Kembali
Adakah Amerika akan menyerang Iran?
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Genap seminggu Iran telah melepaskan 400 roket balistik seperti Shahab, sebilangan buah roket Hypersonik Fattah 1 dan ratusan drone.
Baru-baru ini sahaja Iran telah membedil Tel Aviv dan Hospital Soroka dan bangunan bursa saham sehingga dilaporkan sebilangan besar mengalami kecederaan, tertimbun di bawah runtuhan dan kemusnahan yang teruk pada beberapa bangunan.
Serangan oleh Iran terbabit dilaporkan menggunakan senjata terbaru, roket al-Sijjil yang mempunyai kelajuan 17,290 km/j.
Tidak dinafikan bahawa bilangan roket yang dilepaskan semakin sedikit berbanding awal peperangan, tetapi serangan yang sedikit ini masih mampu memberikan kesan besar kepada negara penjajah Zionis ini.
Hal ini menyebabkan jutaan penduduk Yahudi cuba melarikan diri ke luar negara. Ternyatalah bahawa mereka ini masih lagi memegang pasport Amerika Syarikat dan sebahagian negara Eropah. Ini mungkin kerana mereka sendiri tidak yakin akan masa hadapan negara Zionis.
Ketika ini juga jutaan penduduk Yahudi termasuk ahli politik berlindung di bawah tempat perlindungan bawah tanah, bawah hospital, lapangan terbang dan sebagainya.
Punca Kegagalan Pertahanan Udara
Rejim Zionis mempunyai sistem pertahanan udara yang mahal dan berteknologi tinggi seperti Iron Dome, David’s Sling, Thaad dan Arrow 3, mereka tetap tidak mampu untuk menangkis serangan daripada Iran.
Antara punca mengapa sistem pertahanan udara rejim Zionis gagal adalah kerana pihak tentera Zionis telah menggunakan sebilangan besar peluru sistem pertahanan udara ini selama lebih 600 hari Taufan al-Aqsa untuk menangkis peluru roket daripada G@za, Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman.
Setiap peluru sistem pertahanan udara rejim Zionis ini berharga 500 ribu dolar Amerika hingga 15 juta dolar Amerika.
Kini, setiap hari pihak rejim Zionis perlu belanja sebanyak 285 juta dolar Amerika hanya untuk menepis roket-roket daripada Iran. Ini merupakan kebocoran ekonomi bagi besar negara penjajah ini.
Selain daripada itu, serangan roket terkini yang dilepaskan daripada Iran dan Yaman dilepaskan secara bertubi-tubi dengan jumlah yang besar. Iran kini telah sampai ke gelombang ke dua belas serangan mereka, setiap serangan dilepaskan sekitar 30 sehingga 250 buah peluru ke arah sasaran.
Setiap roket yang dilepaskan juga mempunyai kelajuan yang tidak terjangka oleh sistem pertahanan udara Zionis.
Keadaan ini menyukarkan untuk serangan roket terbabit untuk ditepis.
Analisis menyebutkan peratusan roket serangan Iran yang melepasi pertahanan udara rejim Zionis ialah sebanyak 20% atau lebih.
Laporan terbaru turut menyebutkan sistem pertahanan udara Zionis boleh lumpuh dalam tempoh 12 hari sekiranya Iran meneruskan serangan.
Terakhir, dari geografi pula, negara haram rejim Zionis mempunyai keluasan tanah yang tidak besar. Keluasan Israel adalah 75 kali ganda lebih kecil daripada Iran. Ini memudahkan Iran untuk meninjau sasaran strategik mereka untuk melepaskan serangan yang lebih tepat.
Tidak pelik, tidak sampai seminggu kita menyaksikan negara rejim Zionis mula merayu-rayu untuk adanya campur tangan ketenteraan daripada Amerika Syarikat untuk menghentikan serangan ini dari Iran.
Secara spesifiknya mereka meminta Amerika Syarikat mengeb@m Loji Pengayaan Bahan Api Fordow sebuah fasiliti yang dipercayai menjadi pusat kepada program nuklear Tehran dan dibina jauh di dalam gunung dengan menggunakan bom pemusnah kubu (bunker buster bomb) seberat 13,000kg yang hanya dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Tidak dinafikan juga Iran mengalami banyak kerugian besar antara kematian sebilangan besar saintis nuklear, pemimpin tertinggi negara dan rakyat awam. Selain itu, banyak lokasi strategik ketenteraan Iran dan minyak serta sumber gas asli turut menjadi sasaran pengeboman.
Lebih teruk daripada itu sekiranya Amerika benar-benar campur tangan daripada segi ketenteraan dengan membedil Iran dengan serangan udara dan menyusup masuk ke dalam negara itu untuk lakukan serangan dari darat.
Senario ini hanya boleh berlaku jika Amerika membuat keputusan muktamad untuk berperang dan ia merupakan perkara yang amat susah bagi Trump ketika ini.
Campur Tangan Amerika
Sebahagian ahli politik beranggapan tidak perlu bagi Amerika untuk terlibat dalam peperangan ini kerana ia merupakan konflik antara Iran dan Israel sahaja. Sekiranya Amerika campur tangan juga, tidak mustahil ia akan mengheret negara besar lain seperti Cina dan Rusia.
Tidak dinafikan tekanan yang hebat daripada rakyat juga berperanan untuk isu ini. Lebih 600 hari jutaan penduduk Amerika tanpa mengira bangsa dan agama mengecam negara mereka untuk tidak mempunyai hubungan ketenteraan dan persenjataan dengan entiti Zionis kerana jenayah Genos!d ke atas G@za.
Selain daripada itu, negara-negara Arab di Asia Barat mempunyai potensi yang kuat untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat. Peperangan besar yang mungkin berlaku di Asia Barat boleh menggugat aktiviti ekonomi di negara-negara Arab sehingga boleh menyebabkan kerugian pada ekonomi Amerika dan negara Eropah sendiri.
Antara pertimbangan besar bagi Amerika Syarikat juga nasib rakyat Amerika yang berada dalam kem-kem tentera Amerika di negara teluk yang dianggarkan sekitar 40 ribu orang. Kedudukan mereka amat dekat dengan Iran dan ini boleh menyebabkan kerugian besar buat Amerika sekiranya mereka diserang.
Apa hala tuju negara Islam?
Bagi negara Islam yang mempunyai akidah dan pegangan Islam sepatutnya memilih jalan yang dapat melumpuhkan negara penjajah Zi@nis ini.
Mereka telah lebih 600 hari lakukan genos!d, lebih 17 tahun mengepong Gaza dari darat, laut dan udara, mengepung Bait al-Maqdis dan mencemarkan Masjid al-Aqsa dan 77 tahun bertapak sebagai negara penjajah di Asia Barat.
Entiti Zi@nis wujud seperti penyakit kanser yang akan terus merebak dalam negara Islam dan akan sentiasa memerangi agama Islam dan kehormatannya. Oleh itu, negara-negara Islam yang mampu, seharusnya merujuk kembali fatwa yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Muslim Sedunia yang mewajibkan negara Islam untuk memerangi rejim Zionis dengan cara ketenteraan.
Israel tidaklah sekuat mana dan serangan Iran hanya beberapa hari ini sahaja telah membuktikan hal ini. Negara penjajah ini menjadi huru-hara dan rakyatnya terbukti tiada semangat patriotik untuk mempertahankan negara mereka.
Dalam masa yang sama, negara Islam bukanlah terlalu lemah. Allah SWT telah berikan kelebihan geografi, kekayaan yang luar biasa, persenjataan yang serba lengkap walaupun tidak sempurna dan bilangan umat yang ramai.
Para pemimpin sepatutnya merenungi firman Allah, “Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat mengalahkan kamu.” (Surah Ali Imran: 160)
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif