Kembali

Apa Yang Menghalang Gencatan Senjata di Gaza?

Khalid Jimat

Jul 24, 2025

Zionis tuduh HAMAS punca gencatan senjata masih tak dimeterai. Mereka dakwa HAMAS terus buat tuntutan yang tak masuk akal.

Katanya HAMAS tuntut pengunduran tentera Zionis lebih jauh daripada garisan yang telah dipersetujui oleh rejim Zionis.

HAMAS juga didakwa menuntut supaya perjanjian memasukkan terma yang menyukarkan Zionis untuk memperbaharui semula serangan selepas tempoh 60 hari gencatan senjata.

HAMAS juga mahu jaminan operasi GHF akan dihentikan serta-merta dan operasi bantuan kemanusiaan dikembalikan semula kepada agensi PBB dan badan kemanusiaan antarabangsa.

Daripada ketiga-tiga tuntutan ini, tuntutan mana yang tak masuk akal?

Pengunduran tentera Zionis dari Gaza adalah antara pra-syarat utama gencatan senjata. Pengunduran boleh berlaku secara beransur-ansur tetapi mestilah menepati syarat pengunduran dan bukan sekadar acah-acah untuk memudahkan rejim Zionis memulakan kembali serangan.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (UNOCHA) baru-baru ini menganggarkan 87.8% wilayah di Gaza kini sama ada berada di bawah perintah pemindahan paksa atau dalam zon aktiviti tentera Zionis. Ini meliputi zon penampan di utara, timur dan selatan Gaza, koridor Netzarim, koridor Philadelphi, serta koridor Morag.

Justeru, pengunduran yang berlaku perlu benar-benar bermakna dan menghampiri matlamat akhir gencatan senjata iaitu menamatkan genosid.

Jadi tak peliklah jika HAMAS bertegas dalam bab pengunduran tentera Zionis. Apalagi selepas timbul ura-ura tentang projek 'bandar kemanusiaan' yang rejim Zionis rancang di Rafah untuk terus mengurung penduduk Gaza.

Berhubung tuntutan HAMAS supaya perjanjian memasukkan terma untuk menyukarkan rejim Zionis membuat pusingan-U dan menyambung semula serangan, ia adalah tuntutan yang relevan dan masuk akal selepas dua gencatan senjata sebelum ini - November 2023 dan Jan 2025 dicabul oleh pihak rejim.

Walaupun Trump telah menyatakan kesediaan untuk memberi jaminan secara berasingan, HAMAS tetap bertegas mahu terma-terma tersebut dimaktubkan dalam perjanjian kerana orang beriman tidak akan membenarkan dirinya dipatuk dua kali.

Trump tidak boleh menyalahkan HAMAS kerana bertegas dalam hal ini selepas beliau sendiri memungkiri janjinya untuk melaksanakan gencatan selepas HAMAS membebaskan Edan Alexander, tawanan dengan dwi-kewarganegaraan, US-Isr4el pada bulan Mei yang lalu.

Tentang penamatan serta-merta operasi GHF, HAMAS dilihat tidak mahu berkompromi dalam hal ini.

Sekiranya operasi GHF terus berjalan seiring dengan operasi agensi PBB dan agensi kemanusiaan yang lain, HAMAS bimbang ia akan menjadi permulaan kepada campurtangan GHF sebelum pengambilalihan sepenuhnya operasi bantuan kemanusiaan di Gaza oleh konsortium US-Isr4el ini.

HAMAS telah berjanji kepada rakyat Palestin bahawa mereka akan berunding dengan penuh amanah tanpa mengkhianati pengorbanan para syuhada yang telah gugur dan rakyat yang masih teguh bertahan.

HAMAS tidak akan menerima perjanjian yang tidak menghasilkan penyelesaian yang bermaruah buat rakyat Palestin.

Dalam ucapan Abu Ubaidah, jurucakap Briged al-Qassam baru-baru ini, beliau mendedahkan tawaran HAMAS dan Jihad Islami untuk membebaskan kesemua tawanan secara serentak sekiranya rejim Zionis bersedia untuk menamatkan genosidnya di Gaza. Tetapi tawaran tersebut tidak diendahkan.

Kerana hakikatnya rejim Zionis tidak mahukan gencatan senjata. Mereka hanya mahu rakyat Palestin menyerah kalah dan HAMAS mengangkat bendera putih. Malu yang mereka tanggung pada 7 Oktober 2023 hanya dapat dipadam dengan cara ini; diikuti dengan penguasaan penuh mereka ke atas Gaza.

Sudah tiba masanya Trump dan dunia barat meninggalkan rejim Zionis dan membakulsampahkan ideologi mereka yang hanya mendatangkan kerugian dan kerosakan di dunia.

Sekiranya mereka enggan, mereka sebenarnya sedang menggali kubur sendiri dan akan terkambus bersama-sama dengan rejim Zionis laknatullah.

"Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah: 137)