Kembali
AJL-40: Simbolisme Lirik dan Roh Perjuangan dalam Tiwikarma
Nadia Amira Shamsul
Aug 17, 2026

Suatu ketika dahulu, seorang aktivis dan lagenda muzik dari Nigeria, Fela Kuti pernah menyebut satu frasa yang sangat relevan untuk dibawakan pada hari ini iaitu: “Music is the weapon of the future” (Muzik ialah senjata masa depan). Ungkapan tersebut lahir daripada pengalaman hidup beliau sendiri yang menentang rejim tentera zalim di Nigeria pada era 1970-an.
Bagi beliau, muzik tidak seharusnya terhad kepada hiburan namun ia boleh menjadi alat perjuangan politik tanpa perlu mengangkat senjata secara fizikal. Beliau turut percaya bahawa melodi dan lirik yang dicipta mampu menjadi ‘senjata’ yang ampuh bagi menembusi jiwa manusia, menyampaikan mesej dan menjadi suara buat mereka yang ditindas.
Kemenangan kumpulan K.O.I menerusi lagu Tiwikarma di pentas AJL40 bukan sahaja mencatat pencapaian sulung mereka, tetapi membuktikan kebenaran kata-kata Fela Kuti. Persembahan yang cukup meremang dan 'berhantu' itu memastikan mesej perjuangan mereka terus berbekas walaupun ditonton berulang kali.
Menerusi konsep asalnya, Tiwikarma merujuk kepada kebangkitan kuasa gergasi dan pengerahan segenap daya jiwa raga untuk menentang ketidakadilan. Seawal bait pembuka, karya gubahan Zai Hamzah dan Hemo Globin ini terus membawa emosi pendengar ke dalam realiti penderitaan perang saudara kita di bumi Gaza:
"Hujan derita di bawah langit gempita"
"Mulut dikunci tidak mampu bersuara"
"Darah daging diratah tempat mereka mulia"
"Jasad tiada nyawa semadi tiada bertanda"
Meskipun tanah air ini terpisah beribu kilometer dari bumi Palestin dan berada di bawah langit yang aman, roh penderitaan itu berjaya meresap terus ke dalam jiwa pendengar. Gambaran jasad yang gugur tanpa kubur bertanda terus membawa ingatan kepada genosid di Gaza tanpa perlu menyebut nama lokasinya secara terus.
Puncak kecerdasan penulisan lirik lagu ini terletak pada susunan perkataan atau akrostik yang digubah rapi pada rangkap seterusnya:
P - ertunjukan apa yang kau mahukan
A - pa lagi agenda kau inginkan
L - emas sendiri dalam kegelapan
E - ntah sampai bila kau nak hentikan
S - atu syahadah kami berserah
T - aat pada yang maha kuasa
I - mpian dan juga harapan pasti masih cerah
N - escaya nanti Tuhan akan kasi malapetaka
Abjad pertama bagi setiap baris ini mengeja nama PALESTIN. Ini satu bentuk eksperimen seni yang sangat berani dan bijak, KOI berjaya menyelitkan mesej solidariti secara halus dalam liriknya.
Naratif lirik ini dilengkapkan dengan persembahan pentas yang sarat elemen teatrikal, lakonan, serta dialog monolog perjuangan. Lontaran vokal yang bermula dengan rintihan sayu sebelum bertukar menjadi ledakan muzik bersemangat menterjemahkan perjalanan emosi mangsa perang yang membawa pendengar dan penonton merasai jeritan kesakitan, bertukar menjadi ketahanan iman serta kebangkitan jiwa.
Malah jika ada berkesempatan untuk mencari video lagu ini, terdapat suara kanak-kanak berbahasa Arab yang berkata:
“Saya tidak takut kepada sesiapa pun kecuali Allah, saya akan mati syahid di tanah saya,”
Kemenangan Tiwikarma mengembalikan ingatan bahawa AJL bukanlah kali pertama menjadi medan advokasi kemanusiaan dan keamanan. Pentas berprestij ini pernah menyaksikan Faizal Tahir meniupkan seruan kedamaian global menerusi lagu Assalamualaikum. Namun, jika Faizal Tahir memilih pendekatan yang terbuka, K.O.I pula menggunakan simbolisme puitis untuk menyampaikan gema solidariti yang sama.
Syabas dan tahniah buat K.O.I kerana berjaya membawa roh kemanusiaan yang mendalam dan menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia!
Nadia Shamsul
Penulis dan Penyelidik Aqsa Syarif