Kembali

Bantuan Kemanusiaan Jadi Tebusan, Nyawa Gaza Jadi Taruhan

Nadia Amira Shamsul

Jun 12, 2025

Setelah hampir tiga bulan mengenakan sekatan penuh terhadap Gaza, rejim Zionis Israel akhirnya terpaksa akur kepada desakan antarabangsa supaya ia membuka pintu sempadan ke wilayah Palestin itu yang kini berada di ambang kebuluran. Keputusan ini diambil ekoran tekanan daripada banyak negara termasuk UK, Perancis, dan Kanada yang merupakan rakan sekutu Israel supaya bantuan dibenarkan masuk bagi mengelak bencana kemanusiaan yang lebih besar.

Walau bagaimanapun, penduduk Gaza masih belum boleh menghela nafas lega kerana bantuan yang akan memasuki Gaza akan diagihkan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah agensi baru yang diwujudkan hasil kerjasama rejim Zionis Israel dan kontraktor keselamatan dari Amerika Syarikat (AS). GHF ditubuhkan untuk meletakkan proses agihan bantuan kemanusiaan di bawah kawalan penuh rejim Zionis Israel dan bagi mengelak ‘rompakan’ bekalan bantuan oleh Hamas; dakwaan yang dilemparkan ke atas Hamas tanpa sebarang bukti sehingga hari ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensi kemanusiaan terkemuka dunia yang lain telah mengkritik tindakan ini dan menolak untuk bekerjasama dengan GHF. Penubuhan GHF bertentangan dengan prinsip-prinsip perkhidmatan kemanusiaan - kemanusiaan, adil, bebas dan berkecuali. PBB menyelar GHF sebagai satu lagi usaha rejim Zionis itu untuk menjadikan kelaparan sebagai senjata untuk mengusir keluar dan melakukan jenayah penghapusan etnik terhadap penduduk Gaza (Al Jazeera 2025). 

Realitinya, terdapat pelbagai agensi yang berkelayakan untuk menguruskan bantuan kemanusiaan di Gaza seperti United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA), International Committee of the Red Cross (ICRC), Médecins Sans Frontières (Doctors Without Borders), Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), World Food Programme (WFP), Oxfam, dan Save the Children. Agensi-agensi ini telah berpuluh-puluh tahun beroperasi di Gaza dan di pelbagai pelusuk dunia.

Tom Fletcher, Setiausaha Agung Timbalan PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelarasan Bantuan Kecemasan (UNOCHA) dalam kenyataannya di platform X berkata: “Kami mempunyai bekalan, rancangan, tenaga dan jaringan untuk menghantar bantuan yang mampu menyelamatkan nyawa dalam jumlah besar kepada orang awam di Gaza selaras dengan prinsip-prinsip kemanusiaan. Cukuplah (bermain wayang). Kita tiada banyak masa!” (Fletcher 2025).

“Ini bukan cara yang betul untuk menyalurkan bantuan,” kata Ahmed Bayram, jurucakap Majlis Pelarian Norway kepada Al Jazeera. Beliau menggesa agar rancangan untuk memindahkan operasi kemanusiaan kepada GHF segera dibatalkan. Operasi bantuan perlu diserahkan kepada petugas kemanusiaan yang profesional. Beliau menegaskan bahawa trak-trak bantuan daripada komuniti antarabangsa telah siap sedia menunggu di sempadan. Apa yang diperlukan hanyalah pintu sempadan dibuka dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa sebarang sekatan. (Al Jazeera 2025)

Ajith Sunghay, wakil Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu temubual bersama Anadolu Agency berkata bahawa mekanisme yang digunakan ‘tidak adil, tidak berkecuali dan tidak bebas.’ Penduduk Gaza terpaksa berjalan berpuluh-puluh kilometer ke pusat agihan yang terletak di Rafah walhal bantuan sepatutnya tiba di lokasi mereka yang memerlukan dan bukan sebaliknya. Memaksa penduduk Gaza yang kelaparan untuk merisikokan nyawa mereka demi mendapatkan bekalan makanan adalah tindakan yang zalim. (The New Arab 2025) 

(Pusat pengagihan bantuan Gaza Humanitarian Foundation yang dibawah kawalan AS-Israel)

Kegagalan GHF terpampang di mata dunia seawal hari pertama. Orang ramai membanjiri lokasi agihan dan ramai yang terpaksa menanti dan beratur dengan sangat lama di bawah terik matahari. Bahkan, situasi di lapangan turut disifatkan oleh kebanyakan pihak sebagai tidak ubah seperti sebuah kem tahanan terbuka. Gambar-gambar yang tular memaparkan orang awam beratur panjang di belakang pagar berduri semata-mata untuk mendapatkan makanan. Gambar-gambar ini telah mencetuskan kecaman antarabangsa sehingga ada yang menyamakan keadaan ini dengan kem tahanan era Nazi yang pernah suatu ketika dahulu menindas kaum Yahudi di Eropah Timur. 


(Kem tahanan Nazi)


Lebih memburukkan keadaan, keadaan menjadi tidak terkawal apabila rejim Zionis dan tentera upahannya mula melepaskan tembakan kepada rakyat yang terdesak untuk mendapatkan makanan sehingga mengakibatkan 3 orang terbunuh dan 46 orang lagi cedera. Ini pada hari pertama sahaja. Kini, setakat hampir 3 minggu GHF beroperasi, lebih 220 orang penduduk Gaza telah terkorban dan hampir 1,500 orang lagi cedera ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat-pusat agihan GHF. Pusat agihan ini kini dirujuk sebagai ‘pusat penyembelihan’, bukan pusat agihan bantuan kemanusiaan.

Menurut Muhammad Shehada, tentera upahan yang dibayar oleh rejim Zionis tidak mempunyai pengalaman lain selain pernah bertugas di Iraq dan Afghanistan. Mereka menerima bayaran lumayan sehingga AS$33,000 sebulan (bersamaan AS$1,100 sehari) dan langsung tidak mementingkan keselamatan penduduk Gaza. Mereka lebih mementingkan keselamatan mereka sendiri. (Muhammad Shehada, 2025) Akbar Zionis, Ynet sendiri melaporkan, sebaik situasi huru-hara meletus, tentera upahan dari AS adalah yang pertama meninggalkan lokasi dan melarikan diri (Ynet 2025).

Di sebalik kegagalan ini, rejim Zionis Israel terus mempertahan GHF sambil memetik kejayaan agensi itu mengagihkan puluhan ribu kotak makanan kepada penduduk Gaza pada setiap hari. (Al Jazeera, 2025) Setiap pek dikatakan mampu menampung keperluan 5.5 orang dalam tempoh 3.5 hari. Ini bermakna setiap keluarga yang mempunyai 5 orang ahli perlu mengharungi perjalanan yang berbahaya dan beratur panjang di bawah terik matahari untuk mendapatkan bantuan sebanyak dua kali seminggu. Keluarga yang lebih besar perlu hadir lebih kerap daripada itu. (MEE, 2025)

Selain makanan, tidak agihan air bersih, susu dan lampin bayi, lampin wanita, pek kebersihan dan ubat-ubatan yang dilaksanakan oleh GHF walhal makanan hanyalah sebahagian daripada keperluan sebenar penduduk Gaza. Jelas, GHF hanyalah sekadar wayang dan sebahagian daripada usaha sistematik rejim Zionis itu untuk memusnahkan kehidupan penduduk Gaza, mengusir mereka keluar dan memadamkan kewujudan mereka di Palestin.

 

Nadia Shamsul

Penyelidik Aqsa Syarif