Kembali
Gencatan Rapuh, Pendamaian Palsu: Gaza di Bawah Bayang Penjajahan
Nadia Amira Shamsul
Nov 7, 2025

‘Pelan Damai Trump’ yang diumumkan pada 9 Oktober 2025 yang lalu hadir dengan rangka yang membawa harapan terhadap tamatnya perang, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza. Namun di sebalik pelan ini, tersembunyi sebuah rancangan untuk meneruskan kesinambungan kawalan dan penjajahan Israel terhadap rakyat Palestin.
Pelan ini merupakan satu lagi percubaan untuk merancang masa depan Gaza tanpa mengambil peduli pendirian rakyat Palestin. Amerika Syarikat (AS) dan Israel jelas ingin menjadikan wilayah terkepung tersebut sebagai sebuah zon pentadbiran baharu dan menjenamakan semula penjajahan sebagai sebuah langkah keamanan.

Rangka Kawalan Baharu
Pelan yang terdiri daripada 20 perkara ini diterajui oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan kerjasama kerajaan Israel. Ia menjanjikan gencatan senjata, dana pembinaan semula Gaza dan pembentukan sebuah kerajaan teknokrat sebagai ganti kepada pemerintahan Hamas.
Seperti yang dilaporkan oleh The Guardian, kerajaan teknokrat yang dicadangkan akan bertanggungjawab terus kepada sebuah Lembaga Damai (Board of Peace) yang dipengerusikan sendiri oleh Trump dan bukannya kepada rakyat Palestin (The Guardian 2025). Penstrukturan ini bukan kecuaian teknikal tetapi mengandungi niat tersirat untuk mengubah peranan rakyat Palestin daripada aktor politik kepada penerima bantuan semata-mata; daripada bangsa yang diwakili kepada bangsa yang ditadbir semata-mata.
Zaha Hassan, seorang peguam hak asasi manusia dan juga felo kanan kepada Carnegie Endowment for International Peace menegaskan bahawa pelan ini menafsirkan krisis di Gaza sebagai sebuah masalah keselamatan dan ekstremisme: bukan persoalan penjajahan mahupun pencabulan hak asasi. Dalam naratif ini, perjuangan kemerdekaan ditafsirkan sebagai ancaman. Justeru, Gaza tidak lagi dilihat sebagai tanah air yang dijajah tetapi sebagai wilayah bermasalah yang perlu diuruskan (Hassan 2025).
Nyah Persenjataan Untuk Nyah Kedaulatan
Antara teras utama pelan ini ialah nyahpersenjataan (demilitarization) Hamas. Sebagai timbal balas, Gaza akan diletakkan di bawah kawalan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (International Stabilisation Force, ISF) yang akan mengawasi sempadan, menyelia kemasukan bantuan kemanusiaan dan mencegah keganasan (Reuters 2025).
Penyahsenjataan Hamas bukan satu proses yang mudah. Justeru, untuk meyakinkan Netanyahu Amerika Syarikat telah membangunkan sebuah Pusat Penyelarasan Sivil-Ketenteraan (CMCC) di Kiryat Gat, Israel. Pusat ini akan menjadi hub penyelarasan antara Israel dan AS serta negara-negara lain yang akan terlibat sama dalam operasi ini. Pusat ini telah pun dirasmikan pada 17 Oktober lalu.
Laporan JNS (2025) dan Ynet menyifatkan hub ini sebagai usaha untuk menghimpunkan separuh sumber ketenteraan dunia dan mewujudkan gambaran distopia di mana masa depan Gaza akan ditentukan oleh orang asing yang tidak pernah hidup di bawah sekatan dan pengeboman seperti penduduk Gaza. Penyelarasan tersebut hanyalah topeng kepada pentadbiran asing yang berselindung di sebalik kerjasama antarabangsa untuk merampas kedaulatan rakyat Palestin atas alasan keselamatan.
Syarat nyahpersenjataan Hamas ini berpotensi menjadi sebuah penindasan berstruktur baharu terhadap rakyat Palestin. Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf hak mana-mana individua tau kelompok untuk mempertahankan diri sekiranya diserang dengan senjata. Malangnya, pelan ini menafikan sepenuhnya hak tersebut kepada penduduk Gaza.
Pembangunan semula Gaza turut diikat dengan proses penyahsenjataan ini. Menurut laporan Wall Street Journal (2025), Gaza akan dibahagikan kepada dua zon pentadbiran. Zon yang telah dinyahsenjatakan akan berada di bawah pengurusan Israel atau pihak antarabangsa. Zon ini akan menikmati proses pemulihan dan pembangunan semula sepertimana yang telah dijanjikan. Zon yang belum dinyahsenjatakan akan dibiarkan terus menderita di dalam runtuhan dan kemusnahan.
Yang paling ironi, pelan damai ini dirangka oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan di Gaza. Berbekalkan slogan damai, negara dan angkatan tentera yang melakukan jenayah perang dan genosid di Gaza kini dengan tak semena-mena tampil sebagai ‘penyelamat’ dan perancang pembangunan Gaza yang baharu. Ini adalah penghinaan kepada erti sebenar perkataan damai.
Apa makna damai jika rakyat Gaza masih berada di bawah penguasaan tentera asing? Apa makna damai jika penduduk Gaza masih terpaksa merayu bantuan makanan dan ubatan-ubatan? Apa makna damai jika masa depan Gaza masih terus dirancang oleh penjenayah yang mengebomnya saban tahun?
Damai yang sebenar perlu bermula dengan keadilan dan pengktirafan terhadap hak dan kedaulatan rakyat yang dijajah. Penjenayah perlu dihukum, hak penduduk Gaza perlu dikembalikan tanpa syarat dan kedaulatan mereka perlu diiktiraf. Tiada satu pun daripada perkara ini disebutkan dalam rancangan yang dibentangkan. Rakyat Gaza yang telah lama menanggung sekatan, pengeboman dan pengusiran kini dimaklumkan oleh kuasa asing bahawa masa depan mereka akan ditentukan oleh Israel dan AS.
Gencatan yang rapuh dan ilusi pendamaian
Gencatan senjata yang sedang dilaksanakan tidak lebih daripada jeda rapuh antara siri-siri genosid rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Mouin Rabban, dari Centre for Conflict and Humanitarian Studies menyifatkan Israel sengaja cuba untuk melemahkan persetujuan gencatan senjata.
Rabbani menjelaskan bahawa Israel tidak pernah merancang untuk menunaikan komitmennya. Buktinya, sebaik gencatan diumumkan, lebih seratus rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Zionis di Gaza. Bahkan, tentera Israel juga tidak berundur ke garisan yang telah dipersetujui dan bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk jah lebih kecil daripada jumlah yang sepatutnya.
Lebih dari itu, Israel kini menggunakan alasan keselamatan untuk menghalang kemasukan jentera berat yang amat diperlukan bagi mencari jenazah tawanan Israel dan rakyat Palestin yang tertimbus di bawah runtuhan. Kelewatan memulangkan jenazah tawanan kemudian dijadikan alasan baharu untuk melanggar perjanjian sedikit demi sedikit. Menurut Rabbani, Israel tahu mereka tidak boleh menamatkan gencatan dengan serta merta. Jadi ia melakukannya secara perlahan untuk menghakis perjanjian dari dalam (Al Jazeera 2025).
Pelan Damai Trump ini bukanlah usaha untuk menamatkan perang tetapi sekadar cara untuk menguruskan kesan kerakusan Israel yang sudah berdekad lamanya. Ia menukar tragedi politik menjadi projek birokratik. Ia menjadikan Gaza wilayah yang kononnya stabil tetapi sebenarnya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kuasa luar. Gaza tidak dilihat sebagai tanah air yang berdaulat, sebaliknya sebagai zon krisis kemanusiaan yang memerlukan ‘perlindungan’ antarabangsa.
Masa depan Gaza tidak sepatutnya ditentukan oleh rejim Kiryat Gat atau Washington tetapi oleh rakyat Palestin sendiri. Rakyat Palestin bukan penghalang keamanan. Sebaliknya mereka adalah syarat utama bagi mencapainya. Tanpa mereka, setiap pelan, walau seindah mana bahasa diplomatiknya atau sebesar mana dana yang dijanjikan, akan runtuh di bawah kepura-puraannya sendiri. Jika dunia benar-benar mahu mencari jalan pendamaian, ia harus bermula dengan prinsip asas bahawa rakyat Palestin mesti menjadi penentu nasib mereka sendiri.
Nadia Amira Shamsul
Penyelidik Aqsa Syarif