Kembali

Analisis Serangan Rejim Zionis terhadap Doha

Sep 11, 2025

Serangan terhadap Doha: Isyarat untuk Qatar atau Dunia Arab?

1. Rejim Zionis Tidak Pernah Menghormati Kedaulatan Negara Arab

Serangan yang dilakukan ke atas Doha semalam, walaupun disasarkan kepada anggota Hamas, berlaku di atas tanah Qatar—dalam kawasan kediaman penduduk awam dan berdekatan dengan kedutaan negara lain. Serangan terbabit merupakan suatu pencerobohan terhadap kedaulatan Qatar.

Sepanjang hampir dua tahun ini juga, rejim Zionis telah melancarkan serangan udara secara bertubi-tubi tanpa henti terhadap Yaman, Syria dan Lubnan. Kesemua negara yang disebutkan adalah negara berdaulat dan tidak boleh diceroboh sesuka hati.

Terbaru pula, serangan dron terhadap dua buah kapal di perairan Tunisia yang dijadualkan untuk berlayar memecahkan sekatan zalim ke atas Gaza turut berlaku. Ini juga merupakan contoh operasi serangan yang menceroboh kedaulatan sesebuah negara Arab.

2. Lampu Hijau daripada Amerika Syarikat

Tidak mungkin berlaku serangan di atas sebuah negara yang merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat tanpa persetujuan Amerika sendiri. Qatar merupakan rakan dagang besar bagi Amerika dan mempunyai pangkalan tentera udara Amerika bernama Al-Udaid, yang merupakan antara pangkalan tentera terbesar di negara Teluk.

Amerika Syarikat turut mempunyai kelengkapan senjata pertahanan udara yang kuat dan sistem pengesan berteknologi tinggi untuk menangkis serangan ke atas Qatar. Namun, mereka memilih untuk tidak melakukan apa-apa.

3. Zionis Mahu Tunjuk Taringnya

Rejim Zionis sebenarnya boleh melancarkan serangan darat terhadap pejabat Hamas dengan menggunakan bahan letupan di sana atau melalui agen perisikan dan Mossad yang sedia ada.

Namun, mereka memilih untuk menggunakan pesawat udara F-35. Ini menunjukkan mereka menguasai ruang udara negara Arab sepenuhnya dan boleh menyerang mana-mana negara Arab dan Islam yang mereka mahu.

Mana-mana negara Arab, termasuk Saudi, Mesir, UAE, Qatar dan lain-lain, sekiranya bertentangan dengan pendirian rejim Zionis, boleh menjadi sasaran serangan mereka.

4. Tamatkan Rundingan Gencatan Senjata Secara Total

Qatar menyumbang sumbangan besar kepada Palestin kerana pemimpin negara ini telah memilih untuk menjadi negara utama yang membantu segala urusan rundingan bagi mendapatkan gencatan senjata. Barangkali, ini merupakan amaran rejim Zionis agar Qatar tidak lagi terlibat dalam urusan tersebut.

Selain itu, Netanyahu bukan sahaja tidak mahu meneruskan gencatan senjata, tetapi mahu melenyapkan terus nyawa individu dari pihak Palestin yang terlibat di meja rundingan.

Pada 31 Julai 2024 lalu, pihak penjajah telah mengebom sebuah bangunan yang didiami oleh Ismail Haniyeh di Iran sehingga menyebabkan kesyahidan beliau bersama pengiringnya.

Serangan yang dilancarkan semalam disasarkan kepada sejumlah besar barisan kepimpinan utama Palestin yang sedang bermesyuarat untuk meneliti cadangan gencatan senjata daripada Amerika Syarikat. Antara yang terlibat ialah Khaled Mashal, Khalil al-Hayya, Zaher Jabarin dan Muhammad Ismail Darwish. Namun, kesemua mereka terselamat dengan bantuan dan izin Allah.

Dalam serangan itu, ada juga yang gugur syahid, antaranya Humam al-Hayya (anak Khalil al-Hayya), Abu Bilal (pengurus pejabat Hamas) dan beberapa pengiring. Semoga Allah mengurniakan mereka kesyahidan dan merahmati mereka.

5. Pejuang Palestin Berkorban di Mana Sahaja Mereka Berada

Peristiwa serangan ke atas Doha ini membuktikan bahawa para pemimpin Palestin yang berada di Qatar tidak berada dalam keadaan selamat dan aman seperti yang didakwa. Mereka turut berjuang siang dan malam setiap hari dengan cara diplomasi di meja rundingan. Manakala keluarga mereka di Gaza pula ramai yang telah syahid dan hidup dalam kesusahan seperti rakyat biasa.

Almarhum Ismail Haniyeh, sebelum beliau syahid di Tehran tahun lalu, telah kehilangan lebih 60 orang ahli keluarganya yang syahid di Gaza. Lebih menyedihkan, al-Syahid menerima berita kesyahidan tiga orang anak dan cucu-cucunya pada hari pertama Aidilfitri. Mereka semua syahid dibedil oleh pesawat udara pada pagi tersebut di Hay al-Syati’, utara Gaza.

Dalam serangan terbaru di Doha, seorang lagi anak pimpinan utama, Khalil al-Hayya, yang bernama Humam al-Hayya, turut syahid. Inilah pengorbanan besar yang dibayar oleh para pejuang Palestin. Nyawa, anak dan keluarga mereka semuanya menjadi sasaran musuh bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.

6. Sekarang Masanya untuk Negara Arab Bersatu Memutuskan Hubungan dengan Rejim Zionis

Penulis yakin bahawa kelakuan dan pendirian rejim Zionis telah menyebabkan seluruh negara Arab berada dalam keadaan kucar-kacir. Entiti ini bukan sahaja tidak menghormati undang-undang dan kedaulatan negara, malah secara terbuka bersetuju dengan idea "Projek Israel Raya".

Ia adalah projek melampau yang melibatkan penggabungan wilayah seperti Sinai, Jordan, Saudi, Syria dan Lubnan sebagai sebahagian daripada entiti penjajah. Sudah tentu, ini akan menceroboh kedaulatan negara-negara Arab yang disebut sama ada secara rela atau tidak.

Oleh itu, kewujudan mereka di Asia Barat bukan sahaja berbahaya kepada Palestin, tetapi juga kepada seluruh negara Arab dari segi politik, ekonomi, agama dan sosial. Negara-negara Arab harus mengambil tindakan konkrit dan efektif segera untuk melemahkan entiti Zionis dengan memutuskan segala bentuk kerjasama dan hubungan dengan mereka.

7. Tiada Keamanan Sebenar Selagi Palestin Tidak Selamat

Akidah seorang Muslim pada zaman ini tidak seharusnya hanya mementingkan keamanan negaranya sendiri. Prinsip Islam dan ajaran Rasulullah SAW mengajar umat untuk berjuang bersungguh-sungguh demi menyelamatkan saudara seagama, walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri.

Para pejuang di Gaza, ahli misi flotilla, dan negara Qatar merupakan contoh perjuangan yang telah mengorbankan banyak perkara demi kemerdekaan Palestin. Semoga kita juga dipilih oleh Allah menjadi hamba-hamba-Nya yang berjuang demi agama Islam dan kemerdekaan ummah.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif