebagai kumpulan pengganas sungguhpun didesak oleh Israel dan Amerika Syarikat (US) untuk berbuat demikian. European Union (EU), United Kingdom (UK) dan Australia juga sebelum ini hanya menyenaraikan Briged al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas sebagai kumpulan pengganas dan bukan Hamas secara keseluruhan (sebelum kemudian mengubah pendirian mereka hasil lobi Zionis).
Dengan kata lain, operasi yang dilancarkan oleh Hamas merupakan tindak-balas yang logik ke atas penjajahan yang telah berlarutan lebih 7 dekad. Bahkan Hamas bukan kumpulan pejuang Palestin yang pertama berbuat demikian. Kumpulan-kumpulan fedayeen (freedom fighters), Harakat at-Tahrir al-Watani al-Filastini (Fatah), Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP), dan Democratic Front for the Liberation of Palestine (DFLP) lebih jauh mendahului Hamas.
Kegagalan Dunia, Bukan Hamas
Tindakan sesetengah pihak menyalahkan Hamas atas genosid dan kebuluran yang menimpa Gaza pada hari ini sangat jauh menyimpang daripada kebenaran; seolah-olah mereka terlupa yang mengebom dan menyekat bantuan masuk ke wilayah Palestin itu selama ini adalah rejim Zionis Israel.
Bahkan, kegagalan menghalang rejim Zionis daripada melanggarkan semua undang-undang perang, melakukan jenayah genosid dan menggunakan kebuluran sebagai senjata perang seharusnya diletakkan di atas bahu komuniti antarabangsa dan bukannya Hamas!
Tanggungjawab mencegah genosid seperti yang terkandung dalam Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (1951) dan tanggungjawab mencegah jenayah perang seperti yang terkandung dalam Konvensyen Geneva (1949) adalah tanggungjawab kolektif semua negara-negara yang telah mengiktiraf dan menandatangani konvensyen ini.
Dengan kata lain, menjadi tanggungjawab komuniti antarabangsa untuk melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan (UNSC) dan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang telah diluluskan serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah dikeluarkan terkait dengan penjajahan, genosid dan jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.
Kegagalan inilah yang sebenarnya menyumbang kepada wewenang rejim Zionis pada hari ini; bukan operasi Hamas. Justeru, tindakan menyalahkan Hamas adalah tindakan yang amat memalukan dan sangat tidak bertanggungjawab. Ia adalah cubaan untuk menyelamatkan diri daripada tanggungjawab moral dan kemanusiaan terhadap penjajahan di Palestin yang telah berlarutan lebih 7 dekad!
Jangan Jadi Perkakas Zionis
Lebih memalukan dan lebih terkutuk lagi ialah tindakan menyokong desakan rejim Zionis supaya Hamas menyerah kalah, melucutkan senjata dan keluar dari Gaza!
Ketika Hamas telah berusaha dengan segala daya dan upaya mereka untuk menjaga kebajikan penduduk Gaza di sebalik sekatan rejim Zionis, membina keupayaan dan kebijakan untuk membangunkan persenjataan dan keupayaan ketenteraan sendiri selama lebih 2 dekad dalam keadaan serba kekurangan, dan bertempur dengan rejim Zionis dengan penuh keberanian tanpa sebarang bantuan ketenteraan daripada negara-negara Arab dan Islam, desakan supaya Hamas meletakkan senjata adalah tindakan bacul dan pengkhianatan terbesar terhadap perjuangan pembebasan Palestin!
Apa alasan kita untuk menyokong pelucutan senjata Hamas? Apakah Hamas telah berjaya ditewaskan oleh rejim Zionis? Apakah rejim Zionis telah berjaya membebaskan semua rakyat dan tenteranya yang ditawan oleh Hamas melalui operasi-operasi ketenteraan yang mereka lancarkan? Apakah rejim Zionis telah berjaya mencapai semua matlamat perang yang ia umumkan sejak 7 Oktober 2023?
Bukankah jurucakap tentera Zionis sendiri, Daniel Hagari yang mengaku bahawa Hamas tidak boleh ditewaskan? “Hamas adalah idea. Sesiapa yang berfikir ia boleh menghapuskan Hamas sedang bermimpi di siang hari!”
Bukankah Menteri Pertahanan Zionis, Yoav Gallant yang Netanyahu pecat pada November 2024 sendiri mengakui tiada lagi matlamat ketenteraan yang boleh dicapai di Gaza selain gencatan senjata dan pertukaran tawanan?
Bukankah bekas Setiausaha Amerika Syarikat, Anthony Blinken sendiri mengaku bahawa Hamas telah berjaya menggantikan hampir semua 10,000-15,000 pejuangnya yang gugur dengan barisan pejuang yang baru?
Justeru, ketika rejim Zionis gagal menghapuskan Hamas, mengapa kita pula yang perlu menjadi perkakas Zionis untuk membantu melucutkan senjata mereka? Sudahlah kita gagal melaksanakan seruan Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (KUMS) supaya membentuk pakatan ketenteraan bagi membela Palestin, kini kita desak pula pejuang muslimin untuk meletakkan senjata? Semoga Allah SWT jauhkan kita daripada langkah keji dan terkutuk ini.
Menang Taktikal, Kalah Strategik
Angka kematian yang besar, kebuluran yang membunuh, dan kemusnahan yang melata di Gaza bukan bukti rejim Zionis telah menang. Perang tidak dimenangi dengan membunuh seramai mungkin orang awam dan memusnahkan semua harta benda. Perang dimenangi dengan mengalahkan pihak lawan atau memaksa mereka supaya menyerah kalah.
Tak dinafikan rejim Zionis hari ini menang dari sudut taktikal kerana mereka mempunyai kelebihan dana, kakitangan dan senjata. Tapi kalau dinilai dari sudut strategik mereka tewas dalam banyak lapangan.
Hari ini dunia tidak lagi melihat Israel dengan pandangan yang sama berbanding sebelum 7 Oktober 2023. Israel kini dilihat sebagai negara pariah yang dibenci kerana kezaliman mereka. Demonstrasi aman di pelbagai kota utama dunia - London, Washington DC, Paris, Berlin, Rome, Madrid, The Hague, Sydney - menyaksikan kehadiran yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini.
Tinjauan oleh badan analitik terkemuka dunia, Gallup Poll baru-baru ini menyaksikan sokongan di kalangan rakyat Amerika Syarikat terhadap serangan rejim Zionis di Gaza merosot teruk kepada 32% sahaja. Ini petanda masa depan yang gelap buat Zionis di negara yang menjadi pendukung kuat mereka selama ini. Jadi tak hairanlah buat pertama kali dalam sejarah mereka sendiri mengaku telah tewas dalam perang naratif.
Ekonomi Israel juga berada dalam keadaan terumbang-ambing. Defisit belanjawan, defisit fiskal dan hutang rejim Zionis terus membengkak sejak tahun 2023. Tiga agensi penarafan kredit antarabangsa terbesar dunia - Moody’s, Fitch, S&P - telah menurunkan penarafan kredit dan memberi pandangan negatif terhadap ekonomi Israel sebanyak dua kali.
Perbelanjaan perang Israel sudah mencecah 250 billion shekels ($67.5 billion) setakat Disember 2024 dan sejumlah 118 billion shekels ($31 billion) lagi sudah diperuntukkan untuk tahun 2025. Jumlah ini dijangka terus meningkat ekoran serangan mengejut rejim itu terhadap Iran pada bulan Jun dan kegagalan menamatkan operasi di Gaza sehingga hari ini.
Perang yang berterusan juga telah menyebabkan hampir 80,000 syarikat kecil di Israel jatuh bankrap ekoran kekurangan pekerja yang terpaksa memenuhi panggilan untuk berkhidmat dalam tentera. Situasi ini diburukkan lagi dengan fenomena penghijrahan keluar lebih 73,000 rakyat Israel termasuk sebahagian besar dari kalangan pekerja sektor teknologi tinggi yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi.
Masalah ini, ditambah dengan krisis sosio ekonomi melibatkan golongan ultra-ortodoks di Israel menyebabkan Professor Ekonomi dari Universiti Tel Aviv, Dan Ben-David mengunjurkan Israel mempunyai masa 4 tahun sahaja untuk menstruktur semula ekonomi mereka sebelum ia memasuki putaran yang boleh mengancam masa depan entiti Zionis itu.
Di arena antarabangsa, Israel sudah berpuluh-puluh tahun mengelak diheret ke ICJ dan ICC. Hari ini ICJ sudah mengeluarkan arahan rasmi supaya Israel berundur dari Tebing Barat dan Gaza dengan kadar segera dan sudah membuka kes untuk membicarakan Israel atas dakwaan melakukan jenayah genosid. ICC pula sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant.
Barangkali sebab inilah Professor Ilan Pappé, sejarawan Israel yang terkenal dengan bukunya “The Ethnic Cleansing of Palestine” berani mengatakan apa yang sedang berlaku adalah permulaan kepada berakhirnya projek Zionis di Palestin.
“Perang Israel di Gaza ketika ini mungkin saat paling gelap dalam sejarah Palestin, tetapi ia adalah kegelapan sebelum terbitnya matahari," kata Pappé.“
Saya percaya kita sedang menyaksikan permulaan kepada pengakhiran projek ini (penjajahan Zionis di Palestin). Permulaan kepada pengakhiran projek penjajahan seperti Zionisme adalah episod paling mengerikan kerana rejim tersebut sedang mempertahankan survivalnya,” jelas beliau.
Bidasan Buat Si Penuduh
Tuntasnya, Hamas bukan seekor tikus yang menyerang seekor singa yang sedang tidur. Sebaliknya Hamas adalah seekor kancil yang cuba menggunakan segala sumber dan kebijakan yang ada untuk menghalang seekor singa daripada berterusan meluaskan wilayah penguasaannya sambil membaham kancil-kancil lain di tengah-tengah kebaculan dan sikap acuh tak acuh seluruh penduduk rimba! Yang menikus itu penduduk rimba yang lain, bukan si kancil!"
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)." (Surah al-Anfal: 45)
Tindakan menyalahkan Hamas kerana tidak membuat persiapan yang mencukupi sebelum melancarkan operasi mendedahkan kebebalan pihak yang menuduh; seolah-olah tidak menyedari hakikat Gaza yang telah berada di bawah sekatan rejim Zionis sejak tahun 2007.
Masyarakat mana yang mampu membuat persiapan yang mencukupi ketika terus dibelenggu penjajahan, sekatan dan bedilan berkali-kali - 2008-2009 (Operation Cast Lead), 2012 (Operation Pillar of Defense), 2014 (Operation Protective Edge), 2021 (Operation Guardian of the Walls) dan 2023-2025 (Operation Sword of Iron). Itu hanya utopia orang yang tak pernah hidup di bawah penjajahan.
Tidak pernah ada dalam rekod sejarah pejuang kemerdekaan mempunyai persiapan lengkap setanding dengan pihak penjajah. Pihak penjajah tidak akan pernah mengizinkan perkara ini berlaku. Yang ada ialah kekuatan tekad dan semangat juang yang tinggi untuk membebaskan watan.
"Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisa': 104)
Tindakan menuduh Hamas menjadi alat agenda sektarian Iran adalah hujah orang malas yang buta sejarah. Iran menjadi aktor penting dalam pertembungan dengan rejim Zionis hanya selepas negara-negara Arab yang terlebih dahulu memutuskan untuk meninggalkan perjuangan ini.
Bermula dengan Mesir pada tahun 1978, kini seluruh Liga Arab mahu berdamai dengan Israel untuk melepaskan ‘beban’ ini buat selama-lamanya. Resolusi Khartoum 1967 yang menggariskan tiga prinsip - 'No peace with Israel, No negotiation with Israel, No recognition of Israel', kini hanya tinggal sebagai nota kaki dalam lembaran sejarah.
Dengan kata lain, bukan Hamas yang menjadi perkakas Iran. Sebaliknya, negara-negara Arablah yang telah menyerahkan diri mereka untuk menjadi perkakas Zionis pada hari ini. Semua atas nama kepentingan negara (national interest) dan kepentingan serantau (regional interest).
"Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". (Al-Baqarah: 249)
Hamas Merangkul Semua Inisiatif
Hamas ialah sebuah gerakan pembebasan yang telah bergerak di dalam masyarakat Palestin selama berpuluh-puluh tahun - membina halaqah al-Quran, madrasah, masjid, universiti, hospital, dan pelbagai badan kebajikan sebelum muncul sebagai sebuah parti politik dengan sayap ketenteraan yang tersusun pada tahun 1987.
Berbeza dengan gerakan pembebasan Palestin yang lain, Hamas mengambil pendekatan Islam berbanding pendekatan nasionalis (Fatah) dan Marxis/sosialis (PFLP, DFLP).
Hamas menggunakan pendekatan dakwah Ikhwanul Muslimin (IM) di dalam perjuangannya. Mungkin sebab inilah banyak pemimpin-pemimpin Arab cenderung untuk tidak menyokongnya kerana IM sering dituduh sebagai gerakan pan-Islam yang radikal dan subversif yang mengancam kerajaan-kerajaan Arab. IM hari ini diharamkan di Mesir, Arab Saudi, UAE dan Bahrain.
Realitinya IM adalah gerakan Islam yang menyeru kepada reformasi (islah) dan pembaharuan (tajdid) di dalam masyarakat agar syiar Islam dapat kembali ditegakkan dan agama Islam dapat benar-benar berfungsi sebagai rahmat kepada sekalian alam.
Pendekatan inilah yang telah membolehkan Hamas mendapat sokongan rakyat dan memenangi Pilihan Raya Legislatif Palestin pada tahun 2006; pilihan raya yang disifatkan oleh Bekas Presiden US, Jimmy Carter sebagai benar-benar bebas dan demokratik. Walau bagaimanapun, kerajaan Hamas yang dipimpin oleh as-syahid Ismail Haniyeh telah diboikot dan dikenakan pelbagai sekatan sehinggalah dipinggirkan di Gaza.
Justeru, Hamas bukan kumpulan pengganas seperti yang didakwa oleh rejim Zionis dan sekutunya. Hamas merangkul semua usaha membela rakyat Palestin baik melalui badan kebajikan, pilihan raya yang demokratik mahupun penentangan bersenjata.
"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar." (Surah Ali Imran: 146)
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah: 155-156)
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar." (Surah al-Anfal: 46)
Wallahua'lam.