Kembali
Dari Madleen ke Kafilah Sumud ke Global March to Gaza: Revolusi Dunia Buat Gaza
Nadia Amira Shamsul
Jun 19, 2025

“Campakkan revolusi ke jalanan, nescaya rakyat pasti akan memungutnya,”
Demikian ungkapan keramat Larbi Ben M’Hidi (1923–1957), pejuang kemerdekaan Algeria yang menjadi lambang kebangkitan rakyat menentang penjajahan Perancis. Sepanjang tempoh penjajahan Perancis, Ben M’Hidi memainkan peranan penting dalam gerakan pembaharuan dan penentangan. Keupayaan beliau menyusun strategi dan menggerakkan massa menjadikan beliau simbol perjuangan kemerdekaan yang kekal terpahat dalam memori rakyat Algeria sebagai lambang keberanian, pengorbanan, dan cita-cita kebebasan (BAA 2025).
Semangat revolusi ini turut tercermin dalam sejarah Revolusi Perancis, apabila kebangkitan rakyat khususnya golongan Ketiga yang terdiri daripada golongan petani, buruh dan borjuis. Mereka ini bangkit menentang ketidakadilan sistem monarki mutlak, ketidaksamaan sosial dan penderitaan ekonomi (Britannica 2025). Menurut Kamus Dewan, "kebangkitan" merujuk kepada keadaan mula bangun atau sedar, satu bentuk kesedaran kolektif terhadap penindasan yang akhirnya berkembang menjadi gerakan besar-besaran. Kebangkitan ini seterusnya mencetuskan revolusi yang menggulingkan sistem lama atau ancien régime, lalu membentuk sistem baru berasaskan kebebasan, kesaksamaan, dan hak asasi manusia.
Dalam konteks sejarah dan masa kini, kebangkitan dan revolusi jelas saling berkait. Kebangkitan sering menjadi pemangkin kepada revolusi, iaitu perubahan menyeluruh dalam struktur politik, sosial, dan ekonomi sesebuah negara. Revolusi yang tulen lahir daripada dorongan hati nurani rakyat yang menolak ketidakadilan dan penindasan, bukan hasil paksaan atau manipulasi.
Kebangkitan ini sedang kita saksikan pada hari ini dalam konteks genosid di Gaza. Lebih 600 hari telah berlalu tanpa tindakan tuntas daripada pemimpin dunia terhadap kekejaman rejim Zionis Israel. Kegagalan institusi antarabangsa dan pemimpin besar dunia untuk bertindak tegas terhadap rejim Zionis telah mencetuskan kebangkitan global yang lahir dari keprihatinan penduduk dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin. Kebangkitan ini tidak hanya berlaku di jalanan, malah merentasi sempadan dan lautan.
Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang terbaru menaiki kapal Madleen, boleh dilihat sebagai salah satu bentuk kebangkitan dan revolusi moral. Didorong oleh semangat keprihatinan terhadap penduduk Gaza yang sekian lama dizalimi, misi ini membawa mesej tegas: “apabila kerajaan gagal, rakyat harus bertindak!” (When the government failed, we sail!); menyambung legasi perjuangan Larbi Ben M’Hidi.
FFC merupakan sebuah gerakan aman yang digerakkan oleh rakyat biasa – aktivis, doktor, wartawan, dan sukarelawan untuk mencabar dan memecahkan kepungan haram rejim Zionis ke atas Gaza. Kepungan ini bukan sahaja telah mewujudkan krisis kemanusiaan yang berterusan di wilayah itu bahkan telah menafikan hak penduduk Gaza terhadap khidmat kesihatan, keselamatan, dan kebebasan bergerak (FFC 2025).
Pada tahun 2008, dua buah kapal telah berjaya menembusi sekatan laut rejim Zionis Israel ke Gaza menerusi misi Free Gaza Movement. Buat pertama kalinya sejak sekatan dikenakan, bantuan kemanusiaan dapat sampai secara langsung ke wilayah dikepung tersebut. Ia merupakan detik bersejarah dalam gerakan solidariti antarabangsa (Al Jazeera, 2025a). Namun, sejak daripada itu kapal-kapal FFC yang berikutnya telah disekat oleh rejim Zionis daripada memasuki Gaza ketika berada di perairan antarabangsa lagi.
Tahun 2010 menjadi tahun berdarah buat FFC apabila salah sebuah kapal flotilanya telah diserang oleh komando rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa. Serangan terhadap kapal Mavi Marmara itu telah mengorbankan 10 orang aktivis warganegara Turki dan mencederakan puluhan yang lain. Serangan tersebut telah mencetuskan kemarahan dunia dan disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa. Ia juga telah menyebabkan keretakan hubungan diplomatik antara Turki dan Israel.
Walau bagaimanapun, tragedi ini tidak pernah membuatkan FFC berputus asa. Mereka tetap meneruskan misi pelayaran pada tahun-tahun berikutnya - Freedom Flotilla II (2011), Freedom Flotilla III (2015), Women’s Boat to Gaza (2016), Just Future for Palestine (2018), For the Children of Gaza (2023-2024), dan Break the Siege (2024-2025).
Tahun ini FFC telah menyiapkan dua buah kapal dalam misinya untuk memecahkan kepungan, membuka koridor laut, dan menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza iaitu Conscience dan Madleen. Pada 2 Mei, ketika berada berhampiran dengan perairan Malta, Conscience telah diserang sebanyak dua kali dengan menggunakan dron oleh rejim Zionis Israel, menyebabkan kebakaran besar dan kerosakan teruk. Seramai 30 orang aktivis dari Turki dan Azerbaijan telah berjuang menyelamatkan kapal tersebut daripada tenggelam sebelum kapal itu ditunda ke pelabuhan Malta (Al Jazeera, 2025a)
Serangan ke atas Conscience tidak melemahkan semangat FFC untuk meneruskan misi mereka. Sebulan kemudian, kapal Madleen pula belayar dengan 12 orang anak kapal. Madleen telah berjaya menarik perhatian dunia ekoran penyertaan Greta Thunberg, aktivis alam sekitar terkemuka dunia dan Rima Hassan, Ahli Parlimen Eropah dari Perancis. Madleen berjaya belayar selama 8 hari sebelum kapal itu dipintas dan krunya diculik oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 108 batu nautika dari Gaza.

(Madleen, 2025)
Walaupun Madleen tidak berjaya berlabuh di Gaza, impaknya tetap besar. Ia telah mencetuskan satu lagi gelombang tekanan global dan kebangkitan awam terhadap rejim Zionis Israel. Ia terus mencabar kebisuan institusi antarabangsa dan pemimpin dunia terhadap pencabulan undang-undang dan hak asasi manusia oleh rejim Zionis.
Perjuangan Madleen kemudian telah disambung oleh Kafilah Sumud dan Global March to Gaza. Kafilah Sumud adalah konvoi darat dari Tunisia yang akan bergerak merentas Algeria, Libya dan Mesir menuju ke Gaza melalui sempadan Rafah. Konvoi ini akan disertai oleh lebih 7,000 aktivis menaiki 300 kenderaan pelbagai saiz (bas, karavan, 4WD, kereta). Global March to Gaza pula ialah inisiatif oleh aktivis daripada 50 buah negara yang mengajak seramai mungkin penduduk dunia yang prihatin untuk terbang ke Mesir dan menyertai Kafilah Sumud untuk berarak bersama-sama menuju ke Gaza (Wahid Ben Ali 2025).
Matlamat utama kempen inisiatif ini adalah untuk menamatkan kebuluran di Gaza dengan membuka laluan kepada ribuan trak bantuan yang tersekat di lintasan Rafah. Di samping itu, ia mahu mendedahkan jenayah rejim Zionis Israel dan menuntut pertanggungjawaban daripada institusi antarabangsa dan pemimpin dunia untuk menghentikan genosid yang sedang berlaku.
Kafilah Sumud dan Global March to Gaza telah menerima penyertaan daripada pelbagai latar belakang seperti kesatuan sekerja, pertubuhan hak asasi manusia, sektor pertubuhan perubatan dan pertubuhan masyarakat sivil. Semua bersatu membawa satu mesej yang jelas: ‘Kebisuan antarabangsa terhadap genosid di Gaza merupakan satu bentuk keterlibatan. Dunia tidak boleh lagi berdiam diri’ (Wahid Ben Ali 2025).
Seorang peserta dari Tunisia dalam Kafilah Sumud berkata:
“Semoga Allah SWT mengampunkan kami atas 50-60 tahun yang lalu, dan atas genosid ini. Dua bilion umat Islam, dan kami tidak melakukan apa-apa. Hanya sekarang kami mula bergerak.”
(Terkini Palestin 2025).
FFC, Kafilah Sumud dan Global March to Gaza adalah wajah baharu revolusi kemanusiaan global. Ia merupakan kebangkitan rakyat dunia yang menolak ketidakadilan dan kezaliman yang masih enggan disuarakan oleh para pemimpin dunia. Inilah masa untuk kita semua menjadi suara kepada mereka yang dibisukan dan menjadi tangan-tangan penyelamat kepada mereka yang ditindas.
Dunia hari ini memerlukan lebih ramai rakyat yang berani untuk bangkit dan “memungut obor perjuangan yang telah dicampakkan ke jalanan.”