Kembali

‘Democracy Backsliding’: Israel Bakal Runtuh di Tangan Pemimpin Sendiri?

Nadia Amira Shamsul

Sep 17, 2025

“Daripada rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat.” Demikianlah ungkapan Abraham Lincoln dalam ucapan Gettysburg tahun 1863, yang menjadi simbol asas demokrasi moden. Frasa tersebut merangkumkan intipati demokrasi iaitu sebuah kerajaan yang dibentuk oleh rakyat (of the people), ditadbir melalui wakil yang dipilih oleh rakyat (by the people) dan berkhidmat demi kepentingan rakyat (for the people).

Demokrasi adalah sistem pemerintahan di mana undang-undang, dasar, kepimpinan dan urusan negara ditentukan secara langsung atau tidak langsung oleh rakyat. Ia menjamin ruang penglibatan politik, hak kebebasan bersuara, serta hak yang sama rata untuk setiap warganegaranya (Britannica 2025).

Sejak penubuhan negara Israel pada tahun 1948, ia sering dipersembahkan kepada dunia sebagai satu-satunya negara Timur Tengah yang benar-benar demokratik. Ia memiliki dewan parlimen - Knesset, yang anggotanya dipilih melalui pilihan raya umum bebas. Semua warganegara berusia 18 tahun ke atas mempunyai hak untuk mengundi. Israel turut mengamalkan pemisahan kuasa dengan badan kehakiman berfungsi menyemak undang-undang yang telah digubal oleh parlimen. Undang-undangnya menjamin hak asasi seperti kebebasan bersuara, manakala Deklarasi Kemerdekaan menegaskan kesamarataan tanpa mengira etnik, agama, jantina atau pandangan politik (Resnick 2023).

Walau bagaimanapun, realiti sebenar jauh panggang dari api. Walaupun secara teorinya hak sama rata terhadap semua rakyat dijamin, realitinya masih wujud ketidakadilan khususnya terhadap golongan minority bukan Yahudi. Etnik selain Yahudi dilayan seperti warganegara kelas ketiga. Namun, imej Israel sebagai “demokrasi terbaik di Timur Tengah” terus diulang-ulang, seolah-olah sistem pilihan raya bebas dan kebebasan individu itu sudah cukup membuktikan status tersebut (Decolonize Palestine 2023).

Kini, imej itu semakin goyah. Wacana mengenai “democracy backsliding” atau ‘kemunduran demokrasi’ mula menguasai perbincangan politik Israel. Ahli akademik Nancy Bermeo (2016) mendefinisikan fenomena ini sebagai tindakan yang digerakkan pemerintah untuk melemahkan atau menyingkirkan institusi politik yang selama ini menjadi tonggak demokrasi. Institusi tersebut termasuklah parlimen, sistem kehakiman, kebebasan media dan suruhanjaya pilihan raya. Hakikatnya, demokrasi tidak runtuh dalam sehari namun ia terhakis secara perlahan-lahan, seiring dengan hilangnya mekanisme pengimbang kuasa (BBC 2023).

 

Pra-7 Oktober: Reformasi Kehakiman

Isyarat awal kemunduran demokrasi di Israel boleh dilihat jauh sebelum 7 Oktober 2023. Pada 4 Januari 2023, hanya seminggu selepas kerajaan Israel ke-37 dibentuk, Menteri Kehakiman Yariv Levin mengumumkan rancangan untuk melaksanakan “reformasi kehakiman” secara besar-besaran. Menurut beliau, langkah itu bertujuan untuk “memperbaiki demokrasi” walhal tindakan tersebut mensasarkan untuk mengurangkan kuasa mahkamah dan memperkukuh kedudukan eksekutif (Shomer et al 2025).

Rancangan reformasi undang-undang tersebut telah mencetuskan penentangan luar biasa rakyat Israel. Ribuan rakyat telah turun ke jalanan pada setiap minggu, khususnya di Tel Aviv, yang menjadikan protes ini antara yang terbesar dalam sejarah Israel. Mereka mengepung bangunan Knesset, berarak ke Baitulmaqdis, malah melancarkan mogok serta “hari gangguan” nasional.”

Pembangkang menuduh reformasi tersebut sebagai helah untuk melemahkan peranan mahkamah sebagai pengimbang kuasa kerajaan. Ada yang mendakwa ia dirancang khusus untuk melindungi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang pada ketika itu, sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa. Jika kuasa mahkamah dikurangkan, kerajaan akan lebih mudah meluluskan undang-undang tanpa kawalan, sekali gus membuka ruang kepada pemerintahan autokratik (BBC 2023).

Kerajaan Netanyahu walau bagaimanapun mempertahankan langkah itu dengan alasan sistem kehakiman sering mencampuri urusan legislatif dengan membatalkan undang-undang yang telah diluluskan oleh parlimen atas alasan tidak selaras dengan Basic Law, cenderung berpihak kepada agenda liberal dan melantik hakim secara tidak demokratik. Pertembungan pandangan inilah yang mengheret Israel ke dalam krisis politik paling serius penubuhannya.

 

Pasca-7 Oktober: Autoritarianisme Bersembunyi di Balik Perang

Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 membuka fasa baharu. Ketika negara bergelut dengan perang, kemerosotan demokrasi dilihat semakin ketara. Retorik Netanyahu yang berkeras mahu lakukan apa sahaja demi mencapai “kemenangan total” memburukkan lagi keadaan.

Sekilas pandang, Israel masih mengekalkan ciri-ciri demokrasi. Kritikan lantang terhadap kerajaan masih kedengaran di lapangan dan media tempatan. Namun, inilah paradoks demokrasi yang sedang mundur kerana ia tidak runtuh dalam sekelip mata, sebaliknya dilemahkan sedikit demi sedikit. Perlindungan terhadap hak individu dilucutkan secara halus, dengan berselidung di sebalik alasan “keselamatan negara.”

Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kerajaan Israel telah menekan pelbagai institusi penting, termasuk Pejabat Peguam Negara, Mahkamah Agung dan agensi keselamatan Shin Bet. Apa yang berlaku bukan lagi pertembungan biasa antara eksekutif dengan institusi negara, tetapi lebih menyerupai strategi tersusun untuk menghapuskan sebarang bentuk penentangan (JP 2025).

Sebagai contoh, Peguam Negara sering dituduh “menghalang” Perdana Menteri daripada melaksanakan dasar tertentu. Hakikatnya, beliau hanya menegakkan undang-undang. Namun, usaha berterusan untuk menggantikan jawatan itu dengan individu pro-Netanyahu menimbulkan kebimbangan bahawa fungsi “penjaga undang-undang” akan hilang dan berubah menjadi alat politik. Situasi sama turut berlaku terhadap ketua Shin Bet, yang telah disingkirkan ketika agensi itu menjalankan siasatan baharu melibatkan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Netanyahu (JP 2025).

Ofer Cassif, ahli Knesset daripada gabungan Hadash-Ta’al, lantang menegaskan bahawa Israel sedang bergerak ke arah pentadbiran diktator fasis. Beliau menyifatkan reformasi kehakiman yang ingin dilaksanakan sebagai “rampasan kuasa” untuk memusatkan kuasa di tangan Netanyahu. Bahkan selepas 7 Oktober, kerajaan didakwa mempercepatkan agenda ini dengan berselindung di sebalik alasan memerangi keganasan (Anadolu 2025).

Sehingga kini, lebih 100 undang-undang dan peraturan baharu telah diperkenalkan. Kebanyakannya mengehadkan kebebasan media, hak sivil, serta kuasa badan kehakiman. Langkah-langkah ini menimbulkan ketakutan, bukan sahaja kepada pengkritik kerajaan, tetapi juga kepada keluarga tawanan perang yang lantang menuntut gencatan senjata segera (Anadolu 2025).

 

Demokrasi Yang Semakin Malap

Netanyahu sering menegaskan bahawa beliau mahu dikenang sebagai pelindung Israel (BBC 2024). Namun, kebanyakan penganalisis berpendapat beliaulah punca utama kemerosotan demokrasi negara itu hari ini. Usahanya untuk kekal berkuasa telah membawa Israel ke ambang autoritarianisme, sekali gus menimbulkan perpecahan dalam masyarakat Israel sendiri.

Masyarakat Israel kini terpecah kepada dua. Sebelah pihak mahu perang ditamatkan, manakala sebelah pihak lagi mahu perang diteruskan sehingga Israel mencapai “kemenangan mutlak” Perpecahan ini menambah lagi kerapuhan demokrasi di Israel.

Untuk menutup kerapuhan ini, Netanyahu cuba berselindung di sebalik retorik agama. Dalam satu wawancara baru-baru ini, beliau menyifatkan semua tindakannya sebagai “perjalanan suci menuju visi Tanah yang Dijanjikan.” Retorik ini menambah kebimbangan bahawa agama telah digunakan sebagai alat politik untuk mengabsahkan autoritarianisme di Israel (Times of Israel 2025).

Seperti ditegaskan Cassif, “Tindakan kerajaan hari ini telah menimbulkan realiti pahit bahawa kehancuran masyarakat Israel semakin nyata.” (Anadolu 2025)

Israel yang dahulunya diagung-agungkan sebagai model demokrasi Timur Tengah kini berada di ambang kejatuhan. Janji awal penubuhan negara ini adalah semua rakyatnya merasai hak kesamarataan, kebebasan dan keadilan. Namun nilai ini dilihat semakin luntur. Apa yang tinggal hanyalah persoalan besar: adakah demokrasi Israel mampu bertahan atau bakal runtuh di tangan pemimpinnya sendiri?


Nadia Amira Shamsul

Penyelidik Aqsa Syarif