Kembali
Donald Trump: Penaja Utama Jenayah Genosid di Gaza
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Oct 24, 2025

Saat ini, Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat, kembali menjadi sebutan dalam kalangan rakyat Malaysia. Beliau dijadualkan tiba di Malaysia bagi menghadiri Persidangan ASEAN ke-47 pada Ahad depan, seperti yang telah disahkan oleh kementerian terlibat.
Dalam keadaan ini, penduduk Palestin, seluruh umat Islam, dan pencinta kemerdekaan Palestin masih terluka dengan jenayah genosid yang telah berlaku sejak 733 hari lalu di Gaza. Rakan kerjasama utama bagi jenayah ini ialah Amerika Syarikat sendiri. Bantuan ketenteraan bernilai 21.7 bilion dolar Amerika Syarikat telah diberikan kepada Netanyahu dalam tempoh dua tahun sahaja. Begitu juga dengan perlindungan politik di peringkat domestik dan antarabangsa, bantuan ekonomi, serta yang lebih parah, pembinaan dan pembekalan senjata untuk membunuh kanak-kanak di Gaza.
Akibatnya, lebih 200,000 tan bahan letupan telah dijatuhkan ke atas penduduk Gaza selama dua tahun. Bahan letupan tersebut merupakan bom berteknologi tinggi yang mampu menghasilkan letupan besar, menghancurkan tubuh badan manusia sekelip mata serta memusnahkan bangunan dengan kehancuran total, mengorbankan seluruh penduduk di dalamnya hanya dalam beberapa saat.

Amerika Syarikat turut menghantar tenteranya untuk membantu rejim Zionis dalam menculik empat orang tebusan di Nuseirat pada 8 Jun 2024. Operasi tersebut mengorbankan lebih 274 rakyat Gaza dalam tempoh beberapa jam. Tentera Amerika dan Zionis bersama-sama melaksanakan operasi ini dengan membedil kawasan tersebut tanpa belas kasihan, seolah-olah nyawa rakyat Palestin tidak mempunyai nilai di sisi mereka.

Perangkap Maut GHF yang Dicipta Amerika
Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump juga terlibat dalam melaparkan dua juta penduduk Gaza. Ribuan kanak-kanak menderita akibat kelaparan yang melampau; ibu yang menyusukan anak tidak mampu lagi menghasilkan susu, menyebabkan bayi di Gaza menjadi terlalu kurus sehingga hanya tinggal kulit dan tulang. Para ayah pula terpaksa mencari makanan di mana sahaja yang mungkin ada, walaupun terdedah kepada tembakan penembak tepat, serangan dron dan pesawat udara.
Disebabkan tekanan daripada seluruh dunia berkenaan isu kelaparan ini, Amerika bersama Netanyahu menubuhkan sebuah organisasi bernama Gaza Humanitarian Foundation (GHF). Organisasi ini diuruskan oleh bekas-bekas tentera Amerika Syarikat yang pernah berkhidmat di Iraq, mereka yang sebelum ini terlibat dalam operasi ketenteraan yang memusnahkan negara tersebut. Memang benar, organisasi ini memberikan bantuan makanan kepada rakyat Palestin, tetapi pada masa yang sama, ia menjadi perangkap maut buat mereka.
Di lokasi agihan makanan yang ditetapkan oleh GHF, tentera Amerika dan Zionis menyasarkan tembakan ke arah kanak-kanak, wanita dan orang awam yang sedang beratur untuk mendapatkan bantuan. Mereka berseloroh selepas melepaskan tembakan seolah-olah sedang bermain permainan video. Hal ini menyebabkan kebanyakan penduduk tidak lagi ke tempat agihan makanan kerana bimbang keselamatan dan maruah diri mereka.

Di bawah pentadbiran Trump juga, bukan Gaza sahaja yang menjadi sasaran pengeboman, tetapi negara-negara jiran turut terkesan. Amerika telah membelanjakan hampir satu bilion dolar Amerika Syarikat untuk membedil Yaman. Begitu juga dengan Qatar, Syria dan Lubnan yang pernah menjadi mangsa serangan rejim Zionis, yang besar kemungkinan mendapat kebenaran daripada pentadbiran Trump.
Ucapan Trump di Knesset
Minggu lalu, sejurus selepas persetujuan gencatan senjata antara pihak pejuang dan Zionis, yang disertai Mesir, Qatar dan Turki, Donald Trump telah berucap di dewan parlimen Knesset.
Dalam ucapannya, Donald Trump dengan bangganya mengaku bahawa beliaulah yang membekalkan senjata kepada Netanyahu, dan senjata itu telah digunakan dengan “berkesan”, dalam erti kata lain, untuk membunuh 75,190 jiwa, termasuk sekitar 21,000 kanak-kanak.

Ucapan itu memberi isyarat jelas bahawa beliau langsung tidak mengambil peduli tentang nyawa rakyat Palestin di Gaza, malah sanggup memberikan apa sahaja yang diminta oleh Netanyahu untuk meneruskan pembunuhan tersebut.
Kehadiran wakil Amerika dalam dewan itu menunjukkan bahawa Amerika tidak akan membenarkan dunia menghukum Netanyahu. Dengan kata lain, sebesar dan sejahat mana pun kesalahan yang dilakukan oleh Netanyahu, Donald Trump tetap akan berdiri di sisinya. Sebab itulah, dalam ucapan yang sama, Trump turut mencadangkan agar Presiden Israel menggugurkan dakwaan jenayah terhadap Netanyahu yang sedang dibicarakan di mahkamah.
Umat Islam Perlu Bangkit: Hindari Penyakit Wahn
Seorang penganalisis geopolitik, Wadah Khanfar, menyatakan bahawa umat Islam sering tersepit antara dua kuasa besar Amerika dan China, sama ada dalam aspek ekonomi, ketenteraan, mahupun politik. Sedangkan, negara-negara Islam secara keseluruhannya mempunyai potensi besar untuk mencabar kedua-dua kuasa ini.
Sebahagian negara Islam kini merupakan antara negara terkaya di dunia seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar; sementara Mesir dan Pakistan pula berada dalam kelompok teratas dari segi kekuatan ketenteraan. Negara-negara Islam juga mempunyai kelebihan geografi dan sumber semula jadi yang luar biasa.

Namun, semua potensi ini tidak dimanfaatkan sebaiknya. Banyak negara Islam masih berlindung di bawah payung kuasa besar seolah-olah tiada maruah diri. Pakistan secara terbuka mencadangkan agar Trump diberi Anugerah Nobel Keamanan, Indonesia pula berulang kali menyatakan hasrat untuk berdamai dengan rejim penjajah Zionis, manakala sebahagian negara Arab masih menjadi tentera upahan kuasa Barat dengan menghancurkan keamanan negara jirannya seperti Yaman dan Sudan.
Walau bagaimanapun, umat Islam secara keseluruhannya masih meneruskan perjuangan menegakkan agama ini sebagaimana generasi terdahulu. Dalam kalangan mereka ada yang sanggup mengorbankan pekerjaan, keselesaan hidup dan harta demi membela nasib saudara seagama di Palestin. Usaha boikot, doa, dan perhimpunan aman akan terus dilaksanakan, malah semakin meningkat, sehingga Palestin benar-benar merdeka.
Tiada siapa dapat menjamin bahawa pemimpin-pemimpin seperti al-Sisi, Muhammad bin Zayed, Muhammad bin Salman dan ramai lagi yang mengkhianati agama ini akan kekal berkuasa selama-lamanya. Siapa sangka, tidak sampai setahun yang lalu, Bashar al-Assad, yang telah membunuh hampir sejuta rakyatnya dalam tempoh 14 tahun, akhirnya terpaksa melarikan diri dari Syria.
Firman Allah SWT:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Katakanlah, “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah Ali Imran, ayat 26)
Maksud daripada ayat ini ialah bahawa segala kerajaan yang wujud di atas muka bumi adalah ketentuan Allah SWT. Pemerintahan yang baik merupakan nikmat bagi umat Islam, manakala pemerintahan yang zalim seperti Firaun dan seumpamanya merupakan ujian serta musibah bagi umat Islam.
Namun, Allah SWT juga memberikan jaminan bahawa umat Islam akan dikurniakan kuasa pemerintahan dan keamanan sekiranya mereka melaksanakan perintah-Nya sebagaimana firman-Nya:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka sebagai khalifah yang berkuasa. Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dan tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur selepas itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”
(Surah al-Nur, ayat 55)
Oleh itu, umat Islam seluruhnya perlu melihat isu Palestin lebih daripada sekadar isu kemanusiaan. Ia adalah isu maruah agama Islam, pemerintahan berpaksikan Islam, kekuatan jiwa, keberanian serta kesanggupan untuk berkorban demi mencapai reda Allah SWT.
Insya-Allah, dalam tulisan akan datang akan dihuraikan dengan lebih lanjut berkenaan hal ini.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif