Kembali
Dari Gaza ke Asia Barat: Wajah Baharu Strategi Keselamatan Israel
Oct 28, 2026

Ketika Muhammad bin Salman Mahu Arab Saudi Berdamai dengan Israel
Dua minggu sebelum 7 Oktober 2023, Benjamin Netanyahu telah membentangkan sebuah peta Timur Tengah di PBB yang menggambarkan rantau tersebut menurut visinya sebagai pemimpin negara Zionis. Peta tersebut menggambarkan dunia Islam dan Israel hidup bersama tanpa mengambil kira nasib Palestin. Antara perkara yang turut ditekankan dalam pembentangan tersebut ialah hasrat agar Arab Saudi berdamai dengan Israel sebagai penanda aras keamanan di rantau ini. Perkara ini disebut sendiri oleh Benjamin Netanyahu: “Peace between Israel and Saudi Arabia will truly create a new Middle East (Keamanan dan perdamaian antara Israel dan Arab Saudi benar-benar akan mewujudkan sebuah Timur Tengah yang baharu.).”

Kenyataan Netanyahu itu selari dengan kenyataan Muhammad bin Salman (MBS) sehari sebelumnya dalam satu temu bual bersama saluran televisyen Fox. Baginda menyebut bahawa Arab Saudi semakin hampir untuk menjalin hubungan diplomatik secara rasmi dengan Israel. Walau bagaimanapun, dalam temu bual yang sama, baginda turut menyatakan hasrat agar Palestin diiktiraf dan dibantu.
Baginda berkata, “We hope that will reach a place, that it will ease the life of the Palestinians, get Israel as a player in the Middle East” (Kami berharap usaha ini akan membuahkan hasil, meringankan kehidupan rakyat Palestin dan membuka ruang untuk Israel menjadi sebahagian daripada percaturan geopolitik di Timur Tengah).

Untuk memahami kenyataan ini dan mengapa ia berbahaya sekiranya disalahertikan, kita perlu melihat perbezaan antara pengiktirafan negara Palestin dengan pembebasannya daripada penjajahan. MBS mahu Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara, bukannya dibebaskan daripada penjajahan. Dalam masa yang sama, baginda juga mahu Israel terus berkuasa, seolah-olah penjajahannya ke atas Palestin bukanlah masalah bagi Arab Saudi.
Sebahagian penyokong cuba menggambarkan Arab Saudi sebagai negara yang benar-benar memperjuangkan kepentingan Palestin. Hakikatnya, Arab Saudi juga mahu menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dan semakin hampir untuk berbuat demikian.
7 Oktober Membatalkan Impian Muhammad bin Salman dan Netanyahu
Namun, impian yang digambarkan melalui peta Netanyahu di PBB dan hasrat MBS untuk berdamai dengan Israel tergugat selepas berlakunya Operasi Taufan al-Aqsa pada pagi 7 Oktober 2023, seusai solat Subuh di bumi Gaza. Operasi ini diibaratkan sebagai satu pukulan terhadap dunia Arab yang sedang berpusu-pusu menjalin hubungan damai dengan rejim Zionis, sekali gus meninggalkan perjuangan Palestin, kiblat pertama umat Islam dan bumi suci Baitulmaqdis. Setuju atau tidak, operasi ini telah mendedahkan kelemahan dan kegagalan rejim Zionis dari sudut keselamatan, perisikan, hubungan antarabangsa, ekonomi dan sebagainya.
Sejak 7 Oktober 2023 hingga kini, peta Asia Barat telah mengalami perubahan besar dalam tempoh tiga tahun, melibatkan landskap wilayah, sempadan, keselamatan dan pemerintahan negara.
Syria, yang selama 14 tahun berada di bawah kezaliman luar biasa rejim Bashar al-Assad, kini telah berubah selepas kejatuhan rejim tersebut, yang sebelum ini mengakibatkan lebih sejuta manusia terkorban. Di Lubnan pula, wilayah di bahagian selatan semakin terjejas akibat penjajahan tentera Israel (IDF). Hal yang sama berlaku di Gaza, apabila lebih 60% wilayahnya telah dikuasai oleh tentera IDF. Sementara itu, di Sudan, kumpulan yang dianggap sebagai proksi UAE dan rejim Zionis, seperti Rapid Support Forces (RSF), semakin menguasai sebahagian besar wilayah negara tersebut, diiringi kekejaman dan kezaliman yang amat dahsyat.
Dari sudut keselamatan pula, perang antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran telah menyebabkan hampir seluruh negara Arab yang berada di antara rejim Zionis dengan Iran terperangkap dalam konflik kedua-dua pihak. Konflik yang pada awalnya melibatkan serangan udara kini turut melibatkan serangan dan sekatan di Selat Hormuz. Penganalisis melihat bahawa serangan darat berkemungkinan berlaku, bergantung pada keputusan pentadbiran AS. Perang ini bukan lagi sekadar soal pembebasan daripada mana-mana pihak, tetapi turut didorong oleh ego dan hasutan daripada pentadbiran rejim Zionis, seperti yang dinyatakan sendiri oleh Marco Rubio pada 2 Mac 2026 ketika berucap kepada wartawan di Capitol Hill, Washington.
Identiti Baharu Rejim Zionis Selepas 7 Oktober
Justeru, segalanya tidak lagi sama seperti sebelum 7 Oktober 2023, termasuk identiti negara penjajah Zionis itu sendiri. Perkara ini turut dibincangkan oleh Institute for National Security Studies (INSS), sebuah badan kajian keselamatan Israel, dalam analisisnya mengenai konsep keselamatan baharu Israel selepas 7 Oktober. Antara perkara yang diketengahkan ialah:
1. Peperangan sebagai Keadaan Asas Negara
Rejim Zionis melihat peperangan sebagai sebahagian daripada pendekatan untuk menangani kelemahan yang membawa kepada peristiwa 7 Oktober. Peperangan dianggap perlu (beerti mesti diteruskan), manakala peperangan pencegahan lebih diutamakan kerana pendekatan ini dikatakan dapat menjamin pencapaian yang lebih besar sejak peringkat awal.
2. Penolakan terhadap Kewujudan Bebas Negara-negara Arab
Melemahkan atau menguasai negara-negara Arab dilihat sebagai sesuatu yang mesti dilakukan oleh rejim ini. Bagi mereka, kebanyakan negara Arab bukanlah negara bangsa yang kukuh, sebaliknya merupakan himpunan suku kaum dan kumpulan etnik yang tidak mempunyai sejarah bersama serta visi kebangsaan yang menjadi asas penyatuan mereka.
3. Keutamaan Mutlak terhadap Inisiatif dan Serangan Berbanding Pertahanan
Serangan awal sebelum musuh bertindak dan serangan mengejut dilihat sebagai antara cara utama untuk mencapai kemenangan. Pendekatan ini meletakkan serangan sebagai keutamaan berbanding pertahanan.
4. Pertahanan Hadapan di negara Jiran
Apabila serangan balas awal sebelum musuh bertindak tidak dapat dilaksanakan, atau apabila masa diperlukan untuk membuat persediaan bagi sesuatu serangan, pembentukan zon pertahanan hadapan di kawasan yang memungkinkan menjadi sangat penting. Zon-zon ini menyediakan pertahanan berlapis-lapis terhadap pihak yang dianggap sebagai musuh, yang didakwa menggugat kestabilan negara tempat mereka beroperasi dan melemahkan negara-negara tersebut berbanding Israel. Kawasan-kawasan ini juga membolehkan Israel memindahkan medan peperangan ke wilayah musuh secepat mungkin.
Selain empat perkara di atas, terdapat pelbagai lagi asas baharu yang diketengahkan, termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat serta meningkatkan keutamaan terhadap kebebasan industri pertahanan, khususnya dalam bidang persenjataan dan ketenteraan.
Peta Terbaharu Asia Barat dari Perspektif Keselamatan Rejim Zionis

Berbalik kepada pendedahan terbaharu, Benjamin Netanyahu mempamerkan sebuah peta baharu Asia Barat yang dibahagikan mengikut kategori tertentu. Pembahagian ini dibuat berdasarkan asas-asas yang disebutkan di atas, tahap kesetiaan kepada rejim Zionis dan pihak yang berpotensi menjadi ancaman. Peta tersebut menggunakan tiga warna utama, iaitu biru, hijau dan merah.

Biru
Warna biru terbahagi kepada dua kategori, iaitu biru gelap dan biru terang.
Biru gelap merujuk kepada negara yang telah menjadi sekutu penuh dan rakan strategik serta dianggap tidak akan menjadi ancaman kepada rejim Zionis. Negara yang disenaraikan dalam kategori ini ialah Israel dan UAE.
Biru terang pula merujuk kepada negara yang mempunyai kedudukan hampir serupa dengan kategori biru gelap, tetapi mungkin berada pada tahap yang sedikit lebih rendah. Negara dan wilayah yang disenaraikan ialah Azerbaijan, Greece, Libya (bahagian barat), RCF (selatan Lubnan), Ethiopia, Somaliland, Puntland dan India.
Hijau
Warna hijau juga terbahagi kepada dua kategori, iaitu hijau gelap dan hijau terang.
Hijau gelap merangkumi Arab Saudi, Pakistan, Mesir dan Turkiye. Keempat-empat negara ini mempunyai tiga persamaan utama: majoriti penduduknya beragama Islam Sunni, mempunyai keluasan geografi yang besar dan memiliki kekuatan ketenteraan yang tinggi.
Buat masa ini, keempat-empat negara tersebut merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat, sekali gus menjadikan mereka rakan strategik bagi rejim Zionis. Namun, kedudukan ini banyak dipengaruhi oleh hubungan mereka dengan Amerika Syarikat. Tanpa faktor tersebut, kedudukan mereka sebagai rakan strategik rejim Zionis berpotensi berubah.
Dalam masa yang sama, negara-negara ini juga berpotensi menjadi ancaman kepada rejim Zionis. Sebagai contoh, menteri dan pegawai keselamatan dari Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan telah bertemu dengan Presiden Iran di Tehran. Pertemuan tersebut berlangsung tanpa kehadiran Donald Trump, UAE atau wakil rejim Zionis sendiri. Walaupun pertemuan itu dilaporkan bertujuan untuk meredakan ancaman Houthi dari Yaman, perkembangan ini menunjukkan bahawa percaturan keselamatan dan ketenteraan di Asia Barat boleh dilakukan tanpa penglibatan Amerika Syarikat dan rejim Zionis.
Hijau terang pula merujuk kepada negara yang berpotensi menjadi rakan strategik, sama ada negara yang telah menjalin hubungan diplomatik dengan Israel mahupun yang belum. Negara dan wilayah yang disenaraikan termasuk Bahrain, Qatar, Kuwait, Yaman bahagian timur, Sudan, Jordan, Lubnan dan Syria.
Situasi di Syria agak berbeza kerana negara ini masih dibedil dan diduduki oleh rejim Zionis hingga ke saat ini.
Keadaan tersebut berkemungkinan merupakan satu bentuk tekanan terhadap pentadbiran Syria agar menyerah kalah, berdamai dengan rejim Zionis dan melepaskan Bukit Golan. Sekiranya perkara ini berlaku, Syria berkemungkinan menjadi seperti negara Arab lain yang hanya berperanan sebagai sekutu kepada rejim Zionis.
Merah
Kategori terakhir dan paling mudah difahami ialah warna merah gelap. Negara dan wilayah yang disenaraikan dalam kategori ini ialah Iran, Yaman bahagian barat dan Gaza. Kesemuanya dianggap sebagai ancaman langsung kepada rejim Zionis.
Kesimpulan
Pembahagian peta ini bertujuan memastikan keselamatan rejim Zionis terus terpelihara serta menyediakan persediaan bagi menghadapi sebarang ancaman dari luar. Peristiwa 7 Oktober 2023 telah mengubah identiti dan sikap rejim Zionis, menjadikannya semakin paranoid, cemas dan sentiasa berada dalam keadaan tidak selamat.
Kali ini, sasaran mereka bukan lagi Palestin semata-mata, tetapi seluruh Asia Barat, termasuk negara-negara Islam di rantau tersebut. Sekiranya sesebuah negara itu bukan sekutu rejim Zionis, tidak sanggup berjuang dan berkorban untuk kepentingannya, negara tersebut berisiko dilabel sebagai musuh.
Persoalannya, apakah pula pelan dan peta strategik negara-negara Islam bermazhab Sunni untuk menyelamatkan diri daripada ancaman ini serta membebaskan Baitulmaqdis, Masra Rasulullah SAW?