Kembali

Dilema Trump: Maruah Amerika di Hujung Tanduk dan Kegagalan Strategi Gertakan ke atas Iran

Nadia Amira Shamsul

Mar 23, 2026

Donald Trump sering menganggap persaingan politik dunia sebagai medan untuk mempamerkan kekuatan. Bagi beliau, pemimpin yang hebat adalah mereka yang bijak merahsiakan rancangan dan taktik mereka daripada pengetahuan pihak lawan. Oleh itu, dengan mengamalkan watak yang sukar diramal, beliau cuba menonjolkan imej penguasaan mutlak melalui Doktrin Nixon yang secara langsung menghidupkan semula "Teori Orang Gila" (Madman Theory) yang pernah dipelopori oleh Presiden Richard Nixon pada tahun 1969.

Sebagaimana Nixon cuba menggertak musuh dengan imej pemimpin ‘gila’ yang sanggup bertindak di luar jangkaan, Trump turut menerapkan strategi serupa terhadap Iran. Trump cuba menakutkan mereka bagi memaksakan kehendak Amerika agar dituruti. Namun, memasuki minggu ketiga perang AS-Israel ke atas Iran, strategi yang asalnya bertujuan untuk ‘mendominasi’ Iran seolah-olah telah memakan diri dan mengheret Washington ke dalam kancah kegagalan yang cukup nyata dan memalukan.

Asas kepada serangan ini adalah keyakinan Trump bahawa tindakan ketenteraan yang drastik dan secara tiba-tiba terhadap Iran akan mencetuskan keruntuhan rejim Ayatollah secara automatik. Melalui pembunuhan Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei, White House menjangkakan pentadbiran Iran akan lumpuh. Kelumpuhan ini kemudian akan disusuli dengan kebangkitan rakyat yang telah mendambakan "kebebasan" sejak sekian lama; sejak bermulanya rejim autokratik Ayatollah pada tahun 1979. Trump turut mempertaruhkan reputasinya atas teori bahawa rakyat Iran akan bangkit menggulingkan kerajaan sebaik sahaja "kepala" pemerintahan dihapuskan.

Walau bagaimanapun, realiti di medan perang membuktikan sebaliknya. Ironinya serangan AS-Israel telah menjadi pemangkin kepada penyatuan nasionalisme Iran. Menurut kebanyakan penganalisis, walaupun sebilagan rakyat Iran tidak bersetuju dengan kerajaan mereka namun sekiranya mereka diserang oleh negara luar, mereka pasti akan bersatu menentang pencerobohan tersebut.

Malah, kematian pemimpin tertinggi Iran juga langsung tidak melumpuhkan pentadbiran Iran. Sebaliknya, dalam tempoh beberapa hari sahaja, Mojtaba Khamenei iaitu anak lelaki Ali Khamenei, individu yang langsung tidak disukai oleh Trump telah dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu untuk memimpin kerajaan dan jentera Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Ini adalah realiti pahit yang harus ditelan Trump. Terbukti serangan luaran bukan sahaja gagal meruntuhkan kerajaan, malah telah memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap rejim sedia ada. Realiti ini jelas terpampang di depan mata seluruh penduduk dunia melalui perhimpunan besar-besaran di Tehran.

Terbaharu, kegagalan strategik ini merebak ke sektor ekonomi pula apabila Trump terbukti salah percaturan dalam menilai keupayaan Iran untuk melumpuhkan Selat Hormuz. Dalam tempoh hanya tiga minggu, laluan utama bekalan tenaga di dunia kini berubah menjadi zon merah yang menyaksikan trafik kapal tangki hampir terhenti sepenuhnya. Setakat hari ini, sekurang-kurangnya 21 kapal komersial telah diserang, sekaligus meruntuhkan imej Amerika sebagai penjamin keselamatan laut global kerana terdapat kapal yang diserang walaupun Amerika mendakwa tentera laut mereka ada untuk ‘mengiringi’ kapal-kapal tersebut.

Tindak balas berantai ini telah memaksa Trump mengambil langkah yang menjejaskan lagi kredibilitinya sebagai jaguh "kuasa besar dunia". Lonjakan harga minyak sehingga mencecah $100 setong serta kos insurans perkapalan yang melambung tinggi telah memaksa AS untuk melonggarkan sekatan terhadap minyak Rusia demi menstabilkan bekalan tenaga dunia. Lebih memalukan, beliau kini terpaksa menagih bantuan ketenteraan daripada China, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom untuk bersama-sama mengawal selat Hormuz. Tindakan ini merupakan satu pengakuan terbuka bahawa kuasa unilateral Amerika Syarikat tidak lagi memadai untuk menangani krisis ini secara sendirian.

Setakat 22 hari pertempuran, 13 orang tentera AS dilaporkan telah terkobran dan 200 orang yang lain cedera. Situasi ini telah menyebabkan Trump terperangkap dalam dilema yang tiada penghujungnya. Anggaran awal White House bahawa perang ini hanya akan memakan masa empat hingga enam minggu kini meleset. Walaupun serangan udara telah memusnahkan banyak aset ketenteraan Iran, Tehran masih memiliki ‘taring’ untuk memasang periuk api di laluan perkapalan, melancarkan serangan siber dan serangan ke atas negara-negara Teluk yang mampu menggugat kepentingan Amerika di sana.

Demi menyelamatkan kredibilitinya, Trump bertindak nekad melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Pulau Kharg pada 13 Mac 2026, hari ke-14 pertempuran. Walaupun beliau mendakwa serangan ke atas 90 sasaran ketenteraan di pulau itu bertujuan untuk meredakan ketegangan di Selat Hormuz, kenyataan susulan bahawa beliau mungkin akan menyerang lagi sekadar untuk "berseronok" (just for fun) telah mencetuskan kemarahan dunia. Ura-ura bahawa AS akan mula mengerahkan operasi darat berisiko tinggi di Isfahan untuk merampas uranium yang didakwa dimiliki oleh Iran turut membimbangkan banyak pihak terhadap risiko perluasan konflik.

Walaupun Trump dengan angkuh masih cuba menafikan kegagalan di pihak AS, beliau tidak dapat menafikan hakikat bahawa kedua-dua rancangan ini membawa risiko politik dan ketenteraan yang amat besar. Jika beliau terus mara, Amerika akan terus terjerumus ke dalam kancah peperangan yang jauh lebih dahsyat daripada apa yang AS pernah alami dalam lipatan sejarah.

Trump perlu menerima hakikat bahawa kuasa kekuatan ketenteraan bukan segala-galanya. Walaupun Tehran dan beberapa wilayah Iran hancur dibom, Amerika Syarikat sebenarnya sedang mempertaruhkan maruah serta imej kepimpinannya di peringkat antarabangsa. Jika serangan ini berakhir dengan kegagalan, kredibiliti Amerika sebagai kuasa dunia juga akan turut hancur.

Keputusan beliau untuk memulakan peperangan yang selama ini sedaya upaya cuba dielakkan oleh presiden-presiden terdahulu bukanlah bukti kekuatan kepimpinan beliau. Sebaliknya, ia menunjukkan kegagalan Trump dalam memahami sifir politik dunia, di mana tindakan terburu-buru dan hanya mengikut gerak hati selalunya berakhir dengan malapetaka.


Nadia Amira Shamsul

Penyelidik Aqsa Syarif