Kembali

BENARKAH HAMAS AKAN MELUCUTKAN SELURUH SENJATANYA?

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Aug 4, 2026

Hamas Benar-Benar Bersetuju Melucutkan Senjata?

Minggu lalu, media antarabangsa bertalu-talu melaporkan bahawa Hamas telah bersetuju untuk melucutkan senjata. Persepsi ini timbul selepas Donald Trump menerusi platform Truth Social mendakwa satu "perjanjian bersejarah" telah dicapai, kononnya Hamas bersama kumpulan bersenjata lain bersetuju untuk melucutkan senjata sepenuhnya.

Dalam kenyataan yang sama, Trump turut menyebut bahawa tentera Israel (IDF) akan berundur daripada k Gaza dan digantikan dengan International Stabilization Force (ISF). Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Mesir, Qatar dan Turkiye sebagai negara penjamin yang membantu mencapai persetujuan tersebut.

Namun, sejauh manakah persetujuan ini mampu dilaksanakan?

Sejak bermulanya gencatan senjata pada 10 Oktober 2025, pentadbiran Netanyahu didakwa telah melanggar lebih 4,000 kandungan perjanjian sehingga menyebabkan lebih 1,300 penduduk Palestin terkorban akibat serangan berterusan.

Jika perjanjian asal sendiri gagal dipatuhi, bagaimana pula sebuah persetujuan baharu mampu dilaksanakan?

Tiga Asas Utama Isu Pelucutan Senjata

Bagi memahami perkara sebenar, kenyataan Ghāzi Hamad, wakil rasmi Hamas, telah memberikan penjelasan sebenar. Tiga asas utama yang perlu diberikan perhatian hasil penjelasan beliau:

1. Seluruh kandungan perjanjian gencatan senjata mesti dipatuhi terlebih dahulu

Menurut Ghāzi Hamad, apa yang dipersetujui bukan sekadar isu senjata, tetapi keseluruhan kandungan perjanjian gencatan senjata.

Sebagaimana Hamas telah membebaskan 33 orang tebusan, rejim Zionis juga sepatutnya memenuhi komitmen mereka, termasuk membenarkan kemasukan 600 lori bantuan kemanusiaan setiap hari, melaksanakan pengunduran tentera secara berperingkat, membuka pintu Rafah serta memberikan kebebasan kepada penduduk Gaza untuk bergerak.

Sebaliknya, serangan dan pembunuhan masih berterusan setiap hari. Bantuan kemanusiaan yang masuk pula dilaporkan lebih rendah daripada satu pertiga yang dipersetujui, manakala kawasan yang dikuasai tentera Israel terus bertambah berbanding sebelum perjanjian dimeterai.

2. Tidak akan berlaku penyerahan atau pelucutan senjata

Bagi Hamas, istilah menyerah diri atau melucutkan senjata tanpa syarat tidak pernah wujud dalam perjuangan rakyat Palestin.

Senjata dianggap sebagai nadi perjuangan mempertahankan tanah air dan maruah mereka. Ribuan pejuang Palestin syahid sepanjang dua tahun lalu dalam keadaan masih mempertahankan senjata mereka.

Al-Quran sendiri memberikan gambaran bahawa ketika solat dalam suasana peperangan, umat Islam dibenarkan terus berada dalam keadaan bersedia dengan senjata bagi menghadapi sebarang serangan musuh.

Ghāzi Hamad menegaskan bahawa senjata tidak akan diserahkan kepada rejim Zionis. Apa yang dibincangkan hanyalah penyimpanan senjata berat di bawah Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah badan pentadbiran yang dilantik oleh Lembaga Keamanan (Board of Peace) sendiri.

3. Tiada perubahan selagi pihak musuh tidak memenuhi kewajipan mereka

Ghāzi Hamad turut menegaskan bahawa tidak akan berlaku pembekuan atau penyimpanan senjata berat selagi rejim Zionis gagal memenuhi komitmen mereka dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata.

Antara syarat perjanjian tersebut ialah pengunduran tentera Israel, kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, penghentian serangan serta membenarkan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza menjalankan tugasnya, termasuk mebubarkan kumpulan bersenjata jenayah seperti kumpulan Yasir Abu Syabab.

Ketiga-tiga prinsip ini menunjukkan bahawa laporan media antarabangsa yang menggambarkan Hamas bersetuju melucutkan senjata tanpa syarat adalah tidak tepat.

Sebaliknya, sebarang persetujuan yang dicapai melibatkan tanggungjawab bersama antara Hamas, rejim Zionis, negara-negara penjamin dan Amerika Syarikat. Matlamat utamanya ialah menghentikan peperangan, memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan, mengembalikan pentadbiran Gaza serta menamatkan serangan terhadap penduduk awam.

Netanyahu Tidak Mahu Sekadar Pelucutan Senjata

Hakikatnya, baki kekuatan persenjataan Hamas tidak mampu menandingi kekuatan ketenteraan Israel. Gaza sendiri hampir musnah sepenuhnya dan hampir setiap keluarga menerima kesan peperangan. Dianggarkan sekitar 12% daripada 2.3 juta penduduk Gaza sama ada terbunuh, cedera atau masih hilang.

Namun, apa yang dikehendaki oleh Netanyahu bukan sekadar pelucutan senjata.

Mereka mahu para pejuang menyerahkan keseluruhan infrastruktur ketenteraan yang masih berbaki, termasuk rangkaian terowong bawah tanah, kubu pertahanan, kilang pembuatan senjata serta segala aset strategik yang masih dimiliki.

Selepas itu, agenda seterusnya ialah mengosongkan Gaza daripada sebarang bentuk penentangan.

Lebih penting lagi, hasrat menguasai Gaza bukan sekadar agenda kerajaan Netanyahu, bahkan turut dikongsi oleh sebahagian besar spektrum politik Israel.

Ironinya, jika cadangan yang diumumkan Donald Trump benar-benar diterima, sekitar 65% kawasan Gaza yang kini dikuasai tentera Israel perlu dipulangkan semula kepada penduduk Gaza.

Bagi Netanyahu, kehilangan wilayah yang telah dikuasai merupakan kegagalan politik dan ketenteraan yang jauh lebih besar daripada kejayaan melucutkan senjata para pejuang.

Inilah sebabnya sehingga beberapa hari selepas pengumuman Trump dibuat, pentadbiran Israel masih belum menerima cadangan tersebut sepenuhnya, walaupun ia dikatakan melibatkan pelucutan senjata oleh Hamas.

Pendirian Dunia Islam Memalukan

Sejarah telah membuktikan bahawa rejim Zionis tidak akan memenuhi perjanjian mahupun undang-undang antarabangsa kecuali apabila berdepan tekanan, kekuatan dan ketegasan daripada masyarakat antarabangsa dan negara-negara besar.

Atas sebab itu, umat Islam seharusnya bersatu menolak sebarang tekanan yang memaksa rakyat Palestin melucutkan senjata sebelum hak-hak mereka dipenuhi.

Al-Quran sendiri mengajar umat Islam agar sentiasa bersiap siaga mempertahankan diri daripada ancaman musuh. Bahkan dalam situasi peperangan ketika mendirikan solat sekalipun, umat Islam dibenarkan membawa senjata sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam konteks ini, pelucutan senjata tanpa jaminan keadilan dan keselamatan dilihat sebagai langkah terakhir menuju penyerahan diri sepenuhnya.

Oleh itu, umat Islam dan masyarakat dunia perlu terus meningkatkan kesedaran, mempengaruhi ahli politik serta memperjuangkan isu Palestin melalui segala ruang dan kemampuan yang dimiliki agar hak rakyat Palestin tidak terus dinafikan.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif