Kembali

Gencatan Senjata Iran-Amerika rapuh

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Apr 15, 2026

Ini Bukan Perang Satu Lawan Satu

Perang Amerika melawan Iran bukan perangan satu lawan satu. Tetapi ia adalah perang Amerika bersama sekutunya, rejim Zionis, dua negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan tertinggi di dunia dan dibantu pula oleh negara Arab, membolehkan keperluan logistik dipenuhi bagi memudahkan serangan terhadap Iran. Pada 2 April lalu, Donald Trump secara jelas menyebutkan terima kasih kepada Saudi Arabia, Qatar, UAE, Kuwait dan Bahrain kerana membantu Amerika. Tiada satu pun daripada lima negara yang disebut ini menafikan ucapan terima kasih yang dikeluarkan oleh Trump.

Manakala Iran pula, sejak tertubuhnya kerajaan baru selepas kejatuhan Syah pada tahun 1979, tidak mempunyai sekutu kuat dan sentiasa dalam keadaan terdedahkan kepada ancaman daripada Amerika Syarikat, rejim Zionis dan negara Arab. Tidak dinafikan Iran mempunyai rakan strategik seperti Syria di zaman Hafiz al-Asad, Libya di zaman Muammar Gadafi dalam usaha pembinaan roket balistik dan secara tidak langsung juga dengan  China, Rusia dan Korea Utara dari aspek pernigaan tertentu dan persenjataan secara umum dan terhad.

Tetapi Syria yang lama telah tumbang di tangan para pejuang Haiah Tahrir al-Syam dan Libya juga menemui jalan yang sama akibat campur tangan dari Amerika Syarikat dan Barat. China juga mempunyai pelaburan berjumlah berbilion dolar Amerika Syarikat di negara haram Zionis dan Rusia dalam masa yang sama tidak sepenuhnya bersama Zionis, tidak sepenuhnya memusuhinya dan mempunyai kepentingan bersama. Oleh itu, hakikatnya Iran berseorangan dibandingkan dengan Amerika Syarikat dari segi kekuatan kerjasama antara negara.

Realiti kekuatan Hizbullah dan Houthi

Ramai anggap Hizbullah dan Houthi adalah sekutu Iran. Hakikatnya mereka adalah organisasi ketenteraan yang tidak mewakili seluruh negara. Hizbullah di selatan Lubnan dan Houthi pula di sebelah barat Yaman. Kedua-duanya tidak mempunyai kapasiti ketenteraan yang cukup pun untuk mencabar kedaulatan mana-mana negara Arab yang mempunyai kekuatan udara, darat dan laut yang jauh lebih kuat.

Walaupun kita berbangga dengan kemusnahan yang berlaku di Tel Aviv, Haifa, Ber Saba dan sekitar 19 pengkalan tentera Amerika Syarikat di negara Arab akibat serangan Iran. Tetapi kerugian yang dihadapi Iran turut besar. Daripada segi politik, barisan pimpinan utama seperti Ali Khomenai, menteri pertahanan, ketua turus angkatan ketenteraan, ketua keselamatan utama dan ramai lagi telah terkorban. Ini secara jelas menunjukkan kebocoran perisikan yang sangat membahayakan Iran. Begitu juga dengan kemusnahan yang melibatkan nyawa orang awam sekitar 2000 orang telah terkorban, sekolah kanak-kanak perempuan, fasiliti nuklear, hospital dan sebagainya.

Semua ini adalah perkara yang telah terjangka kerana Iran selama 47 tahun dihukum dengan lebih 8000 sekatan antarabangsa. Mereka tidak boleh secara mudah untuk membeli senjata untuk menyerang atau mempertahankan diri mereka daripada serangan musuh. Sudah tentu mereka mudah untuk ditembusi dengan agen perisikan Mossad dan serangan udara daripada tentera udara musuh. Mereka juga selama berpuluh tahun diburukkan oleh media barat sebagai negara pengganas dan tidak menghormati wak wanita. Semua ini menjadi mereka sebuah negara yang terasing daripada masyarakat antarabangsa khususnya daripada negara bukan Islam.

Selat Hormuz satu-satunya senjata Iran untuk menekan Trump

Oleh itu, satu-satu cara Iran untuk menekan Amerika Syarikat dan Rejim Zionis bukan cara ketenteraan seperti yang dijangka oleh ramai pihak, tetapi sekatan Hormuz. Ia adalah satu-satu serangan yang Iran ada untuk memastikan Amerika Syarikat teragak-agak untuk meneruskan serangan. Kerana sekiranya disekatnya Hormuz, dunia tidak menyalahkan Iran, tetapi Amerika Syarikat sebagai punca utama. Selat ini terbuka kepada semua tanpa seberang halangan sesiapa sebelum 28 Februari sehinggalah tercetus perang ini. Ini adalah kerugian strategik dan sokongan politik kepada Amerika Syarikat, sehingga Perancis, Spanyol dan beberapa negara besar lain berunding sendiri dengan Iran untuk melalui Selat Hormuz.

Hal ini menjadikan Amerika tidak menjumpai jalan keluar untuk menamatkan konflik yang sedang berlaku. Sekiranya diteruskan serangan ketenteraan, negara haram Zionis  akan terus dibedil oleh roket Balistik daripada Iran, Hizbullah dan Houthi. Begitulah negara Arab lain yang turut terkesan akibat serangan Iran kerana masih membenarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat bertapak dan membenarkan serangan dilakukan daripada negara mereka. Serangan Amerika Syarikat secara rawak terhadap kepentingan rakyat awam Iran menyebabkan rakyat lebih bersatu untuk bersama-sama menentang pengaruh Amerika Syarikat. Mereka faham sekiranya mereka membenarkan Amerika Syarikat menang, mereka bukan sekadar dijajah, tetapi mangsa kekejaman musuh yang tiada sempadan dan had, seperti yang berlaku pada jiran mereka sendiri, Iraq daripada tahun 2003 sehingga tahun 2011.

Setuju hanya untuk memulakan gencatan senjata, keamanan sebenar belum terjamin

Oleh itu, Amerika Syarikat menerima syarat gencatan senjata yang ditawarkan oleh Iran walaupun sebenarnya kesemua syarat itu mustahil untuk rejim Zionis dan Amerika Syarikat menerimanya. Penerimaan Amerika Syarikat di sini bukanlah penerimaan penuh, tetapi sebagai langkah permulaan gencatan senjata dan membuka Selat Hormuz untuk tempoh dua minggu. Namun tidak sampai 24 jam pengumuman Trump berkenaan gencatan senjata disiarkan, rejim Zionis telah melancarkan 100 serangan terhadap seluruh Lubnan menyebabkan paling kurang 254 orang meninggal atau syahid.

Ini bukanlah sekadar serangan biasa, tetapi ia mengandingi isyarat daripada penjajah Zionis bahawa syarat-syarat Iran tidak akan terlaksana. Jika terlaksana, maka rejim Zionis kalah sepenuhnya di selatan Lubnan kerana mereka tidak akan mampu mengalah pasukan Hizbullah di sana. Keduanya, jika pangkalan ketenteraan Amerika Syarikat meninggalkan rantau Arab, rejim ini akan terdedah dengan Iran lebih mudah tanpa bantuan Amerika Syarikat. Ia adalah kekalahan besar buat rejim Zionis bahkan menggugat kewujudan mereka di rantau Asia Barat.

Penutup

Sekali lagi, kekacauan yang sedang berlaku ketika ini bukan disebabkan Donald Trump. Presiden Amerika Syarikat hanyalah alat, tetapi puncanya adalah rejim Zionis. Rejim inilah yang melobi Amerika Syarikat untuk memulakan peperangan ini sejak perpuluh tahun lamanya. Tujuannya untuk memastikan tiada kuasa yang lebih kuat dan mampu cabar mereka di rantau Asia Barat ini. Dengan itu, memudahkan rejim ini menguasai tanah-tanah Arab seperti yang dijanjikan dalam perancangan Israel Raya.

Oleh itu, tanggungjawab untuk menggagalkan usaha ini adalah di bahu umah seluruh dunia. Ulama terkemuka seperti Syaikh Ahmad Raisuni sendiri menyatakan di awal perang ini tercetus bahawa beliau bersama Iran. Konflik ini sepatutnya tidak terbatas pada pegangan mazhab atau sejarah lampau yang penulis sendiri pernah menyaksikannya di Syria tahun lalu. Tetapi ia adalah usaha yang mesti diselesaikan bersama melalui kekuatan politik, ekonomi, ketenteraan dan sosial.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif