Kembali
Bentuk Muka Bumi dan Iklim Palestin
Nurul Izzah
Jul 30, 2025

Palestin merupakan sebuah negara Islam yang mempunyai kedudukan strategik dalam peta dunia kerana terletak di antara Mesir dan tiga negara Arab iaitu Lubnan, Syria dan Jordan. Palestin berperanan sebagai jambatan darat serta laluan penting bagi perdagangan, ketenteraan dan pertukaran budaya sejak zaman dahulu.
Secara umum, Palestin boleh dibahagikan kepada tiga jalur geografi utama, iaitu kawasan pesisir pantai, kawasan pergunungan, dan Lembah Jordan.
1. Kawasan Pesisir Pantai
Kawasan ini menempatkan sekitar 75% daripada jumlah keseluruhan penduduk Palestin. Ia menjadi pusat aktiviti ekonomi yang penting, terutamanya melalui pelabuhan seperti Pelabuhan Haifa. Di samping itu, kawasan ini merupakan kawasan pertanian utama, khususnya dalam penghasilan buah-buahan sitrus seperti oren dan lemon.
2. Kawasan Pergunungan
Kawasan pergunungan ini meliputi Gunung Nablus, Gunung al-Khalil, serta dataran tinggi al-Naqab, dengan ketinggian mencecah sehingga kira-kira 1000 meter dari paras laut. Di kawasan tanah tinggi ini juga terletaknya beberapa bandar utama Palestin seperti Baitulmaqdis, Nablus, al-Khalil, Bait Lahm, dan Ramallah.
3. Lembah Jordan
Lembah Jordan merupakan kawasan tanah rendah yang terletak di sepanjang Sungai Jordan, dan terkenal dengan suhu yang panas sepanjang tahun. Penduduk di kawasan ini banyak menanam pokok kurma, pisang, serta sayur-sayuran. Lembah ini juga menjadi lokasi kepada bandar tertua di dunia, iaitu Ariha. Bahagian selatan Lembah Jordan, yang melintangi kawasan dari Laut Mati ke arah selatan, dikenali sebagai Wadi Araba.
Iklim Palestin tergolong dalam kategori iklim Mediterranean, iaitu panas dan kering pada musim panas, serta sejuk dan menerima hujan pada musim sejuk. Januari merupakan bulan paling sejuk dengan suhu purata sekitar 8°C, manakala Ogos merupakan bulan paling panas dengan suhu mencecah sekitar 25°C.
Nurul Izzah
Pembantu Pegawai Penyelidik AqsaSyarif