Kembali

Dasar Garis Merah 2007: Strategi Israel Biarkan Gaza Terus Kebuluran

Nadia Amira Shamsul

Aug 25, 2025

Memasuki hampir 700 hari genosid di Gaza, ratusan penduduk awam terus menjadi mangsa serangan rejim Zionis Israel. Kini, rakyat Gaza berhadapan dengan satu lagi ancaman besar yang telah lama diberi amaran oleh organisasi kemanusiaan antarabangsa iaitu bencana kebuluran.

 

Walaupun bukti bencana kebuluran terbentang jelas di hadapan mata dunia, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, masih menafikannya. Katanya: “Tidak wujud dasar kelaparan di Gaza dan tidak berlaku kebuluran di sana. Sepanjang tempoh perang, kami telah membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan. Jika benar kami menghalangnya sepenuhnya, maka tidak akan ada seorang pun penduduk Gaza yang masih hidup hari ini.”


Israel juga telah membelanjakan jutaan dolar bagi menyewa papan iklan gergasi di Times Square, New York dalam usaha mereka menyebarkan naratif bahawa Gaza tidak mengalami kebuluran. Menerusi papan iklan tersebut, Israel mendakwa mereka telah membenarkan kemasukan sebanyak 4.4 juta paun sterling bantuan melalui 80,000 lori sambil menuduh bahawa Hamas telah “menipu dunia” dengan kisah kebuluran.

 

 

Amaran Kebuluran IPC

Sejak awal tahun 2025, pelbagai agensi kemanusiaan telah memberikan amaran awal bahawa Gaza berisiko tinggi mengalami bencana kebuluran. WFP menganggarkan bahawa 1/3 penduduk Gaza tidak makan selama beberapa hari. MSF turut melaporkan 1/4 daripada kanak-kanak kecil serta wanita hamil didapati mengalami malnutrisi. MSF menyalahkan Israel atas “pelaksanaan dasar kebuluran secara sistematik sebagai sebahagian daripada senjata perang.” (Al Jazeera 2025).


Pada Mei 2025, Integrated Food Security Phase Classification (IPC) mengeluarkan laporan bahawa keseluruhan wilayah Gaza dijangka mencapai tahap ketidakjaminan makanan Fasa 5 (malapetaka) menjelang September. Fasa ini merangkumi kebuluran dan kematian berskala besar. Menurut pakar, sekurang-kurangnya 500,000 penduduk Gaza dijangka memasuki Fasa 5 IPC, di mana kebuluran akan menjadi penyebab utama kematian (IPC 2025). 


Kini amaran IPC pada Mei telah pun menjadi kenyataan kerana pada 22 Ogos 2025, sebuah laporan IPC secara rasminya mengisytiharkan bahawa kebuluran benar-benar terjadi di Gaza. Apa yang lebih menyedihkan, ini merupakan kali yang pertama kebuluran sedemkian diisytiharkan di rantau Asia Barat (Middle East Monitor 2025). Sehingga 25 Ogos 2025, sekurang-kurangnya 289 kematian akibat malnutrisi telah direkodkan dan 115 daripadanya adalah kanak-kanak (Kouachi 2025). Angka kematian yang semakin meningkat dengan pantas akibat kekurangan zat makanan menggambarkan betapa teruknya krisis kemanusiaan kebuluran yang sedang berlaku di sana.


Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menegaskan bahawa situasi ini bukan lagi amaran (UN News 2025). Ini adalah bencana buatan manusia dan kegagalan nilai kemanusiaan itu sendiri. Kebuluran yang diisytiharkan di Gaza bukan semata-mata tentang ketiadaan makanan, ia turut merangkumi sistem kelangsungan hidup yang diruntuh atau dimusnahkan dengan cara terancang. Titisan bantuan mesti bertukar menjadi lautan. Makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api harus disalurkan secara besar-besaran dan tanpa halangan (BBC 2025). 


Ekoran situasi kemanusiaan yang semakin meruncing dan mendesak di Gaza, sebanyak 20 negara Kesatuan Eropah (EU) bersama United Kingdom, Jepun, Kanada, Australia dan New Zealand, serta Pesuruhjaya Kesatuan Eropah bagi Bantuan Kemanusiaan, Hadja Lahbib, telah menandatangani satu kenyataan bersama yang mengecam tindakan Israel (Politico 2025). Kenyataan bersama ini menandakan titik tolak kecaman terbuka yang semakin lantang daripada masyarakat antarabangsa terhadap tindakan Israel.


Jadi adakah Netanyahu ingin berdolak-dalih lagi bahawa bencana kebuluran tidak terjadi di bawah penjajahan mereka? 

  

Dasar Garisan Merah Israel 2007

 

Hakikatnya, krisis kemanusiaan di Gaza pada hari ini merupakan kesan langsung daripada strategi yang dilaksanakan oleh rejim Zionis Israel sejak tahun 2007. Walaupun pada tahun 2005 Israel mendakwa telah meninggalkan Gaza, namun, hakikatnya mereka terus menjajah wilayah tersebut melalui sekatan yang dilaksanakan secara perlahan dan berterusan.

 

Organisasi hak asasi manusia di Israel, Gisha, melalui saluran undang-undang sebelum ini telah memaksa kerajaan Israel pada ketika itu untuk mendedahkan sebuah dokumen Kementerian Pertahanan yang bertajuk ‘Food Consumption in the Gaza Strip – The Red Lines’ pada tahun 2008. Dokumen tersebut menggariskan jumlah pengambilan kalori minimum, iaitu sebanyak 2,279 kalori sehari, untuk setiap penduduk Gaza. Jumlah ini bagi cukup untuk mengelakkan kebuluran tapi pada waktu yang sama tidak membenarkan mereka menikmati kehidupan yang sejahtera (BBC 2012).

 

Israel telah menafikan pelaksanaan dasar tersebut dengan alasan ia masih berada pada peringkat kajian. Walau bagaimanapun, kenyataan penasihat kerajaan, Dov Wiesglass, pada tahun 2006 menimbulkan keraguan apabila beliau menyatakan, “Ideanya adalah untuk meletakkan penduduk Palestin dalam diet, bukan membiarkan mereka mati kelaparan.” (BBC 2012).

 

Sejak pelaksanaan sekatan itu, makanan asas seperti daging, hasil tenusu, buah-buahan dan sayur-sayuran menjadi barangan mewah yang sukar diperolehi. Penduduk Gaza menerima bekalan yang jauh lebih sedikit daripada yang dinikmati penduduk Israel, sama ada dari segi buah-buahan, sayur-sayuran atau daging (VP 2025).

 

Antara tahun 2007 hingga 2010, dasar yang dikenali sebagai Garis Merah ini telah digunakan bagi menghadkan akses makanan kepada makanan ‘ala kadar’ untuk meneruskan hidup. Akibatnya, pada tahun 2017 Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) melaporkan bahawa 40 peratus isi rumah di Gaza mengalami ketidakjaminan makanan, manakala 80 peratus penduduknya bergantung sepenuhnya pada bantuan kemanusiaan (VP 2025).

 

Realitinya, sekatan yang dikenakan oleh Israel ini bukan sekadar tindakan kawalan, tetapi suatu bentuk hukuman kolektif buat seluruh penduduk Gaza. Hari ini, tindakan Israel jauh lebih kejam berbanding tahun 2007. Sekatan yang dikenakan telah memaksa Program Makanan Sedunia (WFP) menyalurkan kurang daripada 1,600 kalori bagi setiap orang. Jumlah ini jauh lebih rendah daripada sasaran asal iaitu 2,100 kalori seorang (ICG 2025).

 

Jika benar kebuluran tidak berlaku, mengapa Netanyahu sendiri mencadangkan penghantaran makanan melalui ‘airdrop’ dengan meminta kerjasama Jordan, UAE dan negara Eropah? Tindakan ini dilihat sebagai usaha strategi komunikasi kepada orang awam untuk menutup kemarahan antarabangsa, sedangkan Israel boleh sahaja membuka sempadan dan membenarkan trak-trak bantuan masuk. Hakikatnya, sekatan bantuan adalah dasar strategik Israel untuk menghukum penduduk Gaza (Muhammad 2025). 

 

Terkini, Israel mengumumkan rancangan untuk menjajah Gaza sepenuhnya, mengosongkan Bandar Gaza dan menyekat kemasukan semua bentuk bantuan sebagai strategi untuk memaksa penduduk keluar dari Gaza (Berg 2025). Mereka yang enggan berpindah akan dibiarkan mati kebuluran. Dasar ini bukanlah baharu. Sejak 1967 lagi, bekas Perdana Menteri Israel, Levi Eshkol, pernah berkata: “Kita akan menyekat bekalan air ke Gaza sehingga orang Arab meninggalkan kawasan tersebut.” (Abunimah 2017). 

 

Realitinya, Dasar Garis Merah yang dilaksanakan pada 2007 sehinggalah sekatan penuh pada hari ini memperlihatkan secara jelas bahawa kebuluran adalah salah satu senjata utama yang konsisten digunakan oleh Israel bagi mengawal dan menghukum penduduk Gaza. Ini merupakan sebuah lagi bentuk penderaan kolektif yang mencetuskan bencana kemanusiaan terburuk abad ini. Selain daripada bergelut untuk menyelamatkan diri dari ancaman peluru berpandu dan bom, kini penduduk Gaza juga harus menyelamatkan diri dari kebuluran.