Kembali
Bagaimana Abu Ubaidah, jurucakap Briged al-Qassam terbunuh?
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Dec 31, 2025

Abu Ibrahim, Jurucakap Ummah: Pemilik Suara yang Menggegarkan Keamanan Musuh

Segalanya bermula dengan sebuah pembelotan paling berdarah pada bulan Ogos yang lalu. Salah seorang amil (pembelot) telah memaklumkan kepada pihak Shabak berhubung kedudukan Abu Ubaidah (Abu Ibrahim) di sebuah lokasi di Bandar Gaza.
Lokasi tersebut bukanlah kubu tentera dan juga bukan kawasan tempur, sebaliknya sebuah bangunan yang didiami oleh penduduk awam yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Pihak Shabak menggunakan maklumat ini untuk melancarkan serangan susulan. Pada 30 Ogos 2025, satu serangan telah dilakukan ke atas bangunan yang didakwa menjadi tempat keberadaan Abu Ibrahim.
Serangan tersebut sebenarnya boleh dilakukan secara terhad dan berskala kecil, namun sebaliknya dilepaskan serangan menggunakan bahan letupan berkuasa pemusnah tinggi sehingga menyebabkan keseluruhan bangunan musnah.
Serangan itu mengorbankan seluruh keluarga al-Kahlut yang berada berdekatan beliau, berjumlah kira-kira 40 orang, serta sekitar 30 penduduk awam lain yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan Abu Ubaidah.
Ia merupakan serangan yang sangat kejam dan bersifat pembalasan dendam terhadap orang yang tidak bersalah. Antara yang turut terkorban dalam serangan tersebut ialah isteri dan anak-anak kecilnya: Minatullah, Layan dan Yaman. Inilah harga yang perlu dibayar oleh para pejuang di Gaza. Bukan nyawa mereka sahaja yang menjadi taruhan, tetapi juga anak-anak, pasangan, ibu bapa, datuk dan nenek, serta seluruh ahli keluarga.
Keluarga al-Syahid Ismail Haniyeh (Abu al-‘Abd) dan al-Syahid Yahya al-Sinwar turut menanggung kehilangan besar apabila lebih 60 anggota keluarga besar mereka telah syahid.
Anak kepada Khalil al-Hayya yang berada di Qatar juga telah syahid walaupun berada jauh dari bumi al-Ribat, Gaza. Begitu juga dengan para pemimpin lain yang diumumkan syahid semalam melalui saluran al-Jazeera; sebahagian besar daripada keluarga mereka turut menjadi korban.
Mengapa Identiti Abu Ibrahim Disembunyikan Lebih 20 Tahun

Salah satu perkara penting yang boleh dipelajari daripada perjuangan Abu Ibrahim ialah identitinya tidak pernah didedahkan kepada pihak musuh.
Walaupun beliau merupakan individu yang paling diburu selama lebih 20 tahun, dan walaupun lebih daripada 14 kali rejim Zionis cuba membunuh beliau.
Malah, ketika berlakunya hampir dua tahun genosid ke atas Gaza, beliau dan seluruh penduduk Gaza turut terkesan dengan serangan pengecut rejim Zionis. Namun, beliau tetap mampu bertahan sehingga ke saat akhir.
Tujuan identitinya disembunyikan adalah untuk menjaga keselamatan dirinya dan keluarganya. Para pejuang menyedari bahawa senjata yang paling digeruni oleh musuh ialah suara yang menyampaikan kebenaran. Atas sebab inilah lebih daripada 250 orang wartawan di Gaza telah dibunuh hanya kerana mereka mendedahkan kebenaran kepada dunia.
Jika wartawan daripada stesen media pun ditakuti oleh rejim Zionis, apatah lagi jurucakap gerakan pejuang yang suaranya didengari dan ditunggu-tunggu oleh jutaan penduduk dunia, malah oleh sebahagian warga Israel sendiri. Sudah tentu beliau menjadi sasaran utama untuk dibunuh.
Bukan Abu Ibrahim sahaja yang identitinya dirahsiakan. Komander Muhammad Daif dan ramai lagi pejuang terpaksa bersembunyi serta menukar identiti bagi memastikan kewujudan mereka tidak dapat dikesan oleh pengintip di Gaza.
Mereka tidak selamanya berada di dalam terowong. Mereka juga mempunyai keluarga, anak dan isteri untuk dijaga, seperti manusia lain.
Keluarga Muhammad Daif sendiri melaporkan bahawa mereka terpaksa menukar identiti berkali-kali sehingga tidak lagi mengingati berapa kali pertukaran tersebut dilakukan. Pengintip rejim Zionis wujud di mana-mana di Gaza. Mereka dibayar untuk menjalankan kegiatan intipan, malah sebahagiannya diarahkan untuk terus melaksanakan operasi pembunuhan terhadap sasaran yang telah ditetapkan.
Abu Ibrahim: Seorang Sarjana Islam, Anak dan Ayah yang Soleh

Jutaan penduduk dunia menyaksikan siaran ucapan terbaharu gerakan pejuang yang disampaikan oleh individu baharu yang menggantikan Abu Ibrahim. Sudah tentu ramai yang merindukan suara Abu Ibrahim, tidak terlalu keras, tidak terlalu lembut, seolah-olah kata-katanya lahir dari hati dan terus menyentuh hati pendengar, walaupun mereka tidak memahami bahasa Arab.
Namun, bagi setiap pejuang yang tampil ke hadapan dalam perjuangan, destinasi akhir mereka bukanlah ke depan, ke belakang, ke kiri atau ke kanan, tetapi menuju ke atas, bersedia untuk bertemu Allah. Cepat atau lambat, nyawa mereka telah dipersiapkan sebagai korban demi agama dan tanah air.
Berita baiknya, gerakan ini bergerak berpaksikan prinsip keselamatan organisasi dengan memastikan adanya pengganti sekiranya seorang pejuang gugur syahid.
Prinsip ini bukan hanya bermula dalam organisasi, tetapi telah lama tertanam dalam sistem kekeluargaan masyarakat Gaza. Setiap keluarga melahirkan anak-anak yang ramai dan dibesarkan dalam suasana ajaran Islam.
Abu Ibrahim, sebagai contoh, merupakan seorang anak yang baik kepada ibu bapanya, dibesarkan dengan roh jihad, dan menjadi seorang anak yang soleh. Beliau memiliki sebuah tesis peringkat Sarjana (Master) daripada Universiti Islam Gaza setebal 656 muka surat.
Tesis tersebut bertajuk:
الأرض المقدسة بين اليهودية والنصرانية والإسلام
Terjemahan:
Bumi Suci antara Pemahaman Agama Yahudi, Kristian dan Islam

Apabila beliau menjadi seorang ayah, beliau membina keluarganya berlandaskan ajaran Islam. Anak-anaknya, Ibrahim dan Layan, merupakan penghafaz al-Quran sejak kecil, begitu juga adik-beradik mereka yang lain.
Menurut laporan adiknya, Abu Ibrahim membesarkan keluarganya dengan hafazan al-Quran dan pengajian kitab-kitab agama walaupun dalam suasana peperangan.
Mengapa Individu Bertukar, Tetapi Nama Kekal Sama
Ramai penganalisis berpendapat bahawa individu baharu yang menggantikan Abu Ibrahim bukanlah calang-calang orang. Individu tersebut memakai seledang yang sama untuk menutup wajah, mengenakan uniform tentera yang serupa, serta mempunyai gaya pertuturan yang hampir sama.

Ia memberi satu isyarat yang jelas: perjuangan ini akan terus berlanjutan walaupun ramai yang gugur. Ia mengukuhkan dan menegaskan pendirian bahawa tiada istilah menyerah kalah dalam gerakan ini. Setiap pejuang yang gugur, di belakangnya ada ribuan yang bersedia menggantikan mereka dengan kualiti yang sama atau lebih baik.
Abu Ibrahim pernah menyebut dalam salah satu ucapannya pada Januari lalu:
يخلفُ القائدَ قادة
والجنديَّ عشرة
والشهيدَ ألفَ مقاومٍ
فهذه الأرضُ تنبتُ المقاومين كما تنبتُ الزيتون
Terjemahan:
Pemimpin gugur, digantikan oleh pemimpin-pemimpin lain;
seorang askar gugur, digantikan sepuluh;
seorang syahid melahirkan seribu pejuang.
Maka bumi ini menumbuhkan para pejuang
sebagaimana ia menumbuhkan pokok zaitun.
Semoga tulisan ini dapat membangkitkan semangat dan roh perjuangan. Jangan sesekali berhenti membicarakan hal ini kerana ia merupakan tanggungjawab terhadap maruah agama dan tanah suci Islam.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif