Kembali
Bagaimana Donald Trump dan Netanyahu Menguasai Negara-Negara Islam untuk Kepentingan Mereka?
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Jul 20, 2026

Bagaimana Donald Trump dan Netanyahu Menguasai Negara-Negara Islam untuk Kepentingan Mereka?
Saudi menyerang Yaman, Iran berperang dengan negara-negara Teluk, Mesir dan UAE membantu rejim Zionis menjajah Gaza, Syria dan Lubnan pula tanpa henti diserang oleh rejim Zionis. Terbaharu, Maghribi dilaporkan bakal menghantar tenteranya ke Gaza dan pelbagai lagi perkembangan seumpamanya.
Apakah sebenarnya yang sedang berlaku di Asia Barat?
Hampir semua negara Islam di Asia Barat terlibat dalam peperangan. Ada yang menjadi mangsa peperangan, ada yang menjadi pemangsa, dan ada pula yang membantu pemangsa sebagai sekutu sejati.
Pada kesempatan ini, ingin dikongsikan pandangan seorang pakar dalam pengajian sejarah Islam dan geopolitik, Dr. Mukhtar al-Syanqiti. Pandangan ini mungkin dapat membantu pembaca meneliti apa yang sedang berlaku dengan neraca yang lebih tepat.

Beliau berpendapat bahawa negara-negara Islam di Asia Barat sebenarnya berada dalam satu perancangan Amerika Syarikat dan rejim Zionis. Pemilik kuasa yang sebenar ialah rejim Zionis yang kini berada di bawah pentadbiran Netanyahu, manakala pelaksana utamanya ialah Amerika Syarikat.
Sama ada Donald Trump suka ataupun tidak, pentadbiran Amerika Syarikat tetap akan mengikuti kehendak rejim Zionis.
Bagi negara-negara Islam di Asia Barat, strategi yang digunakan untuk memastikan mereka tidak bersatu, menjadi lemah dan bertempur sesama sendiri ialah melalui strategi al-Tahmish dan al-Tahsyim.
Strategi al-Tahmish
Menurut Dr. Mukhtar, strategi al-Tahmish digunakan untuk memandulkan kekuatan negara-negara Islam sehingga mereka tidak lagi mampu membuat keputusan secara bebas di peringkat antarabangsa atau bahkan berkaitan negara jiran mereka sendiri.
Sebagai contoh, Mesir sehingga hari ini masih mengepung Gaza dan hampir sepenuhnya menutup sempadan Rafah. Mesir hanya mengikuti arahan rejim Zionis sama ada untuk membuka atau menutup sempadan Rafah. Bahkan, untuk memasukkan bantuan kemanusiaan sekalipun, Mesir hanya bertindak selepas mendapat kebenaran daripada rejim Zionis.
Mesir merupakan contoh sebuah negara Arab yang tidak berani mengeluarkan sebarang keputusan yang bercanggah dengan kehendak Amerika Syarikat dan rejim Zionis. Walaupun pada awal bulan ini Netanyahu menghina pentadbiran Mesir dengan menyatakan bahawa mereka hanya perlu mengikut kehendaknya kerana Mesir ialah sebuah negara yang lemah, al-Sisi dan seluruh pentadbirannya terus berdiam diri.
Mengutuk atau mengkritik Donald Trump dan Netanyahu secara terbuka juga hampir tidak pernah berlaku, walaupun genosid sedang berlaku di negara jirannya sendiri.
Hal ini cukup berbeza ketika zaman pemerintahan Dr. Mursi sebagai Presiden Mesir. Ketika itu, pintu Rafah dibuka seluas-luasnya bagi membolehkan orang ramai keluar masuk.
Contoh lain ialah Arab Saudi. Pada Mac yang lalu, Donald Trump secara terbuka menghina Muhammad bin Salman, pemerintah Arab Saudi, dengan mengatakan:
"He didn't think he'd be kissing my ass... now he has to be nice to me."
Terjemahan yang lebih sopan ialah:
"Dia tidak menyangka suatu hari nanti dia terpaksa tunduk kepada saya... tetapi sekarang dia terpaksa berbaik-baik dengan saya."
Walaupun penghinaan tersebut dilakukan secara terbuka, sehingga hari ini Arab Saudi masih meneruskan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat dalam aspek ketenteraan, politik dan ekonomi.
Bahkan, Arab Saudi telah membedil Lapangan Terbang Sanaa atas alasan kerajaan Houthi telah membawa masuk individu-individu yang berkepentingan dalam bidang ketenteraan dari Iran.
Sudah tentu, jika tercetus perang antara Arab Saudi dan Houthi di Yaman, keadaan ini akan menguntungkan Netanyahu dan Donald Trump. Hal ini kerana sejak dua tahun kebelakangan ini, Houthi menjadi antara ancaman terbesar kepada mereka berikutan keberaniannya menyerang Tel Aviv dan kawasan sekitarnya menggunakan dron serta peluru berpandu balistik dan hipersonik.
Menurut Dr. Mukhtar lagi, negara-negara Arab yang berada dalam kategori perancangan ini akhirnya hanya menjadi penterjemah, pembantu dan pelaksana kepada apa yang dikehendaki oleh musuh.
Strategi al-Tahsyim
Strategi seterusnya, menurut Dr. Mukhtar, ialah al-Tahsyim, iaitu strategi kehancuran dan kemusnahan.
Inilah yang sedang berlaku di Libya, Syria, Iraq, Palestin dan beberapa negara lain. Cubaan yang sama juga sedang berlaku terhadap Iran sejak Februari yang lalu sehingga kini.
Perkara ini dapat dilihat melalui kenyataan Donald Trump sendiri:
"A whole civilization will die tonight, never to be brought back again. I don't want that to happen, but it probably will."
Terjemahannya ialah:
"Satu tamadun akan musnah malam ini, dan tidak akan dapat dikembalikan lagi selama-lamanya. Saya tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi besar kemungkinan ia akan berlaku."
Dalam hal ini, nilai kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan nilai agama langsung tidak menjadi pertimbangan. Apa yang berlaku di Gaza sepanjang lebih dua tahun yang lalu sudah menjadi bukti yang cukup jelas.
Sudah tentu mereka tidak akan mengaku melakukan jenayah dengan berkata, "Kami akan memusnahkan negara sekian-sekian." Sebaliknya, mereka akan menggunakan slogan yang kelihatan baik seperti yang pernah disebut oleh George W. Bush:
"The establishment of a free Iraq at the heart of the Middle East will be a watershed event in the global democratic revolution."
Terjemahannya ialah:
"Penubuhan sebuah Iraq yang bebas di tengah-tengah Timur Tengah akan menjadi titik perubahan dalam revolusi demokrasi global."
Hakikatnya, kesan "demokrasi" yang ingin dibawa itu menyebabkan lebih setengah juta umat Islam terkorban. Hampir 30 tahun berlalu, Iraq menjadi lebih mundur, lebih miskin dan sehingga hari ini masih dipengaruhi oleh kuasa asing seperti Amerika Syarikat.
Perkara yang sama sedang berlaku di Gaza. Kononnya mereka mahu membebaskan Gaza daripada Hamas, sedangkan yang berlaku ialah pembunuhan hampir setiap hari, termasuk terhadap kanak-kanak, petugas kesihatan, orang awam dan pelbagai lagi golongan yang langsung tiada kaitan dengan Hamas.
Strategi al-Tahsyim digunakan melalui dua pendekatan.
1. Kehancuran secara total (al-Tadmir bil Jumlah – التدمير بالجملة)
Pendekatan pertama ialah melalui campur tangan ketenteraan secara langsung, seperti yang berlaku di Iraq pada tahun 2003. Amerika Syarikat memasuki Iraq dengan tenteranya sendiri serta dibantu oleh kuasa Barat seperti Britain. Pendekatan yang sama juga dapat dilihat di Iraq, Gaza dan Afghanistan.
2. Kehancuran secara berperingkat (al-Tadmir bil Taqsit – التدمير بالتقسيط)
Pendekatan kedua ialah memastikan tercetusnya perang saudara dalam sesebuah negara atau peperangan antara dua buah negara.
Contoh perang saudara ialah apa yang sedang berlaku di Lubnan ketika ini apabila negara sendiri diberikan senjata dan arahan untuk melawan rakyatnya yang menyertai gerakan pejuang Hizbullah.
Contoh terbaharu juga ialah dakwaan Donald Trump bahawa beliau mempersenjatai kumpulan penentang kerajaan Iran melalui rangkaian Kurdish yang berpangkalan di Iraq sebagai sebahagian daripada usaha memberi tekanan kepada kerajaan Iran. Tujuannya adalah untuk memastikan etnik Kurdish di Iran turut terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan Iran.
Seterusnya, contoh peperangan antara dua negara ialah Perang Iraq-Iran (1980–1988). Kedua-dua negara menerima bekalan senjata daripada Amerika Syarikat dan negara-negara pengeluar senjata yang lain. Tujuannya, menurut pandangan ini, tidak lain adalah untuk melemahkan negara-negara Islam serta meraih keuntungan.
Daripada pengelasan yang diberikan di atas, dapat difahami bahawa perpecahan yang sedang berlaku ketika ini bukanlah suatu kebetulan atau sekadar kesilapan beberapa pemimpin Muslim.
Hakikatnya, apa yang sedang berlaku merupakan satu aturan yang telah dirancang sejak berpuluh-puluh tahun bagi memastikan umat Islam terus berada dalam keadaan lemah dan tidak mampu mengembalikan zaman kegemilangan mereka.
Setiap perpecahan dan peperangan sesama negara Islam akhirnya akan menguntungkan pentadbiran Amerika Syarikat dan rejim Zionis.
Tidak dinafikan setiap negara mempunyai kesilapan lampau yang sukar dimaafkan. Namun, apabila ada pihak yang sanggup bersengkongkol dengan musuh sehingga mengorbankan nyawa umat Islam sendiri serta menjalin kerjasama dengan pihak yang dianggap sebagai musuh, maka perbuatan tersebut dilihat sebagai satu pengkhianatan yang tidak boleh dilupakan dan sukar untuk dimaafkan.
Ringkasan artikel:
