Kembali

'Board of Peace': Penyelamat Atau Arkitek Kehancuran Gaza?

Nadia Shamsul

Jan 23, 2026

'Board of Peace': Penyelamat Atau Arkitek Kehancuran Gaza?

 

Baru-baru ini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengumumkan secara rasmi ahli-ahli Lembaga Keamanan atau Board of Peace (BoP) yang telah beliau canang-canangkan sejak Oktober 2025. Menurut Trump, ini adalah rancangan yang terbaik untuk mengurus dan membina semula Gaza selepas wilayah itu dibedik dan dimusnahkan oleh rejim Zionis selama lebih dua tahun.

 

Namun, sejarah mengajar kita bahawa kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) tidak akan bertindak menjadi ‘pengaman dunia’ sekiranya tindakan tersebut tidak mendatangkan keuntungan kepada mereka. Oleh itu, tak hairanlah pengumuman Trump menimbulkan syak wasangka pelbagai pihak.

 

Al Jazeera (2026) dalam laporannya menggambarkan BoP sebagai model pemerintahan piramid dengan tampuk pemerintahan dan kuasa veto terletak pada tangan Trump sendiri. Dibawahnya adalah Lembaga Eksekutif Pengasas yang dianggotai oleh individu-individu pro-Israel seperti Setiausaha AS, Marco Rubio, menantu Trump, Jared Kushner. Kushner sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa penduduk Palestin tidak mampu mentadbir sendiri. Beliau juga pernah menjual idea bahawa nilai hartanah di tepi laut Gaza akan menjadi sangat mahal dan berbaloi untuk dibangunkan.

 

Turut tersenarai adalah bekas Perdana Menteri UK, Tony Blair antara indvidu yang paling dibenci di dunia ekoran penglibatan beliau dalam pencerobohan dan jenayah perang di Iraq pada tahun 2003 bersama Presiden George W Bush. Walaupun terpalit dengan jenayah perang, beliau masih bebas bergerak dan menjadi penasihat kepada banyak institusi antarabangsa. Penglibatan beliau agak mengejutkan kerana sudah pun dipertikai banyak pihak sebelum ini.

 


Di bawah lembaga pengasas ini pula ialah Pejabat Wakil Tertinggi yang akan diketuai oleh Nickolay Mladenov, bekas Utusan Khas PBB Untuk Rundingan Damai Timur Tengah dari tahun 2015 sehingga 2020. Mladenov pernah mencetuskan kontroversi pada tahun 2018 selepas mencadangkan penubuhan ‘Dana Amanah’ yang meminggirkan peranan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan melakukan koordinasi hanya dengan AS dan Israel (Al Jazeera 2026).

 

Pejabat Wakil Tertinggi ini akan dibantu dan dipantau oleh Lembaga Eksekutif Gaza. Lembaga ini dianggotai oleh beberapa orang ahli Lembaga Pengasas serta wakil-wakil negara Arab dan Islam seperti Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, Pengarah Badan Perisikan Mesir, Jeneral Hassan Rashad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Qatar, Ali Al-Thawadi, dan Menteri Luar UAE, Reem Al-Hashimy.

 

Hirarki terakhir dalam piramid ini adalah Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza atau National Committee for the Administration of Gaza (NCAG) yang terdiri daripada rakyat Palestin sendiri. Jawatankuasa ini diketuai oleh Ali Shaath. Beliau memiliki ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan awam dari Queen's University Belfast dan pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam Kementerian Perancangan dan Kementerian Pengangkutan PA. Beliau juga pernah menjawat jawatan pengerusi Palestinian Industrial Estates and Free Zones Authority (PIEFZA). Pengalaman luas beliau dalam bidang pentadbiran serta penglibatan beliau dalam bidang industri dipercayai mampu menyumbang kepada projek pembangunan semula Gaza.

 

Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza


Namun, sejauh mana NCAG dapat bertindak bebas dalam hal ehwal  pengurusan Gaza masih menjadi persoalan. Menurut Wissam Afifa, seorang penulis dan penganalisis dari Gaza, struktur sedia ada telah menyebabkan pemimpin Palestin diturunkan taraf kepada sekadar kakitangan perbandaran. Mereka ditugaskan untuk membersihkan sistem pembetungan dan membina semula sekolah, tetapi langsung tidak mempunyai hak untuk bersuara dalam menentukan masa depan tanah air mereka. Ia merupakan sebuah model kedaulatan terhad (sovereighnty-minus model) di mana 'Jawatankuasa Kebangsaan' menerima arahan daripada 'Wakil Tinggi', yang turut menerima arahan daripada Rumah Putih (Mansour 2026).

 

Justeru, siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada BoP ini?

 

 Apa yang dapat dilihat adalah BoP kini membentuk sebuah penjajahan baru di bumi Gaza. Kalau dahulu penjajahnya adalah rejim Zionis, hari ini penjajahnya adalah Amerika Syarikat; ibarat keluar mulut buaya masuk mulut harimau!

 

Malah, sekiranya tidak disanggah BoP berpotensi untuk membunuh multilateralisme di peringkat antarabangsa sekaligus menggantikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) (Firstpost 2026). Tindakan Trump menuntut bayaran $1 Billion kepada mana-mana negara yang ingin menyertai BoP menguatkan lagi dakwaan bahawa beliau mahu mencipta badan alternatif kepada PBB.

 

Ironinya, Israel menolak penubuhan BoP. Bagi Netanyahu, BoP akan mengikat tangan Israel yang selama ini hanya perlu berurusan dengan Trump untuk pengurusan konflik di Gaza. Penglibatan pihak luar hanya akan merumitkan lagi keadaan.

 

Namun, Iyad al-Qarra, seorang penganalisis politik yang berpangkalan di Gaza berkata, bantahan Netanyahu bersifat taktikal. Beliau berpendapat lembaga ini akan menyerahkan beban berat pengurusan kesengsaraan Gaza kepada para penderma dan pelaburan antarabangsa, manakala Israel tetap mengekalkan kawalan keselamatan tanpa perlu menanggung sebarang kos (Mansour 2026). Lihat sahaja bagaimana jawatankuasa NCAG tidak dibenarkan memasuki Gaza oleh rejim Israel walaupun mereka telah dijadual untuk memulakan tugasan di lapangan. (Palestince Chronicle 2026).

 

Kesimpulannya, rancangan distopia ini tidak memberi manfaat kepada sesiapapun melainkan kepada Israel dan rakan setianya dalam pembunuhan beramai-ramai iaitu Amerika Syarikat. BoP adalah sebuah bentuk penjajahan baharu era kini dan penjajahan ini tidak semestinya hadir dalam bentuk kereta kebal dan kibaran bendera. Kadangkala, ia hadir dalam bentuk sebuah genosid yang berselindung di sebalik nama 'Rancangan Keamanan’ dan para pelakunya? Mereka berselindung di sebalik topeng 'Lembaga Keamanan'.


Nadia Shamsul

Penyelidik Aqsa Syarif