Kembali

Apabila Strategi Mengatasi Teknologi: Pejuang Gaza Memperdaya Dron Musuh

Nov 6, 2025

Pihak pejuang melaporkan bahawa tentera rejim Zionis telah merakam pergerakan anggota  pejuang yang membawa keluar mayat tebusan daripada sebuah bangunan dan menanamnya di dalam tanah. Pihak musuh kemudian menyimpan lokasi tersebut sebagai sasaran dan melakukan pengeboman selepas berlakunya gencatan senjata.

Hakikatnya, pihak pejuang dan seluruh penduduk Gaza sedar bahawa tiada satu inci pun tanah yang selamat daripada peninjauan musuh, sama ada dari udara atau melalui sekutu mereka di darat. Peninjauan dilakukan atas pelbagai tujuan: mengenal pasti lokasi strategik untuk disasarkan pembedilan, mengumpul maklumat tentang pergerakan para pejuang, lokasi terowong, serta tempat penyimpanan senjata.

Apabila musuh menyiarkan rakaman pergerakan para pejuang mengeluarkan mayat tebusan atau tentera yang gugur, lalu mengebom lokasi tersebut, mereka menyangka bahawa mereka telah menyerang sekurang-kurangnya sebuah terowong, kubu pejuang, atau lokasi penyimpanan senjata.

Namun, sangkaan mereka meleset. Segala pergerakan itu hanyalah helah untuk memperdaya pihak musuh. Para pejuang sedar bahawa mereka sedang dirakam dari udara dan mengetahui bahawa lokasi tersebut pasti akan dibedil.

Para pejuang juga tahu bahawa jika mayat tebusan dibedil hingga hancur sehingga tidak dapat dipulangkan kepada pihak berwajib, musuh akan menuduh pejuang tidak mematuhi syarat gencatan senjata yang menghendaki pemulangan mayat tebusan.

Tetapi seperti biasa, pemikiran para pejuang sentiasa dua langkah ke hadapan. Mayat yang ditanam itu bukan mayat sebenar. Ia hanyalah bantal-bantal yang disusun dalam kain jenazah dan kemudian dimasukkan ke dalam plastik mayat berwarna putih.

Pada akhir video tersebut, para pejuang menegaskan bahawa rejim Zionis tidak akan mampu memahami bagaimana para pejuang menjaga tebusan, sama ada hidup mahupun mati, sebagaimana yang diajarkan oleh agama.

Seiring dengan sabda Rasulullah SAW:

يحْثُنَا عَلَى الصَّدَقَةِ وَيَنْهَانَا عَنِ الْمُثْلَةِ

“Baginda SAW menyuruh umatnya bersedekah dan melarang perbuatan al-muthlah (iaitu mencacatkan anggota tubuh manusia yang telah mati).” (Hadis Sahih)

Video ini juga memberi isyarat kepada rejim Zionis bahawa seperti mana mereka menjalankan perisikan selepas gencatan senjata, para pejuang juga mempunyai kemampuan untuk menggagalkan usaha tersebut.

Memang benar musuh mempunyai keupayaan dron untuk merakam segala-galanya selama 24 jam sehari. Namun mereka tidak mempunyai keupayaan untuk mengetahui apa yang berlaku di 70% lagi rangkaian terowong yang masih berfungsi di bawah Gaza. Mereka tidak dapat membeli atau merasuah penduduk awam untuk mengkhianati perjuangan. Mereka tidak menemui mana-mana kumpulan yang sekuat para pejuang, apa yang mereka temui hanyalah individu seperti Asyraf al-Mansi, seorang penyeludup dadah, dan Yasir Abu Syabab, bekas banduan.

Musuh akan terus gagal selagi Allah SWT bersama pejuang. Donald Trump sendiri mengakui bahawa beliau telah memberikan segala jenis senjata canggih untuk digunakan oleh Netanyahu, namun tetap gagal melumpuhkan para pejuang.

Selagi Allah SWT bersama mereka, tenanglah dan percayalah kepada-Nya.

Firman Allah SWT:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللّٰهُ ۖ وَاللّٰهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

“Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang. Dan Allah sebaik-baik perancang.”
(Surah Āli ‘Imrān, Ayat 54)

Jangan kita lupa, kita juga wajib meneruskan usaha kita — berdoa, membaca Qunut Nazilah, menyebarkan kesedaran, menyumbangkan harta dan seumpamanya. Inilah perjuangan kita semua mengikut kemampuan masing-masing. Semoga Allah SWT menerima usaha ini sebagai sebahagian daripada amal soleh yang dapat membantu kita di akhirat kelak.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin