Kembali
Adakah misi Flotilla dicipta untuk gagal?
Nadia Amira Shamsul
May 14, 2026

Tahun 2025 telah menyaksikan sokongan besar-besaran rakyat Malaysia terhadap misi flotila bagi memecahkan kepungan haram Israel ke atas Gaza dan membuka koridor laut agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Misi tersebut tidak berjaya memecahkan kepungan tetapi dukungan positif yang diterima pada tahun lalu telah menyebabkan layar kembali dibuka pada tahun ini. Namun, angin sentimen kali ini dilihat jauh berbeza. Misi flotila tahun ini menyaksikan terdapat suara yang mempersoal, memerli, bahkan ada yang mula mencemuh misi ini sebagai usaha yang sia-sia!
Benarkah begitu? Adakah misi memecahkan kepungan laut Gaza adalah sebuah misi yang sia-sia?
Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu meletakkan kayu ukur yang betul. Jika kita ukur ‘kejayaan’ misi flotila berdasarkan kemampuan kapal-kapal kecil ini untuk berkonfrontasi dengan barisan kapal perang Israel secara fizikal, maka kita telah menzalimi mereka. Malah kita sebenarnya telah tersasar sepenuhnya daripada memahami matlamat gerakan flotila.
Gerakan flotila ialah sebuah gerakan solidariti masyarakat sivil yang berpegang kepada pendekatan aman tanpa kekerasan. Gerakan ini diwujudkan dengan tujuan untuk mencabar sekatan haram rejim Israel terhadap Gaza yang telah berlarutan sejak tahun 2007. Pada waktu yang sama gerakan ini juga berusaha mendedahkan hakikat penjajahan Israel dan menuntut semua pihak supaya sama-sama mengenakan tekanan ke atas Israel - baik ekonomi, politik, diplomasi dan undang-undang - supaya sekatan tidak berperikemanusiaan terhadap Gaza dapat dihentikan.
Sekatan Israel ke atas Gaza bukan sekadar sebuah kepungan ketenteraan di persisiran pantai sahaja. Ia adalah satu bentuk penjajahan dan kawalan menyeluruh ke atas pergerakan rakyat Palestin melalui laut, darat dan udara. Kawalan ini dilaksanakan melalui dasar aparteid yang memencilkan penduduk Gaza dan pada waktu yang sama mengukuhkan dominasi rakyat Israel.
Sistem penjajahan ini terus bernafas kerana adanya payung diplomatik daripada kuasa-kuasa besar Barat, sokongan industri ketenteraan yang mengaut keuntungan, serta aliran perdagangan dan pelaburan yang tidak putus-putus ke dalam Israel. Jadi, sekiranya kita memahami realiti ini, maka kita akan faham bahawa tindakan untuk mencabar dan menamatkan penjajahan ini memerlukan usaha kolektif yang berterusan dan berpanjangan.
Flotilla bukanlah batu geliga sakti yang boleh menyelesaikan segala bentuk penjajahan Israel ke atas Gaza, tetapi ia mampu menjadi pemangkin untuk mencabar sekatan Israel. Kita mengambil contoh mudah bagaimana misi FFC tahun lalu yang disertai oleh Greta Thunberg menaiki kapal Madleen berjaya mencetuskan satu ‘ripple effect’ (kesan riak) sehingga melahirkan gerakan di darat yang digelar sebagai Kafilah Sumud dan Global March to Gaza. Gerakan inilah yang kemudiannya bergabung melahirkan Global Sumud Flotilla (GSF).
Tahun 2026 menyaksikan bagaimana isu Gaza kembali tenggelam ekoran perang yang tercetus di antara AS dan Iran. Sementara dunia mengalihkan perhatian kepada perang tersebut, Israel mengambil kesempatan untuk terus menyerang Gaza dengan jumlah kematian masih direkodkan walaupun telah ada perjanjian ‘gencatan senjata’ (Andolu 2026).
Sejak serangan ke atas Iran bermula pada 28 Februari, lintasan Rafah telah ditutup sepenuhnya, yang bermaksud bekalan makanan dan ubat-ubatan jarang sekali dapat masuk ke Gaza. Pada masa yang sama, Tebing Barat sedang dirampas secara de facto tanpa sebarang tindakan diplomatik mahupun kesan ekonomi yang dirasi oleh Israel. Dalam keadaan darat terkunci rapat, laut menjadi satu-satunya ruang harapan yang tinggal untuk memecahkan kesunyian dunia dan mengembalikan perhatian terhadap genosid yang sedang berlaku di Gaza.
Jadi, adakah misi ini dicipta untuk gagal? Jawapannya tidak. Ia dicipta untuk melawan. Ia dicipta untuk membuktikan bahawa kepungan itu boleh dicabar. Ia bukan satu usaha yang sia-sia kerana sejarah telah membuktikan bahawa rejim yang zalim seperti rejim kulit putih di Afrika Selatan mampu ditumbangkan apabila seluruh masyarakat bersatu dan bergerak seiringan. Gerakan flotila adalah contoh nyata untuk menunjukkan bahawa rakyat biasa seperti kita boleh berbuat sesuatu untuk mencabar sistem dan penjajahan yang zalim.
Pada saat ini, gerakan flotila termasuk FFC dan GSF masih bertekad meneruskan pelayaran mereka menuju ke Gaza. Mereka maklum akan risiko yang bakal menimpa mereka – dicederakan, dipenjara, bahkan dibunuh. Namun sekiranya tindakan ini tidak dilakukan, maka secara tidak langsung kita membiarkan kepungan ke atas Gaza yang telah berlangsung hampir 20 tahun ini sebagai sesuatu yang mutlak.
Jangan biarkan diri kita lali dengan statistik nyawa di hujung jari sementara kezaliman dibiarkan tanpa tentangan. Definisi 'Kegagalan' sebenar bukan terletak pada misi yang dipintas di lautan, tetapi pada kelumpuhan nurani untuk bertindak saat manusia lain disembelih tanpa belas kasihan.
Nadia Amira Shamsul
Penyelidik Aqsa Syarif