Kembali

Draf Resolusi Gencatan Senjata Amerika Syarikat: Sebuah bentuk Penjajahan terbaru?

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Nov 19, 2025

1. Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan rancangan gencatan senjata yang dibawa Amerika Syarikat, merangkumi penubuhan Board of Peace serta pembentukan pasukan penstabilan antarabangsa. Ia merupakan usaha yang dicadangkan (secara memaksa) oleh Amerika kepada masyarakat antarabangsa untuk bersetuju dengan satu penyelesaian bagi meneruskan gencatan senjata.

2. Cadangan penyelesaian ini tidak mengambil kira pandangan pimpinan Palestin daripada pelbagai kumpulan, khususnya Hamas dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi lalu yang telah diputuskan. Keadaan ini hampir menyamai Deklarasi Balfour 1917 oleh British yang menjamin penubuhan sebuah negara untuk pendatang Yahudi tanpa mempertimbangkan penduduk asal Palestin.

3. Dari 2023 hingga 2025, daripada pentadbiran Joe Biden sehingga Donald Trump, Amerika Syarikat menjadi penaja utama untuk rejim Zionis dari sudut persenjataan, bantuan kewangan, perlindungan politik dan seumpamanya, sehingga memungkinkan jenayah genosid terhadap penduduk Gaza dan kemusnahan menyeluruh infrastruktur.

4. Donald Trump juga mengakui di Knesset beberapa bulan lalu bahawa beliau memberikan apa sahaja jenis senjata yang diminta Netanyahu untuk meneruskan jenayah kemanusiaan.

5. Hari ini, Amerika pula mencadangkan penyelesaian kepada kemusnahan yang ditajanya di Gaza. Bukan kerana insaf atau kerana tekanan negara Arab dan Islam, tetapi kerana tekanan dunia yang semakin memulaukan entiti Zionis dari segi politik dan ekonomi.

6. Amerika kini terus menghukum rakyat Palestin melalui sekutunya, rejim Zionis. Bukan lagi melalui peperangan tajaan secara terang-terangan, kerana ia hanya akan membangkitkan ombak kebangkitan global yang lebih besar terhadap rejim Zionis dan menjejaskan Amerika Syarikat sendiri.

7. Sebahagian negara Arab dan Islam tidak memainkan peranan efektif untuk mendapatkan gencatan senjata; malah ada yang terus memberi ruang kepada Netanyahu meneruskan genosid dengan menjaga hubungan, memberi bantuan ekonomi, meningkatkan perdagangan, membuka laluan udara/darat/laut untuk penghantaran senjata, membeli senjata, malah menzalimi rakyatnya yang menyuarakan isu Palestin.


Penubuhan Board of Peace: Lemah sangatkah orang Palestin untuk menjaga diri?

8. Penubuhan badan keamanan seperti Board of Peace untuk mengurus kestabilan Gaza dan isu kemanusiaan tanpa menyentuh punca utama masalah adalah sia-sia dan satu helah. Akar masalah Gaza–Tebing Barat ialah penjajahan Zionis; selagi entiti ini wujud, masalah tidak akan selesai.

Dalam 24 jam yang lalu, ketika dunia berbincang fasa seterusnya gencatan, Zionis membedil beberapa kawasan dalam garisan biru, menyebabkan korban syahid. Dalam fasa pertama gencatan (sekitar 40 hari), kira-kira 250 orang syahid dan lebih 150 pelanggaran perjanjian direkodkan.

9. Penduduk Gaza dan pasukan pejuang bersenjata mampu menjaga keamanan sendiri. Tidak sampai 24 jam selepas gencatan senjata bermula pada 10 Oktober, para pejuang telah mengerahkan anggota mereka berkhidmat sebagai polis bagi menjaga keselamatan masyarakat awam.

Malah sebahagian pasukan anggota pejuang memburu serta menghukum kumpulan penjenayah bersenjata seperti kumpulan Asyraf al-Mansi, Husam al-Astal, dan Yasir Abu Syabab, individu yang sudah dikenal pasti sebagai penjenayah sebelum 7 Oktober dan terus merompak bantuan, membunuh orang awam, melakukan jenayah tidak bermoral, serta memerangi pejuang kemerdekaan dengan bantuan ketenteraan pihak rejim Zionis seperti dron, senapang dan sebagainya.

10. Secara umum, penduduk Gaza ialah masyarakat terpelajar, ramai memiliki PhD, sarjana dan pengalaman tadbir urus. Ditambah sokongan global melalui ribuan NGO yang sedia membantu secara ikhlas dan berkesan. Gaza perlu dikembalikan kepada rakyat Palestin untuk menguruskannya secara bebas serta diberikan peluang untuk berdiri sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF): Masuk untuk berperang dengan siapa?

11. Seperti dihujahkan di atas, punca hilangnya keamanan di Gaza ialah tentera Zionis. Jika ISF memasuki Gaza tetapi tidak mengubah tingkah laku ketenteraan Zionis dan tidak mampu untuk menghalang keganasannya, kewujudann ISF menjadi sia-sia.

12. Kebimbangan sebenar yang banyak disebutkan oleh para penganalisis adalah  ISF mungkin bertindak sebagai pihak bersenjata bagi memastikan perlucutan senjata pihak pejuang, termasuk kemungkinan berperang dengan para pejuang seperti yang dilakukan oleh IDF.

Oleh sebab itulah Rejim Zionis telah mengumumkan bahawa tentera Turkiye tidak akan dibenarkan menyertai ISF atau memasuki Gaza kerana ketegasan kepimpinannya dalam mengkritik Netanyahu serta tidak sependapat dengan rejim Zionis mengenai Hamas.

13. Jika tujuan ISF adalah melucutkan senjata para pejuang, itu merupakan satu bentuk penjajahan baharu yang menggugat bumi umat Islam di Gaza, membantu mencapai segala objektif ketenteraan rejim Zionis yang gagal tercapai selama dua tahun yang lalu. Tidak mustahil juga, ia boleh menjadi permulaan projek Israel Raya yang bertitik tolak dari Gaza.


Apa pilihan yang ada?

14. Semua Fasā’il al-Muqāwamah (kumpulan-kumpulan pejuang) sebulat suara menolak cadangan ini. Selagi melibatkan perlucutan senjata dan tiada jaminan keselamatan rakyat, resolusi sebegini ditolak. Ia bukan hanya pilihan Hamas sahaja, tetapi semua pihak.

15. Malah perjanjian melibatkan perlucutan senjata ini adalah sesuatu yang baharu; ia tidak dipersetujui dan tidak ditandatangani dalam perjanjian keamanan di Sharm el-Sheikh, Mesir.

16. Amerika Syarikat menyatakan langkah ini menuju penubuhan Negara Palestin. Namun Amerika sendiri menaja genosid selama dua tahun, membiarkan rampasan tanah di Tebing Barat berterusan sehingga ke saat, tidak menghukum Netanyahu malah masih bersamanya, serta memusuhi sesiapa yang menentang rejim Zionis, maka adakah wujud kemungkinan Amerika Syarikat yang akan membangunkan negara Palestin yang berdaulat?

17. Pendirian rejim Zionis pula dalam cadangan ini: memastikan perlucutan senjata dan menamatkan kewujudan kumpulan pejuang bersenjata, apa pun cadangan baharu yang diberikan. Jika Amerika dan ISF enggan melakukannya, mereka sedia kembali berperang; aliran kanan ekstrem memang mahukan hal itu dan telah memiliki pelan terperinci.

18. Seluruh dunia wajar meningkatkan tekanan yang lebih efektif untuk membela Gaza, bukan sekadar berasaskan emosi, tetapi berpaksikan amanah dan kewajipan yang ditetapkan Allah SWT.

19. Tiada ketakutan yang sepatutnya diberikan melainkan kepada Allah SWT, bukan kepada Amerika atau sesiapa pun. Para pejuang dan penduduk Gaza telah menunjukkan nilai ini. Diugut untuk menyerah kalah selama hampir 100 tahun, namun keadaan semasa membuktikan Allah masih memberikan kekuatan untuk sabar dan terus berjuang.

20. Semoga Allah SWT memilih kita sebagai pembebas Masjid al-Aqsa dan seluruh bumi suci Syam. Jalan perjuangan kekal relevan hingga akhir zaman, sama ada kita atau generasi seterusnya yang menyempurnakannya.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik, Aqsa Syarif