Kembali

๐Ÿ๐ŸŽ๐ŸŽ๐ŸŽ ๐‡๐š๐ซ๐ข ๐†๐ž๐ง๐จ๐ฌ๐ข๐, ๐Œ๐š๐ฌ๐ข๐ก๐ค๐š๐ก ๐€๐๐š ๐‡๐š๐ซ๐š๐ฉ๐š๐ง?

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Jul 3, 2026

Segala jenayah kemanusiaan telah dilakukan

Rejim Zionis telah melakukan segala bentuk jenayah kemanusiaan terhadap saudara-saudara kita di sana selama 1000 hari. Sebanyak 223,000,000 kg bahan letupan telah dijatuhkan ke atas kanak-kanak, wanita dan orang awam di Gaza.

Satu hari diibaratkan seperti satu minggu dan satu minggu diibaratkan seperti satu bulan. Kematian dan kecederaan boleh datang pada bila-bila masa tanpa diduga. Tempoh yang paling ditakuti ialah waktu malam. Pembedilan kerap berlaku pada ketika itu sehingga menyebabkan ramai mangsa terkorban tanpa sempat mendengar bunyi letupan.

Rejim Zionis menjadi entiti terasing dalam semua aspek

Justeru, genosid yang sedang berlaku ini hakikatnya mempercepatkan lagi rejim Zionis untuk terus ditinggalkan, dibenci dan dipulaukan oleh dunia.

Contoh paling mudah dapat dilihat melalui telefon masing-masing. Boleh dikatakan hampir semua platform media sosial yang digunakan di seluruh dunia menjadi lidah kepada perjuangan Palestin kerana majoriti penggunanya bersimpati terhadap rakyat Gaza.

Malah, sebahagian daripada kita mengenali Islam dan mengubah kehidupan menjadi lebih baik hasil daripada mengikuti perkembangan di Gaza. Contohnya Megan Rice yang memeluk agama Islam, mula memakai tudung dan sebagainya.

Sebahagian daripada kita juga sanggup berkorban sehingga dibelasah dan ditangkap oleh pihak berkuasa kerana menyuarakan isu Palestin. Contohnya Chamberlain Regev yang merupakan seorang Yahudi dan warganegara Israel sendiri, namun perjuangannya untuk Palestin menyebabkan dirinya ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Tidak cukup sekadar itu, ada yang sanggup meninggalkan pekerjaan di syarikat gergasi seperti Microsoft, Google, Apple dan sebagainya. Contohnya Ibtihal, seorang pemudi dari Maghribi yang meninggalkan pekerjaan dari Microsoft. Mereka ini bukan sahaja terdiri daripada orang Islam, malah merangkumi pelbagai kaum dan agama.

Penghormatan besar juga wajar diberikan kepada ribuan artis popular di peringkat global yang sanggup menyuarakan perjuangan Palestin seperti Angelina Jolie, Susan Sarandon, Mark Ruffalo dan Jenna Ortega. Dalam keadaan itu juga, sebahagian daripada mereka sanggup menolak dan menghentikan apa-apa pekerjaan yang berkaitan dengan rejim Zionis.

Perubahan pentadbiran dan pemilihan ahli politik di Amerika

Betapa besarnya Gaza telah mengubah dunia daripada sudut politik, sosial, ekonomi dan ketenteraan di banyak negara.

Sehingga bandar New York yang didiami oleh ramai penduduk Yahudi yang berpendapatan tinggi pun boleh dimenangi oleh seorang datuk bandar Muslim yang secara terbuka menyokong perjuangan Palestin. Kesan daripada perjuangan Palestin juga menyebabkan beberapa ahli politik yang disokong oleh lobi Zionis tewas dalam pilihan raya seperti Melissa Conyears-Ervin dan ramai lagi.

Contoh perubahan yang lebih besar daripada itu ialah pentadbiran Amerika sendiri mula mengeluarkan kenyataan yang seakan-akan tidak lagi sehaluan dengan rejim Zionis. Sebagai contoh, Donald Trump baru sahaja menyatakan:

"Without America, there is no Israel."

Bermaksud:

"Tanpa Amerika Syarikat, tidak akan wujud Israel."

JD Vance, Timbalan Presiden Amerika pula menyebut:

"Israel has the right to defend itself, but America's interest is sometimes going to be distinct. Sometimes we're going to have overlapping interests and sometimes we're going to have distinct interests. And our interest, I think, very much is in not going to war with Iran."

Terjemahan ringkas:

"Israel berhak mempertahankan dirinya, tetapi kepentingan Amerika kadangkala berbeza. Ada masanya kepentingan kita bertindih dan ada masanya ia berbeza. Bagi saya, kepentingan Amerika adalah untuk tidak terheret ke dalam peperangan dengan Iran."

Tidak dinafikan, buat masa sekarang Amerika masih menjadi tulang belakang kepada kekuatan persenjataan, ekonomi dan pelbagai aspek lain bagi rejim Zionis. Namun, siapa yang boleh menjamin bahawa dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang keadaan yang sama akan terus berlaku?

Pada tahun 2025, sebuah kajian lapangan dilakukan di Amerika. Kajian tersebut mengemukakan soalan berikut kepada peserta:

"In the Israel-Hamas conflict, do you support more Israel or more Hamas?"

Terjemahan:

"Dalam konflik Israel-Hamas, anda lebih menyokong Israel atau Hamas?"

Bagi responden berumur 18 hingga 24 tahun, hasilnya ialah:

  • 60% memilih "lebih menyokong Hamas".

  • 40% memilih "lebih menyokong Israel".

Semoga inilah permulaan kepada pengakhiran talian hayat rejim Zionis apabila sokongan Amerika terhadap mereka semakin berkurangan.

Perjuangan bukan lagi kerana simpati, tetapi kewajipan

Dahulu, ramai bersimpati dengan Palestin hanya kerana ia merupakan krisis kemanusiaan. Hari ini, selepas 1000 hari genosid dan sumud (ketabahan) rakyat Palestin sendiri, penduduk dunia semakin percaya bahawa Palestin mesti diperjuangkan sehingga merdeka daripada penjajahan.

Orang ramai mula sedar bahawa penjajah Palestin inilah juga yang mempunyai pengaruh besar dalam syarikat-syarikat gergasi, politik Amerika Syarikat dan banyak negara, media, sukan dan hiburan.

Penduduk dunia, tanpa mengira agama dan bangsa, menyedari bahawa tidak memperjuangkan kemerdekaan Palestin menjadikan seseorang itu sebahagian daripada penjajah. Berdiam diri ialah satu pilihan yang memihak kepada kezaliman. Tidak menggunakan kemampuan yang ada untuk membantu Palestin pula memberi ruang kepada penjajah meneruskan jenayah genosid.

Sehubungan dengan itu, hasil pengorbanan rakyat Palestin, penduduk dunia mahu menghukum rejim Zionis.

Contohnya di Vietnam, Thailand dan banyak lagi negara, terdapat peniaga kedai makan yang tidak membenarkan pelancong dari negara Zionis memasuki premis mereka. Sebahagian pelancong Yahudi Zionis juga dihalau selepas pemilik premis mengetahui asal negara mereka, seperti yang berlaku di sebuah restoran di Itali.

Gaza mungkin dikepung oleh rejim Zionis dan Mesir dari sudut geografi serta sekatan ketenteraan, namun penduduk dunia hari ini sedang mengepung rejim Zionis dengan segala kemampuan yang dimiliki melalui boikot, media sosial, demonstrasi dan pelbagai usaha lain.

Mengalah adalah tanda kemenangan buat musuh

Dalam keadaan ini, jangan sesekali memikirkan untuk berhenti atau mengalah. Jika ia berlaku, itu merupakan satu kemenangan buat rejim penjajah dan sekutunya. Bayangkan, jika kita berasa penat memperjuangkan isu Gaza, bagaimana pula dengan nasib rakyat Gaza yang hidup di bawah genosid setiap hari?

Mereka juga manusia seperti kita. Membiarkan mereka tidak dibela adalah satu kesalahan dari sudut agama dan kemanusiaan. Malah, kita juga melakukan kezaliman terhadap mereka apabila membiarkan kezaliman terus berlaku tanpa ditegah.


Membantu tidak cukup sekadar dengan sorakan atau demonstrasi, tetapi perlu disertai pengorbanan dari segi masa, harta dan wang. Seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, untuk memasuki syurga, seseorang perlu membayarnya dengan iman, amal soleh, perjuangan yang benar dan kesabaran.

Bukan Netanyahu sahaja yang bertanggungjawab

Seribu hari ini menandakan lamanya genosid yang berlaku sama ada melalui serangan peluru, bahan letupan, kebuluran, bahan kimia dan sebagainya. Namun, yang memungkinkan semua itu berlaku ialah negara-negara sekutu, termasuk sebahagian negara Islam.

UAE, misalnya, pada Ogos tahun lalu menghantar sekitar 40 tan kelengkapan ketenteraan kepada rejim Zionis melalui laluan udara menggunakan armada pesawat kargo berat Il-76TD. Azerbaijan pula membekalkan sekitar 40% hingga 60% minyak mentah kepada rejim Zionis sejak dahulu sehingga kini. Manakala Arab Saudi pula membenarkan kapal kargonya, Yanbu', memindahkan senjata dari Amerika Syarikat untuk dihantar kepada rejim Zionis.

Tidak dilupakan juga negara-negara Eropah. Walaupun banyak yang telah mengiktiraf negara Palestin, hubungan perdagangan termasuk dalam bidang ketenteraan masih diteruskan. Sebagai contoh, UK dan Perancis, walaupun telah mengumumkan pengiktirafan terhadap kedaulatan negara Palestin, masih mengeksport komponen dan teknologi berkaitan persenjataan kepada rejim Zionis.

Titik terendah Netanyahu

Perjuangan ini tidak mudah. Ia penat dan mahal harganya. Namun, segala kepenatan itu akan diganjari dengan syurga. Adapun ganjaran di dunia, kemanisan yang paling utama ialah pembebasan Palestin daripada penjajahan. Ia bukan sesuatu yang mustahil, apatah lagi dunia sedang menyaksikan titik terendah Netanyahu dari pelbagai aspek.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita semua istiqamah, keikhlasan, kekuatan dan pedoman untuk terus meneruskan perjuangan ini.